Caj Akan Dikenakan Kepada Peniaga Untuk Setiap Transaksi DuitNow QR
Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) mengesahkan pengenaan caj transaksi kepada vendor untuk pembayaran DuitNow QR dan transaksi yang dibuat dengan kad kredit berkuat kuasa 1 November depan.
Peniaga yang menerima wang daripada aplikasi DuitNow QR akan mula membayar caj transaksi bermula 1 November ini.
Dalam satu e-mel, RHB Reflex memaklumkan penstrukturan harga itu dibuat oleh DuitNow, meliputi semua bank.
Menurut e-mel itu, caj akan ditolak daripada akaun semasa atau simpanan pada setiap 5 hari bulan.
Bahagian khidmat pelanggan RHB Reflex mengesahkan “merchant” atau penjual yang menerima wang menerusi DuitNow QR akan dikenakan caj bergantung kepada mod pemindahan wang.
“Sebanyak 0.25% akan dicaj daripada akaun penjual jika pembayaran dibuat daripada akaun semasa atau simpanan, manakala 0.50% dikenakan untuk pemindahan menerusi kad kredit,” katanya kepada MalaysiaNow.
Perkhidmatan DuitNow QR membolehkan pemindahan wang antara bank dan entiti bukan bank menerusi imbasan kod.
Ia ditubuhkan melalui PayNet di bawah Interoperable Credit Transfer Framework BNM.
Sebelum ini, tiada caj transaksi dikenakan untuk pemindahan wang bawah RM5,000.
Caj sebanyak RM0.50 dikenakan untuk transaksi melebihi amaun RM5,000.
Antara entiti bukan bank yang menggunakan DuitNow QR termasuklah Boost, Grabpay, Setel dan Touch ‘n Go.
Perkara itu turut dimaklumkan oleh khidmat pelanggan Maybank ketika dihubungi MalaysiaNow.
“Caj dikenakan untuk pemindahan antara bank dan aplikasi yang menggunakan khidmat DuitNow.
“Tetapi jika pemindahan wang antara penghantar dan penerima menggunakan Maybank QR, tiada caj dikenakan,” katanya.
Sementara itu, khidmat pelanggan CIMB berkata tiada notis oleh CIMB mengenai caj itu buat masa ini.
“Kami belum dapat apa-apa notis menyatakan caj dikenakan kepada pelanggan untuk penggunaan DuitNow QR,” katanya.
HSBC pula memaklumkan tiada memo dikeluarkan setakat ini namun akan memaparkan kemas kini di laman sesawang sekiranya caj tersebut mula dikenakan.
Caj Transaksi DuitNow QR Tidak Bebankan Rakyat– BNM
Perdana menteri berkata Bank Negara menjelaskan bahawa caj itu tidak akan dikenakan kepada golongan bawahan.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini berkata pengenaan caj transaksi untuk pembayaran DuitNow QR dan transaksi yang dibuat dengan kad kredit tidak membebankan golongan berpendapatan rendah di negara ini.
Anwar, yang juga menteri kewangan berkata beliau telah bertemu dengan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Shaik Abdul Rasheed Ghaffour semalam untuk mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu.
“Saya berbincang dengan Gabenor BNM semalam. Mengikut dia, penjelasan yang diberikan (ialah caj transaksi) tidak akan dikenakan kepada golongan bawahan.
KESIMPULAN
DULU:
– Tiada caj jika transaksi DuitNow QR bawah RM5,000.
– Caj 50 sen jika transaksi RM5,000 ke atas.
SEKARANG:
– Caj 0.25% pada nilai transaksi jika pembayar guna kad debit.
– Caj 0.50% jika guna kad kredit.
Caj 0.25% ini adalah sangat mahal berbanding caj untuk guna kad debit Visa atau Mastercard iaitu:
1. Caj kad debit jenama tempatan: 0.10% nilai transaksi atau RM0.37 + 0.001% nilai transaksi (yang mana lebih rendah.
2. Caj kad debit jenama antarabangsa (Visa/Mastercard): 0.27% nilai transaksi atau RM0.63 + 0.001% nilai transaksi (yang mana lebih rendah).
Memandangkan penerima bayaran DuitNow QR (Boost, Grabpay, Setel dan Touch ‘n Go) adalah peniaga kecil atau gerai tepi jalan yang tiada mesin bayaran kad, kadar caj baharu DuitNow ini adalah sangat tidak adil bagi golongan sasaran ini.
Sumber :
https://www.malaysianow.com/…/peniaga-terima-wang…
Di saat rakyat terkesan dengan kenaikan kos sara hidup, ditambah pula dengan kesan inflasi, kita tidak sepatutnya membuat sesuatu keputusan yang menambahkan lagi beban rakyat dan menyukarkan hidup mereka.
Ini juga secara tidak langsung akan menghalang pertumbuhan pembayaran tanpa tunai dan kemungkinan besar, ianya merugikan peniaga-peniaga kecil.
Jika apa yang dilaporkan ini benar, maka kerajaan mestilah menjelaskan kepada rakyat agar mereka lebih bersedia dengan kesan yang akan menimpa mereka.
Timbul persoalan, adakah peniaga kecil PKS akan menanggung kos tersebut atau diserap melalui fi pertukaran di bawah Bank Negara Malaysia (BNM)?