Laporan Awal Nahas Kemalangan Udara Elmina

Laporan awal nahas pesawat jenis Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Elmina, Shah Alam, Selangor, pada 17 Ogos lalu, telah dikeluarkan Jumaat, 15 September lepas.

Laporan awal ini adalah berdasarkan analisis data berhubung hasil rakaman suara 30 minit dalam komponen ‘memory puck‘ pesawat.

Rakaman suara 30 minit dalam komponen ‘memory puck‘ pesawat jenis Beechcraft Premier 1 telah berjaya diekstrak di makmal di Florida, Amerika Syarikat (AS). Rakaman suara yang diperolehi adalah jelas dan berada dalam keadaan baik

Laporan Awal Nahas Elmina

1# Pesawat berkenaan dikendalikan oleh Jet Valet Sdn Bhd yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (WMKL), menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

2# Pesawat jenis Beechcraft Premier 1 itu mempunyai sijil kelayakan udara yang sah dan diselenggarakan mengikut peraturan.

3# Tiada objek asing, bulu burung atau mana-mana bahan ditemui dalam komponen enjin kiri dan kanan pesawat Beechcraft 390 Premier 1.

4# Enjin sebelah kanan pesawat itu terpecah kepada tiga segmen yang berbeza iaitu kipas; pemasangan sarung kipas dengan bilah Tekanan Perantaraan (IP) dan Alat Pemampat Tekanan Tinggi dan Bahagian Panas.

5# Siasatan juga mendapati alat penghidup, Unit Hidromekanikal (HMU) dan kotak gear semuanya sudah tercabut.

6# Bagaimanapun, Injap Tekanan Rendah (LP) masih kekal sebahagiannya pada kipas yang terpisah daripada enjin. Sisa-sisa pemutar masih ada di tempatnya manakala injap LP terpisah dan dilihat terpusing ke arah bertentangan daripada arah putaran asal.

7# laporan awal menyatakan bahawa pesawat berkenaan tidak dapat diselamatkan kerana magnitud daya nyahpecutan (deceleration force) dan kebakaran selepas kemalangan.

8# Kejadian berlaku pada waktu siang dengan penglihatan yang jelas iaitu lebih 10 kilometer dan angin pada 05 knot serta keadaan meteorologi baik.

9# Pesawat berkenaan dilengkapi dengan Perakam Suara Kokpit (CVR) L3Harris F2100 dan boleh merakam 30 minit data suara empat saluran berkualiti tinggi. Bagaimanapun, tiada Perakam Data (FDR) dipasang dalam pesawat. Selain daripada CVR, tidak ada perakam penerbangan atau mana-mana jenis penyimpanan memori media jenis tidak meruap (NVM) lain ditemui daripada serpihan pesawat.

10# Berhubung siasatan di tempat kejadian, mendapati jarak antara impak pertama pesawat dan mayat paling jauh adalah kira-kira 100 meter. Selain itu, serpihan utama pesawat ditemui kira-kira 73 meter dari hentaman pertama pesawat. Menurut analisis visual dan lapangan, hujung sayap kanan pesawat itu menerima impak pertama diikuti oleh hidung pada tenaga tinggi.

11# Tempoh pecutan yang pendek (0.1-0.5 saat) yang biasa berlaku pada perlanggaran tenaga tinggi akan menyebabkan kecederaan maut kepada penumpang pesawat. Daya impak pada tahap itu, diikuti corak perlanggaran dan magnitud adalah di luar had toleransi manusia yang menunjukkan bahawa ini bukan kemalangan yang boleh diselamatkan.

12# Pesawat itu sudah menghubungi menara kawalan untuk mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah pada jam 2.47 petang. Seminit kemudian, pada jam 2.48 petang, kebenaran untuk mendarat di landasan 15 diberikan dan dalam beberapa saat pesawat menerima maklum balas berkenaan. Bagaimanapun, selepas itu dilaporkan tiada transmisi radio kedengaran dari penerbangan berkenaan.

13# Data mendapati pada jam 2.47 petang, pada ketinggian 2,600 kaki, pesawat itu berdepan pengurangan kelajuan dan penurunan. Dalam tempoh dua minit iaitu pada jam 2.49 petang, pada ketinggian 1,025 kaki, pesawat itu mula membelok ke kanan dan berterusan hingga berada pada ketinggian 550 kaki saja. Itu adalah penghantaran data terakhir direkodkan dan dilaporkan juga kelajuan tanah semasa pusingan kanan pesawat itu antara 146 dan 154 knot.

Akibat nahas itu, berlaku kebakaran besar dan pasukan siasatan forensik hanya boleh bertindak selepas kawasan itu diisytiharkan selamat.

Sebaik selamat memasuki kawasan nahas, pasukan siasatan forensik mula mencari kedudukan badan dan tisu biologi untuk ditandakan sebelum dibawa keluar.

Bagaimanapun, pasukan itu mengambil masa selama dua hari bagi mengumpulkan semua bahagian badan dan tisu biologi di tapak nahas berikutan pencahayaan yang kurang baik pada waktu malam.

Selepas berjaya mengumpul semua tisu biologi, ia dibawa ke Jabatan Forensik Perubatan, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk pengecaman lanjut dan bedah siasat.

Faktor Teknikal

Sementara itu pakar penerbangan berkata, nahas pesawat di Elmina itu berkemungkinan besar disebabkan oleh masalah teknikal.

Ketua Penyelidik Penerbangan Mencari Dan Menyelamat Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT), Prof Madya Mejar Bersekutu (PA) Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian, berkata dalam laporan awal oleh Kementerian Pengangkutan (MoT), ia menyatakan bahawa kabel sistem kawalan pesawat mengalami ‘overload’.

Justeru itu beberapa komponen sistem kawalan pesawat itu juga sudah diberikan kepada NTSB dan OEM untuk dianalisa secara mendalam memandangkan faktor ‘overload’ perlu dirungkaikan untuk memberi gambaran sebenar nahas itu.

Laporan itu juga menyatakan yang enjin pesawat tidak terdedah kepada objek luar semasa penerbangan di mana bilah kipas enjin sudah diperiksa dan didapati tiada bukti menunjukkan bilah itu diterjah oleh objek yang halaju tinggi.

Walaupun kombinasi jam penerbangan juruterbang untuk pesawat jenis begitu adalah tidak tinggi, bagaimanapun mereka sudah mempunyai kelayakan untuk menerbangkan dan mengendalikan pesawat berkenaan.

Mohd Harridon berkata, lazimnya laporan kemalangan udara akan mengikut protokol Annex 13 of Chicago Convention di mana tidak ada mana-mana pihak akan dipersalahkan.

Lazimnya laporan sebegitu akan mengandungi nasihat-nasihat keselamatan bagi menaikkan lagi ekosistem penerbangan pada tahap yang optimum.

Bagaimanapun beliauy menyifatkan laporan awal itu dihurai secara mendalam mengenai sistem kawalan pesawat itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge