Ini Yang Anda Perlu Semak Sebelum Melanggan Medical Card Terbaik Tahun 2024.

Mencari medical card atau kad perubatan terbaik di Malaysia sememangnya bukan satu perkara yang mudah. Jika kita kaji dan lakukan perbandingan antara 2 medical card daripada dua syarikat Takaful yang berlainan pun, sudah memeningkan kepala. Apatah lagi untuk membandingkan medical card daripada lebih 10 syarikat Takaful yang ada.

Banyak perkara penting yang perlu diberi perhatian dan difahami sebelum membeli kad medical yang memenuhi keperluan anda. Berikut antara perkara-perkara penting yang anda perlu tahu sebelum beli medical card di Malaysia:

1. Had Tahunan vs Had Seumur Hidup

Syarikat insurans biasanya menetapkan had tertentu ke atas faedah yang boleh diterima oleh individu. Ini bermaksud, syarikat insurans menetapkan had ke atas jumlah yang akan dibayar atau boleh dituntut daripada syarikat insurans.

Asasnya, had-had ini diklasifikasikan sebagai had tahunan (annual limit) dan had seumur hidup (lifetime limit).

i. Had Tahunan

Pastikan kita tahu berapakah had tahunan dan had sepanjang tempoh polisi medical card yang kita langgan. Medical card yang berharga rendah kebiasaannya mempunyai had tahunan yang rendah seperti RM20,000 – RM50,000 setahun.

Medical card yang menyediakan had tahunan sehingga RM1,000,000 setahun biasanya lebih mahal.

Perhatikan juga had sepanjang tempoh polisi. Ada medical card yang meletakkan had keseluruhan sepanjang tempoh polisi seperti RM1,000,000 dan ada yang unlimited.

ii. Had Seumur Hidup

Selain had tahunan, ambil kira juga had seumur hidup sebelum beli medical card. Had seumur hidup merujuk pada jumlah keseluruhan manfaat perubatan yang layak dituntut sepanjang tempoh polisi. Pelan insurans perubatan akan tamat secara automatik apabila manfaat yang dibayar telah mencapai had seumur hidup.

Sebagai contoh, kad perubatan anda mempunyai had tahunan sebanyak RM100,000 dan had seumur hidup RM1 juta. Anda hanya boleh membelanjakan RM100,000 setiap tahun untuk kos rawatan selama 10 tahun untuk menikmati manfaat RM1 juta tersebut.

Selain had tahunan, anda perlu pertimbangkan limit seumur hidup sebelum pilih insurans perubatan dan kesihatan terbaik untuk anda. Penting untuk anda pilih jumlah had tahunan dan had seumur hidup yang munasabah dengan kemampuan dan keperluan anda.

2. Premium atau Sumbangan

Premium insurans atau sumbangan (untuk Takaful) merujuk pada bayaran yang dibuat oleh pemegang polisi kepada syarikat insurans atau Takaful. Ia boleh dibayar secara bulanan, suku tahunan atau tahunan bergantung pada syarikat insurans atau Takaful. Harga premium insurans biasanya bergantung pada beberapa faktor seperti:

  • Umur – lebih muda, premium lebih murah;
  • Jantina – harga insurans kesihatan untuk perempuan lebih murah berbanding lelaki;
  • Jenis Pekerjaan – kerja pejabat lebih murah berbanding kerja berisiko seperti di pelantar minyak;
  • Status Kesihatan Semasa;
  • Sejarah Penyakit Lampau;
  • Jenis Pelan Medical Card.

Untuk makluman, harga bayaran bulanan berbeza bergantung kepada polisi plan yang dipilih.

3. Deduktibel vs Ko-Takaful

Deduktibel (deductible) dan Ko-Takaful (co-Takaful) adalah elemen penting yang perlu diberi perhatian sebelum beli kad medical. Untuk membantu anda memahami dengan lebih baik, anda boleh rujuk perkara berikut:

i. Deduktibel

Apa itu deduktibel? Deduktibel ialah amaun bayaran tetap yang perlu dikeluarkan atau ditanggung sendiri sebelum menerima rawatan atau dimasukkan ke hospital. Ia berbeza dengan caj deposit hospital – caj deposit hospital akan dikembalikan setelah selesai rawatan, tetapi deduktibel tidak akan dikembalikan.

Deduktibel berfungsi untuk elakkan pemegang polisi daripada menggunakan medical card secara tidak bertanggungjawab. Sebagai contoh, menggunakan medical card untuk kes-kes yang tidak memerlukan kos rawatan yang besar seperti demam atau selsema yang boleh didapatkan di klinik biasa.

Contoh Pengiraan Deduktibel

Encik Farid mempunyai medical card dengan amaun deduktibel yang ditetapkan oleh syarikat insurans sebanyak RM300. Encik Farid sakit perut kronik dan beliau mendapatkan rawatan di hospital. Jumlah keseluruhan kos rawatan adalah sebanyak RM7,000.

Amaun deduktibel yang perlu dibayar oleh Encik Farid adalah sebanyak RM300 sahaja sebelum dimasukkan ke wad. Manakala, selebihnya RM6,700 akan ditanggung oleh syarikat insurans.

ii. Ko-Takaful atau Ko-Insurans

Apa itu ko-Takaful atau ko-insurans? Secara amnya, ia merujuk pada perkongsian bersama bil antara pemegang polisi dengan syarikat Takaful atau insurans. Ini bermaksud, anda perlu mengeluarkan wang simpanan anda sendiri untuk menanggung sebahagian daripada kos perubatan.

Biasanya, pemegang polisi perlu tanggung sendiri kos rawatan sekitar 20 peratus (bergantung pada syarikat insurans). Manakala, baki kos rawatan perubatan selebihnya akan ditanggung oleh syarikat insurans.

Anda boleh rujuk ejen takaful [ JMR – 0172101282 ] anda untuk info lanjut.

Contoh Pengiraan Ko-Takaful atau Ko-Insurans

Puan Farah sakit kepala kronik. Beliau ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan dimasukkan ke wad untuk menerima rawatan. Jumlah keseluruhan kos rawatan adalah sebanyak RM10,000.

Jumlah bayaran deduktibel yang perlu dibayar oleh Puan Farah setelah bil akhir dikeluarkan adalah sebanyak RM2,000 (20 peratus daripada RM10,000). Manakala, baki selebihnya RM8,000 akan ditanggung oleh syarikat insurans.

4. Pembaharuan Terjamin atau Pembaharuan Tidak Terjamin

Selain itu, penting untuk anda memahami dengan jelas aspek-aspek berikut sebelum mendapatkan insurans kesihatan yang sesuai untuk anda:

ii. Pembaharuan Terjamin (Guarantee Renewal)

Syarikat insurans wajib memperbaharui polisi insurans kesihatan sekiranya pembayaran premium dibuat tepat pada masanya dan anda memilih untuk meneruskan polisi seperti biasa.

Namun begitu, ia tertakluk pada syarat-syarat tertentu seperti anda belum melebihi had tuntutan seumur hidup dan belum mencapai umur kelayakan perlindungan maksimum.

ii. Pembaharuan Tidak Terjamin (No Guarantee Renewal)

Ini bermakna polisi anda hanya akan diperbaharui setiap tahun tertakluk kepada kelulusan syarikat insurans atau pengendali Takaful. Sebagai contoh, anda menghidap sakit kritikal atau sakit yang berisiko untuk berulang pada masa akan datang.

Pihak Takaful atau insurans berhak untuk tidak memperbaharui polisi insurans anda. Jika anda ingin mendapatkan pelan perlindungan insurans yang baharu, anda perlu memaklumkan status kesihatan semasa kepada pihak insurans.

Ia sekali gus boleh menyebabkan harga medical card anda yang lebih mahal berbanding biasa. Dalam sesetengah keadaan, penyakit yang dihidapi ini mungkin dikecualikan daripada perlindungan insurans anda.

Atas sebab-sebab ini, polisi insurans dengan pembaharuan tidak terjamin biasanya ditawarkan pada harga yang lebih murah.

5. Tempoh Menunggu atau Tempoh Matang Medical Card

Kebanyakan pelan insurans perubatan tertakluk pada tempoh menunggu atau tempoh matang yang perlu dipatuhi oleh pemegang polisi. Ini bermaksud, anda tidak boleh menggunakan kad perubatan tersebut di mana-mana hospital panel atau membuat sebarang tuntutan insurans untuk tempoh masa tertentu.

Tempoh matang medical card biasanya sekitar 30 hingga 120 hari dari tarikh pembelian polisi insurans. Tempoh menunggu ini bertujuan untuk memastikan anda berada dalam keadaan yang sihat tanpa sebarang penyakit-penyakit kritikal sepanjang tempoh ini.

Ada sesetengah syarikat insurans yang tidak menawarkan tempoh menunggu untuk jenis-jenis perlindungan tertentu seperti perlindungan terhadap kemalangan. Perlindungan terhadap kemalangan berkuat kuasa serta-merta kerana kemalangan berisiko berlaku pada bila-bila masa.

Bagi tempoh matang yang lain, anda boleh rujuk maklumat seperti berikut:

  • Demam (sakit-sakit biasa) – selepas 30 hari (pay and claim). GL akan berkuat kuasa selepas 90 hari-120 hari bergantung pada syarikat insurans;
  • 36 penyakit kritikal – selepas 90 hari. Tetapi jika ada keraguan, siasatan akan dijalankan sama ada penyakit wujud sebelum ambil polisi atau tidak (pay and claim);
  • Penyakit yang ditentukan – selepas 120 hari. Tetapi jika ada keraguan, siasatan akan dijalankan sama ada penyakit wujud sebelum ambil polisi atau tidak (pay and claim).

6. Pengecualian

Polisi insurans perubatan dan kesihatan tidak melindungi semua jenis penyakit. Ada pengecualian-pengecualian tertentu atau kategori penyakit tertentu yang tidak dilindungi insurans terutamanya penyakit kronik atau penyakit kritikal.

Sebagai contoh, sekiranya pemegang polisi sudah menghidap penyakit kanser sebelum mendapatkan medical card, kos rawatan bagi penyakit tersebut tidak akan ditanggung dan akan dikecualikan oleh syarikat insurans.

Untuk maklumat lanjut berkaitan pengecualian insurans, anda boleh rujuk artikel Kategori Penyakit yang Tidak Dilindungi Insurans ini.

7. Hospital Panel

Hospital panel adalah hospital yang menerima kad medical anda. Ini bermaksud, anda boleh mendapatkan rawatan di mana-mana hospital panel yang tersenarai dalam kad perubatan anda. Jika hospital panel terlalu jauh dari lokasi tempat tinggal anda, ia mungkin menyukarkan akses sekiranya berlaku apa-apa kecemasan atau musibah.

Oleh sebab itu, anda perlu teliti hospital panel swasta berdekatan yang menerima kad perubatan anda ini. Ia memudahkan anda mendapatkan akses kepada hospital panel yang lebih menyeluruh sekiranya berlaku kecemasan.

8. Harga Bilik Hospital (room & board)

Tawaran medical card juga berbeza untuk had harian harga bilik rawatan di hospital. Ada yang menawarkan bilik RM200 sehari, ada yang sehingga RM500 sehari. Ini kerana di hospital swasta, terdapat harga yang berbeza untuk jenis bilik yang berbeza seperti bilik 4 orang pesakit, bilik 2 orang pesakit dam bilik untuk seorang sahaja.

Jika had bilik medical card kita adalah RM150 dan kebetulan di hospital tersebut harga ini adalah untuk 4 orang pesakit dalam satu bilik, sekiranya kita ingin bertukar kepada bilik single yang sebagai contoh harganya RM400 sehari, kebiasaannya kita boleh berbuat demikian dengan membayar sendiri lebihan RM250 untuk sehari.

9. Elaun Tunai Harian

Elaun tunai harian diberikan kepada pemegang polisi mengikut jumlah hari menginap di dalam wad. Elaun ini boleh digunakan untuk menampung sebarang kos tambahan jika dimasukkan ke hospital seperti kos membayar pembantu menjaga anak di rumah atau kos ulang-alik ke hospital.

Sekiranya anda bekerja sendiri atau berniaga, manfaat elaun tunai ini boleh bertindak sebagai pengganti pendapatan sepanjang tempoh anda tidak bekerja kerana sakit.

Kesimpulan

Dengan mengetahui perbezaan kategori tawaran yang telah dibincangkan di atas, kita boleh memilih medical card terbaik untuk diri kita sendiri setelah mempertimbangkan dan memutuskan kategori mana yang menjadi keutamaan untuk kita.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge