duit KWSP

Duit KWSP Bukan Hak Mutlak Isteri Atau Penama.

“Akak tak risau sangat kalau suami dah takda nanti. Sebab dia dah letak akak sebagai penama KWSP. Dalam KWSP dia ada RM100,000 juga lah”

Eh kak, penama KWSP bukan pemilik mutlak kak. Akak cuma orang yang dinamakan untuk tolong uruskan duit KWSP tu nanti.

“Habis tu, siapa yang akan dapat duit tu?”(Terkejut akak tu)

Duit KWSP Bukan Hak Mutlak Isteri

Hak akak 1/8 saja. Kalau 1/8 daripada RM100,000 cuma RM12,500. Tak banyak pun kak. Sebulan dua habis dah

“Sikit sangat tu. Biar betul kau ni. So, yang selebihnya dapat kat siapa pula?”

Duit tu semua akan bahagi ikut faraid. Kalau ikut situasi akak, akak dapat RM12,500, ayah mertua akak dapat RM16,666, mak mertua akak dapat RM16,666, anak lelaki akak yang sorang tu dapat RM36,111, anak perempuan akak lagi sorang tu dapat RM18,055. Itu pun bukannya dapat terus duit tu.

Baca Juga: Cara Kembangkan Duit iLestari

penama kwsp

“Lama ke urusannya?

Kebiasaannya ambil masa bertahun-tahun jugalah baru setel. Itu pun depends kepada kerjasama daripada semua ahli waris faraid tu.

“Betul lama tu. Macam mana anak nak survive dengan anak-anak still sekolah lagi. Dahlah akak ni surirumah.” 🙁

Memang ramai orang tak tau pun kak. Selalu anggap KWSP dapat semua kat dia kalau suami letak nama dia sebagai penama.

Situasi ini adalah hakikat yang berlaku apabila si pencarum meninggal dunia.

Apabila Pencarum KWSP Meninggal Dunia…

Ramai yang salah faham jika berlaku kematian suami yang menjadi pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), isteri tidak berhak ke atas simpanan suaminya itu walaupun dia penama yang didaftarkan suaminya.

Mengikut hukum syariah simpanan KWSP suami itu adalah harta pusaka. Harta itu perlu difaraidkan kepada adik-beradik (waris) suami setelah menyelesaikan hutang-piutangnya. 

Bagaimana hak isteri sebagai penama mutlak ke atas simpanan KWSP suaminya? Adakah pembahagian harta mengikut hukum faraid tetap mengutamakan adik-beradik walaupun si mati mempunyai anak lelaki sebagai waris keluarga?

KWSP mengusahakan kaedah pengurusan wang simpanan ahli supaya ia dapat diuruskan dengan mudah apabila berlaku kematian ahlinya.

Penama Sebagai Pentadbir Duit KWSP

Pada masa ini, KWSP menyediakan borang dengan menyatakan tugas penama. Penamaan adalah satu pengisytiharan secara bertulis dibuat ahli dalam Borang KWSP 4 bagi melantik atau menamakan seseorang atau mana-mana orang sebagai benefisiari atau wasi/pentadbir (bagi orang yang beragama Islam) ke atas simpanan KWSP apabila ahli itu meninggal dunia.

Penamaan itu bertujuan untuk membolehkan KWSP melepaskan simpanan ahli yang meninggal dunia kepada orang yang dinamakan untuk menerima atau mentadbir (bagi orang yang beragama Islam) simpanan itu dengan segera tanpa mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir. Penamaan itu berkuat kuasa pada tarikh borang penamaan diterima di mana-mana pejabat KWSP.

Penama hanya berperanan sebagai wasi saja dan bukannya harta hibah, harta pemberian atau harta wasiat kepada individu yang dilantik sebagai penama.

Sekiranya diletakkan sebagai harta hibah atau harta wasiat , maka hendaklah memenuhi syarat seperti termaktub dalam undang-undang Islam. 

Ia hendaklah ditadbir individu yang diberi hak oleh undang-undang yang akan menghantar surat perintah pembahagian supaya penama mengeluarkan wang itu dari institusi kewangan dan disertakan bersama-sama panduan pembahagian harta pusaka berdasarkan faraid (sijil faraid), seterusnya membahagikannya kepada semua ahli waris yang berhak mengikut kadar yang ditentukan.

Diagram Ahli Waris

Untuk faraid ni setiap orang lain-lain peratusnya. Boleh download app iFaraid Calculator. Masukkan detail keluarga.

Nanti boleh tau peratusan % untuk setiap waris faraid.

Secara umum, pembahagian faraid seperti di bawah ini ;

  1. Ayah si mati: 1/6
  2. Ibu si mati: 1/6
  3. Isteri: 1/8
  4. Baki akan dapat kat anak-anak. Anak lelaki dapat dua bahagian dan anak perempuan pula satu bahagian.
  5. Kalau tiada anak lelaki, maka baki harta akan ke ayah si mati. Dan sekiranya ayah si mati tiada, maka adik beradik seibu sebapa si mati turut layak untuk dapat.

Siapa Yang Layak Menguruskan Harta Menurut Syarak?

Siapakah yang layak menguruskan duit KWSP dan harta-harta si arwah? Semestinya individu yang mempunyai keahlian yang sempurna menurut syarak iaitu:

  • individu yang sempurna akal
  • sejahtera jiwanya
  • tidak membazirkan harta
  • mampu menguruskan harta dengan baik serta sihat tubuh badannya supaya tidak mengganggu keupayaannya menguruskan harta. 

Selepas penama itu mendapat haknya daripada simpanan KWSP, penama atau isteri wajib membuat pembahagian kepada waris yang layak. 

Waris yang layak mendapat harta pusaka suami adalah waris yang diperintahkan oleh mahkamah syariah melalui permohonan sijil faraid. 

Sekiranya suami meninggalkan isteri dan anak saja termasuk anak lelaki, adik-beradik suami tidak tersenarai sebagai waris yang layak menerima pusaka.

Oleh itu, amat penting untuk mendapatkan sijil faraid dari Mahkamah Syariah kerana ia bertujuan untuk menentukan waris yang berhak. Kemungkinan ketika kematian, berlaku perubahan kedudukan waris sama ada daripada kalangan waris yang meninggal dunia lebih dahulu daripada penyimpan KWSP berkenaan. 

Disebabkan itu, ia perlu ditentukan oleh Mahkamah Syariah. Selain itu, hibah menurut istilah syarak ialah pemberian milik sesuatu tanpa balasan ketika hidup yang dibuat secara sukarela. 

Hibah berbeza dengan wasiat kerana pemilikan dalam wasiat berlaku selepas kematian. Hibah juga berbeza dengan jual beli kerana pemilikan dalam hibah tanpa memerlukan balasan sedangkan jual beli memerlukan balasan. 

Pemberian secara hibah adalah sah dengan adanya ijab dan qabul. Pemberian secara hibah itu berkuat kuasa serta-merta apabila sempurna semua rukun dan syaratnya. 

Ia juga tidak boleh ditarik balik kecuali hibah daripada ibu bapa kepada anaknya. Apabila sesuatu harta itu dihibahkan, ia akan terkeluar daripada pembahagian harta secara faraid kerana pemilikan harta itu berpindah kepada penerima hibah dan bukan lagi berada dalam senarai harta si pemberi.

kembangkan duit kwsp

Bolehkah Buat Hibah Duit KWSP?

Boleh duit KWSP dihibahkan? Duit di dalam akaun KWSP tidak termasuk dalam konsep hibah yang diharuskan oleh syarak. 

Sebab utama duit KWSP tidak boleh dihibahkan adalah kerana duit KWSP Akaun 1 dan 2 tidak berada dalam milikan atau pegangan si pemberi (pencarum KWSP) untuk diberi kepada penerima. 

Jika duit KWSP itu dihibahkan, penerima masih tidak dapat memiliki wang itu kerana ia hanya boleh dikeluarkan selepas berlaku kematian si pemberi.

Jika berlaku kematian, harta atau wang simpanan yang ditinggalkan menjadi harta pusaka si mati dan bukannya harta milik si penerima hibah.

Perkongsian: Peguam Syarie & Perancang Kewangan Islam

2 Replies to “Duit KWSP Bukan Hak Mutlak Isteri Atau Penama.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge