
Belanjawan 2021: Apa Rakyat Perlu Tahu.
Jumaat (6 November) ini, Belanjawan 2021 akan dibentangkan di Dewan Rakyat, perlu bersifat mengembang, demi menyelamatkan pekerjaan, perniagaan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) negara ini yang terjejas teruk.
Kerajaan disaran untuk mempertingkatkan perbelanjaan pada tahun hadapan, antaranya dalam cabang infrastruktur bagi melonjakkan pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat selepas kemerosotan yang teruk akibat Covid-19.
Pelanjutan Tempoh Moratorium

Antara cadangan penting dalam Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan Jumaat ini adalah pelanjutan tempoh moratorium untuk membantu meringankan beban individu dan perniagaan yang terjejas serta tidak mampu membayar balik pinjaman mereka.
Bank-bank di Malaysia, terutamanya bank-bank di bawah kerajaan seperti Agro Bank, masih berupaya memberikan moratorium itu: – Pensyarah Kanan Putra Business School Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff
Contohnya, Agra Bank di bawah Kementerian Kewangan, boleh meneruskan moratorium kepada petani, pesawah, peladang kerana mereka ini akan menyumbang kembali kepada industri agro makanan negara.
Bank komersial juga dilihat mampu melaksanakan moratorium apabila lapan bank tempatan dilaporkan mencatatkan jumlah keuntungan sebelum cukai berjumlah RM35 bilion, untuk dua tahun berturut-turut iaitu pada 2018 dan 2019.
Laporan suku tahun kedua tahunan bank menunjukkan mereka masih lagi mencatat keuntungan walaupun terdapat bank yang mengumumkan tidak memberi dividen interim kepada pemegang saham.
Peluang Kerja Baru

Kerajaan juga perlu memberi fokus kepada menawarkan peluang kerja baharu melalui ekonomi digital bagi memastikan Malaysia mampu menjadi negara pengeluar dan pencipta berbanding negara pengguna.
Kita tidak boleh buat benda yang sama setiap tahun tetapi mengharapkan keputusan berbeza jadi kerajaan kena berani mencuba benda baru seperti dalam ekonomi digital atau penggunaan teknologi oleh golongan muda.
Labur Dalam Sektor Kesihatan Awam

Pakar Dasar Kesihatan Awam, Dr Khor Swee Kheng mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan peruntukan 4% daripada hasil Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk pelaburan dalam sektor kesihatan awam termasuk dalam sumber manusia, infrastruktur dan pemindahan tunai dan bukan tunai untuk membendung kemiskinan.
Pakatan Harapan (PH) mengemukakan 6 cadangan utama dalam pertemuannya dengan Menteri Kewangan berhubung Belanjawan 2021:
- peruntukan Kementerian Kesihatan untuk COVID-19 dan penyakit tidak berjangkit ditingkatkan.
- memperkasa perlindungan sosial, jaringan keselamatan dan pembayaran kebajikan kepada golongan berisiko dan penganggur dengan meningkatkan bantuan kebajikan kepada RM1,000
- perlanjutan moratorium pinjaman sehingga 31 Mac 2021
- subsidi upah diteruskan sehingga 31 Mac 2021 dan mewujudkan 600,000 pekerjaan seperti program Malaysia@Kerja yang menyediakan insentif untuk tempoh dua tahun kepada majikan dan pekerja berharga RM13 bilion
- peningkatan perbelanjaan pendidikan
- perbelanjaan pembangunan untuk dua projek utama iaitu Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) serta menaik taraf infrastruktur air untuk Selangor, Kelantan dan Pahang
Perancangan Kerajaan Tertangguh
Banyak perancangan kerajaan pada tahun ini tertangguh dan tidak dapat dilaksanakan berikutan pandemik Covid-19 yang melanda.
Justeru, ia juga memberi impak kepada Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini.
Rakyat pastinya mengharapkan sesuatu yang terbaik dalam belanjawan itu nanti tetapi perlu berpijak di bumi nyata terutama apabila negara dan dunia masih lagi berhadapan dengan Covid-19.
Yang paling penting, perlu sentiasa berdoa untuk kesejahteraan dan kemakmuran bersama. Sama-sama kita nantikan inti pati Belanjawan 2021 nanti.
2 Replies to “Belanjawan 2021: Apa Rakyat Perlu Tahu.”