“Kenapa Kru Kapal Selam KRI Nanggala 402 Tidak Berusaha Pintu Kecemasan…?”
Salam takziah kepada seluruh kaum keluarga kru kapal selam KRI Nanggala 402 yang disahkan terkorban semasa latihan ketenteraan. Al-fatihah.
Anda yang mengikuti perkembangan tragedi ini, pasti akan menemui pertanyaan seperti di atas. “Kenapa Kru Kapal Selam KRI Nanggala-402 tidak berusaha untuk membuka pintu kecemasan dan kenapa tidak cuba berenang ke luar dan naik ke atas?” Kami kongsikan jawapan kepada persoalan ini daripada Tuan Hafiz Ostmann yang kami kira cukup lengkap untuk netizen yang bertanyakan soalan sebegitu faham.
Bagi menjawab komen-komen liar ini, pertama kita harus faham bahawa sesetengah ne.tizen tidak pernah ada ilmu tentang kapal selam, jauh sekali dunia pertahanan amnya. Jika hal semudah beza antara kaliber peluru pun mereka tak tahu inikan pula hal-hal lebih teknikal dan mendalam.
Harus diketahui bahawa kapal selam dicipta untuk menyelam pada kedalaman tertentu dan kapal selam tidak mempunyai sebarang pintu kecemasan dan ini bukannya macam Bas Kilang Matsushita warna biru dengan tertulis PINTU KECEMASAN di belakang badan bas. Bahkan pintu kapal selam berupa hac tu direka supaya berupaya menahan air laut daripada masuk ke dalam ruang kapal.
Selanjutnya kedalaman dan tekanan. Pada kedalaman 700 meter adalah mustahil bagi manusia berenang ke luar. Ini kerana tekanan pada kedalaman 700 meter dikirakan pada sekitar 70ATM sedangkan tubuh manusia tak mampu menahan tekanan sedalam itu. Pada tekanan 3 atau 4 ATM pun manusia sudah merasa tekanannya. Tahu tak 700m tu hanya kurang 300m nak mencukupkan 1km? Itu sangat dalam.
Nota: ATM @ Atmosfera piawai ialah suatu unit tekanan yang ditakrifkan sebagai 101,325 Pa (1.01325 bar). Ia kadangkala digunakan sebagai suatu tekanan rujukan (reference pressure) atau tekanan piawai (standard pressure)-Wikipedia
Apa jadi jika manusia tetap keluar pada kedalaman 700 meter dan cuba berenang naik ke atas. Mustahil. Kerana gegendang telinga akan serta merta pecah, paru paru berdarah dan pecah sebelum sempat manusia sampai ke permukaan laut. Andai kapal selam terdampar pada kedalaman 300-400 meter mungkin barangkali boleh difikirkan. Tekanan pada kedalaman 700 meter bukan semacam kita berenang riang ria di kolam renang paras dada itik sambil diperhatikan dek cikaro minum air oren, ada payung kecil pada gelas. Bukan.
Suka saya kongsikan di sini bahawa ilmu selaman laut berkaitan dengan kedalaman tertentu perlu mengambil kira faktor berkait tindakbalas tubuh manusia dengan tekanan dalam laut. Apabila di darat kita memerlukan oksigen, namun ketika menyelam kandungan nitrogen yang ada dalam tubuh mampu menyebabkan darah berbuih. Ini semua implikasinya jika kita melakukan proses naik ke permukaan dengan segera tanpa melalukan kaedah safety stop.
Kerana itu bagi aktiviti selaman kita ada istilah decompression sickness. Bagi menyahkan nitrogen ini maka penyelam akan segera masuk ke kebuk hyperbarik bagi menstabilkan keadaan dan kelengkapan ini ada dimiliki oleh TLDM khusus bagi kegunaan penyelam tempur yang bertangggungjawab melaksanakan operasi-operasi memasang bahan letupan di dalam air misalnya.
Persenjataan moden hari ini melibatkan banyak faktor sains dan bukan boleh dikomen secara sesuka hati. Harus difikirkan mengapa begitu begini sebelum ianya layak untuk kita perkatakan dengan hujah yang baik berserta contoh yang baik. Komen sembrono menunjukkan bahawa kita bukan seorang yang banyak membaca dan tahu apa yang kita komenkan.
Pun begitu di kesempatan ini saya menyeru warga net yang membaca posting ini agar sama-sama mendoakan buat ketenangan roh-roh mangsa insiden ini serta waris-waris mereka dikurniakan kekuatan dalam mengharungi masa-masa yang sukar ini.
Malaysia dan Indonesia negara jiran serumpun. Cubit paha kanan paha kiri terasa.