doa berbuka puasa

Perkara Yang Membatalkan Puasa Bulan Ramadan.

Apakah perkara-perkara yang membatalkan puasa? Persoalan ini seringkali timbul ketika kita melakukan ibadat puasa di sepanjang bulan Ramadan.

Perkara yang membatalkan puasa adalah seperti berikut:

1) Makan, minum, merokok. Batal sama ada sedikit atau banyak. Suntikan makanan atau suntikan menambah vitamin juga membatalkan puasa.

Makan dan minum secara sengaja membatalkan puasa. Namun, sesiapa yang makan atau minum kerana terlupa pada siang hari di bulan Ramadhan, puasanya tetap sah.

Menurut Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w telah bersabda:Maksudnya:”Sesiapa terlupa ketika berpuasa lalu makan atau minum, dia hendaklah meneruskan puasanya kerana Allah sendiri telah memberi makan dan minum kepadanya.”- (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


2) Sampainya ain kepada rongga tengah badan melalui laluan yang terbuka.

Ain bererti fizikal sesuatu yang terlihat pada mata. Ruang tengah termasuklah bahagian otak, dan bahagian bawah halkum, perut dan terus ke kemaluan depan dan belakang. laluan terbuka bererti lubang mulut, hidung, qubul dan dubur.

Baca Juga: Niat Puasa Ramadan


3) Sengaja muntah (jolok jari ke dalam mulut).

Sesiapa yang sengaja muntah seperti menjolok jari ke dalam mulut untuk mengeluarkan sesuatu, puasanya terbataldan wajib mengqadaknya pada bulan lain. Jika termuntah, puasanya tetapsah dan boleh meneruskan puasanya. Sabda Nabi s.a.w:

Maksudnya:”Sesiapa yang muntah (secara tidak sengaja) dalam keadaan berpuasa, dia tidak perlu mengqadaknya. Tetapi sesiapa yang sengaja memuntahkannya, dia wajib mengqadak puasa.”-(Hadis Sahih Riwayat Abu Daud)

4) Persetubuhan (jimak). Sekalipun tidak mengeluarkan air mani.

Apabila seseorang telah melakukan jimak (persetubuhan), puasanya terbatal dan wajib mengqadak serta dikenakan kaffarah (denda) mengikut urutan sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a di daam Sahih al-Bukhari dan Muslim.

  • Membebaskan seorang hamba yang beriman.
  • Jika tidak menemuinya, wajib berpuasa selama dua bulan berturut-turut dan tidak boleh diselangi kecuali sebab-sebab yang dibenarkan dalam syarak seperti hari raya,sakit dan sebagainya. Jika dilakukan juga, dia perlu mengulangi jumlah hari seperti asal.
  • Jika tidak mampu setelah berusaha melakukannya, dia hendaklah memberi makan kepada 60 orang miskin.

Ulama berbeza pendapat mengenai isteri yang tidak redha dengan permintaan suami untuk bersetubuh. Pendapat paling tepat, dia hanya perlu mengqadak puasanya sahaja dan tidak dikenakan kaffarah.


5) Melancap. Yakni mengeluarkan air mani dengan sengaja.

Selain itu, sesiapa yang mencium atau memeluk isterinya tetapi air mani tidak terkeluar, puasanya tetap sah.

Aisyah r.a berkata:Maksudnya:” Rasulullah s.a.w biasa mencium dan memeluk isterinya dalam keadaan berpuasa. Tetapi, baginda adalah orang yang paling kuat menahan nafsunya.” ( Hadis Riwayat Muslim dan Abu Daud)


6) Datang darah haid atau nifas.


7) Gila dan murtad.

Semuanya membatalkan puasa apabila dilakukan secara sengaja (kecuali gila), jika tidak sengaja, terlupa dan dipaksa, maka tidak batal. Rujuk Fiqh al-Manhaji (1/241-245).

Soal Jawab Perkara Yang Menjadi Kemusykilan Perkara Batal Puasa

1# Apakah Hukum Menggunakan Inhaler Untuk Pesakit Asma?

Antara perkara membatalkan puasa ialah memasukkan sesuatu di ruang rongga. Namun kemasukan sesuatu bahan seperti ubatan inhaler di atas dasar darurat, yang berkaitan dengan kesukaran bernafas, dibolehkan oleh syarak.

Perlu disebutkan juga, dalam kes pemakaian inhaler bagi pesakit asthma, kami tarjihkan pendapat tidak membatalkan puasa atas sebab darurat dan lain-lain. Rujuk Irsyad Al-Fatwa Khas Ramadhan #15: Hukum Menggunakan ‘Inhaler’ di laman web Pejabat Mufti (https://muftiwp.gov.my/)

2# Apakah Bermimpi Sehingga Keluar Air Mani Membatalkan Puasa?

Hadas besar disebabkan mimpi tidak membatalkan puasa, sama ada anda mengalaminya sebelum atau selepas waktu sahur. Orang yang berhadas tersebut boleh meneruskan puasa. Orang itu hanyalah perlu mandi junub.

3# Apakah Suntikan Insulin Membatalkan Puasa?

Suntikan insulin yang diambil oleh pesakit kencing manis tidak membatalkan puasa. Ini adalah kerana suntikan tersebut bukanlah melalui rongga yang terbuka dan tidaklah memberi sebarang kekenyangan atau kepuasan kepada si pesakit.

4# Apakah Korek Hidung Atau Telinga Membatalkan Puasa?

Di antara sebab batal puasa ialah memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka secara sengaja. Membersihkan telinga atau hidung tidak semestinya membatalkan puasa. Ia dibolehkan dengan kadar sederhana dan berhati-hati.

Contohnya, membersihkan telinga di kawasan yang tidak terlalu dalam. Namun, jika anda ragu-ragu perbuatan anda, dinasihatkan untuk melakukan aktiviti membersihkan telinga atau hidung pada waktu malam.

Leave a Reply