Agihan Dividen KWSP Tahun 2023 5.40% Untuk Akaun Syariah
KWSP mengumumkan kadar dividen 5.50% untuk Simpanan Konvensional dengan jumlah agihan RM50.33 bilion. Untuk Simpanan Shariah pula, kadar dividen 5.40% dengan jumlah agihan RM7.48 billion, menjadikan keseluruhan jumlah agihan pendapatan untuk tahun 2023 sebanyak RM57.81 bilion.
Perkara itu diumumkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KWSP yang baru dilantik, Ahmad Zulqarnain Onn ketika sesi taklimat prestasi kewangan KWSP di sini, hari ini.
Beliau berkata kepelbagaian portfolio dan pengurusan dana yang aktif membolehkan KWSP untuk mengisytiharkan kadar dividen lebih baik untuk 2023 berbanding kadar dividen KWSP Tahun 2022.
Di bawah Akta KWSP 1991, Seksyen 27, jaminan kadar dividen minimum adalah sebanyak 2.5% setahun ke atas simpanan ahli.
NOTA: Kadar dividen SIMPANAN SHARIAH adalah berdasarkan prestasi sebenar pelaburan patuh Syariah dan tiada jaminan kadar dividen minimum ini.
Simpanan shariah memperoleh pendapatannya daripada bahagian portfolio shariah, manakala pendapatan untuk simpanan konvensional dijana oleh kedua-dua portfolio shariah dan konvensional.
Prestasi 2023 KWSP melaporkan pertumbuhan positif dalam pendaftaran ahli, selaras dengan pasaran buruh negara yang semakin kukuh.
Sehingga Disember 2023, pendaftaran ahli baharu KWSP meningkat kepada 460,447, menjadikan jumlah ahli KWSP seramai 16.07 juta.
Daripada jumlah itu, sebanyak 8.52 juta adalah ahli aktif yang kini mewakili 50 peratus daripada 17.03 juta tenaga buruh Malaysia pada akhir 2023.
Usaha berterusan KWSP dalam memperluaskan liputan KWSP juga dapat dilihat melalui pertumbuhan memberangsangkan program i-Saraan, yang membolehkan pekerja di sektor formal atau tidak formal mempunyai pendapatan tetap untuk menyimpan dengan KWSP demi masa depan persaraan mereka.
Pada 2023, bilangan peserta i-Saraan mencatatkan peningkatan ketara 31 peratus kepada 382,983 daripada 291,743 pada 2022.
Secara keseluruhan, jumlah caruman diterima sepanjang 2023 meningkat kepada RM97.56 bilion, naik sebanyak 15 peratus daripada 2022.
Kenaikan itu mencerminkan peningkatan dalam kapasiti kewangan ahli berikutan pemulihan pendapatan, pekerjaan dan ekonomi yang progresif.
Ia juga mencerminkan tahap kepercayaan ahli yang berterusan terhadap KWSP untuk melindungi simpanan mereka.
Pendaftaran majikan baharu dicatatkan pada 82,005 pada akhir 2023, menjadikan jumlah majikan yang berdaftar dengan KWSP kepada 606,187.
Bermula Januari 2024, KWSP mengasingkan portfolio simpanan konvensional dan simpanan shariah berhubung dengan pelaburan patuh shariah KWSP, bagi membolehkan pulangan setiap portfolio dioptimumkan dalam jangka masa panjang dengan setiap portfolio mempunyai Alokasi Aset Strategik masing-masing.