InsyaAllah, bermula 4 Mei 2020, kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKP-B) seiring dengan PKP Fasa Ke-4 yang akan tamat pada 12 Mei 2020 ini. Dalam fasa PKP-B, sektor-sektor ekonomi lain selain yang dibenarkan beroperasi sejak PKP Fasa 1, akan memulakan kembali (restart) operasi mereka mengikut SOP yang ditetapkan.
Namun, ada segelintir daripada kita yang tidak bersetuju dengan PKP-B. Lantaran, pelbagai komplen dan kecaman yang dilontar kepada kerajaan. Kenapa perkara sebegini terjadi?
Satu kesimpulan yang boleh disimpulkan, hilangnya atau sangat kurangnya rasa SYUKUR dalam jiwa kita.
Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan
Mungkin ada masih ingat 2 bulan yang lepas, kita mendesak kerajaan untuk memulakan perintah kawalan pergerakan semasa penularan wabak Covid19 mula merebak di negara kita. Kata rakyat, ini adalah langkah pencegahan terbaik seperti yang dilakukan oleh kerajaan China.
Lalu Perintah Kawalan Pergerakan Fasa 1 dilaksanakan selama 2 minggu. Semua diarahkan duduk di rumah, syarikat-syarikat diarahkan berhenti beroperasi. Norma kehidupan biasa ditukar kepada norma baharu. Tiada lagi sesi mengeteh di mamak, tiada lagi solat berjemaah, tiada lagi pasar malam, tiada lagi bazar Ramadhan.
Norma Baharu
Tidak boleh sesuka hati keluar ke sana, ke sini. Ini adalah cara terbaik untuk menghalang penularan wabak. Tetapi, masih ada yang komplen dan melanggar arahan pihak kerajaan.
Kebenaran bekerja juga perlu ditunjukkan di sekatan jalan raya oleh pihak PDRM dan ATM. Perjalanan ke satu-satu tempat masa yang panjang jika ada sekatan jalan raya. Ada yang mula memaki hamun akibat tidak sabar. Bukankah sekatan jalan raya ini diwujudkan untuk menghalan mereka melanggar perintah pergerakan?
Ada yang bernasib baik, syarikat masih boleh beroperasi dengan strategi Work From Home. Ada yang perlu shutdown 100% operasi syarikat.
PKP disambung ke Fasa Ke 2. Rakyat mulai resah. Pemilik syarikat mula memikirkan cara untuk menyelamatkan perniagaan. Kos perlu dikurang sejajar dengan pengurangan duit masuk. Pekerja yang tidak bernasib baik, ditamatkan kontrak. Ada juga dikurangkan elaun dan gaji dengan alasan kemelesetan ekonomi yang baru sahaj bermula.
Yang bernasib baik, walaupun tiada kerja boleh dilakukan dan hanya duduk di rumah, syarikat masih mampu untuk memberi gaji penuh, tanpa potongan cuti tahunan.
Pakej Rangsangan Ekonomi
Kerajaan juga seboleh mungkin cuba membantu rakyat & syarikat semampu yang boleh. Pakej Rangsangan Ekonomi diumumkan untuk mereka yang betul-betul perlu dengan tagline “No one left behind.”. RM250B diperuntukkan. Banyak. Syukur. Alhamdulillah.
Namun, ada juga golongan yang secara visual berkemampuan tidak berpuas hati. Seolah-olah mereka iri hati dengan sedikit rezeki yang diperolehi oleh golongan yang kurang berkemampuan. Ya, manusia tidak pernah puas dengan apa yang ada.
Tidak mungkin Kerajaan mampu memuaskan hati semua rakyat.
PKP dilanjutkan lagi untuk fasa seterusnya. Lebih sebulan rakyat patuh duduk di rumah. Kali ini bukan wabak Covid19 sahaja menghantui kita, tetapi wabak kejatuhan ekonomi mulai menular.
Wabak Ekonomi
Syarikat-syarikat besar mula gulung tikar. Bantuan daripada kerajaan sudah tidak mampu berfungsi sebagai alat bantuan pernafasan. Ditambah pula dengan kejatuhan harga minyak dunia yang secara tidak langsung memberi kesan buruk kepada banyak operasi syarikat tempatan.
Rakyat makin resah.
Pekerja sektor swasta mulai mencemburui dengan “rezeki” penjawat awam. Ada yang secara terang-terangan mempertikai gaji mereka yang masih dibayar walaupun pejabat kerajaan ditutup. Penjawat awam juga ada hati dan perasaan. Tahap kesabaran ada batasnya.
Pekerja Swasta VS Penjawat Awam
Penjawat awam mula mengungkit pendapatan mewah pekerja sektor swasta, bonus berbulan-bulan setiap tahun berbanding mereka. Pukul rata. Janji dapat balas kembali tohmahan yang dilemparkan oleh mereka di sektor swasta
Ibu bapa juga tanpa segan dan hormat, mengungkit guru-guru hanya ‘makan gaji’ buta. Ada juga mempertikai,kenapa yuran pengajian anak-anak kecil perlu terus dibayar, sedangkan tiada sesi pembelajaran.
Baiklah. Guru-guru mula ambil perhatian terhadapan lontaran komplen itu. Lalu disediakan tugasan-tugasan yang sepatutnya. Tanpa berterima kasih, ada ibu bapa yang marah-marah dengan tugasan yang diberikan.
Dikatanya, kelengkapan pembelajaran anak-anak di rumah tidak mencukupi, kerja terlalu banyak, susahnya nak mengajar anak di rumah. Lantas, apa yang ibu bapa mahukan? Hanya tahu komplen sahaja.
Komplen Sana, Komplen Sini
Pendek kata, serba-serbi tidak kena. Itu salah, ini salah. Komplen sana, komplen sini. Ketahuilah, semua rasa ini muncul apabila tiada rasa SYUKUR dalam diri.
Allah SWT tak akan uji jika kita tak mampu menghadapai ujian itu. Ini fakta dan janji Dia.
Ternyata kita mampu. Buktinya apabila usaha pelbagai pihak seperti KKM, MKN dan rakyat secara amnya, berjaya membuahkan hasil apabila peningkatan bilangan kes dapat dikurang dengan cepat. Kita juga berjaya menidakkan jangkaan pihak WHO yang kes baru Covid19 di Malaysia akan meningkat di pertengah April.
Pematuhan Rakyat Terhadap PKP Memuaskan
Pematuhan rakyat kepada PKP memuaskan hati pihak berwajib, lalu diumumkan sedikit ‘pembebasan’ melalui pelaksanaan PKP-B. Namun, masih ada yang komplen dan mengecam tindakan ‘bodoh’ kerajaan.
Seolah-olah, bila kebebasan ini diberikan, pasti bilangan kes akan meningkat. Bukankah sebelum ini, yang memastikan bilangan kes berkurangan disebabkan oleh sikap kita?
Kenapa tidak bermula 4 Mei 2020, kita tetap pastikan sikap kita sama seperti 4 fasa PKP sebelum ini? Amalkan kebersihan diri, penjarakan sosial, memakai topeng muka, kerap basuh tangan. Kenapa tidak kita terus amalkan amalan baik sebegini?
Kita Jadi Lembik Sebab PKP?
Sampai bila kita perlu duduk di rumah. Atau duduk di rumah selama ini membuatkan kita lembik dan tidak yakin yang kita boleh berjuang menentang musuh tidak nampak dengan mata kasar ini di luar sana? Kita boleh.
Belajarlah untuk rasa bersyukur. Sentiasa bersyukur dengan apa yang kita ada. Juga belajarlah rasa bersyukur dengan nikmat yang tidak sebanyak mana, tetapi ada.
Dan tidakkah kita perlu rasa bersyukur, setidak-tidaknya kita bukanlah di antara mereka yang dijangkiti oleh nano virus Covid19. Atau mereka yang terkorban akibat virus ini?
Berhentilah jadi bangsa yang suka komplen kanan dan kiri, atau dan bawah.
Bersyukurlah.

