keputusan najib

Bekas Perdana Menteri Kekal Bersalah, Kekal Hukuman Penjara 12 Tahun

Mahkamah Rayuan di sini sebentar tadi sebulat suara mengekalkan sabitan salah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd. selepas menolak rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dan bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara memutuskan demikian selepas mendapati rayuan Ahli Parlimen Pekan itu tidak mempunyai merit.

Ketika prosiding keputusan menerusi aplikasi Zoom tepat jam 9.30 pagi, Abdul Karim berkata, mahkamah bersetuju dengan dapatan Mahkamah Tinggi bahawa perayu adalah pengarah bayangan SRC.

“Beliau melantik pengarah lain dalam syarikat itu dan menandatangani surat pelantikan, maka disebabkan itu, semua pengarah mematuhi arahan Najib di mana tiada bukti menunjukkan bahawa mereka tidak mematuhi keputusan berkenaan,” – Datuk Abdul Karim Abdul Jalil

Kekal Hukuman Penjara 12 Tahun

Mahkamah turut mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan terhadap Najib sebelum ini atas alasan hukuman yang dikenakan adalah wajar dan bersesuaian.

Tujuh pertuduhan yang dikenakan terhadap Najib membabitkan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa melibatkan dana syarikat itu.

Dalam penghakiman yang dibacakan, mahkamah antara lain menyatakan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali adalah selamat dan tidak perlu diubah.

Peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sedang mengemukakan permohonan agar hukuman penjara dan denda tersebut ditangguhkan kerana mereka ingin mengemukakan rayuan.

Terkini: Permohonan Rayuan Dibenarkan

Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk menangguhkan sabitan dan pelaksanaan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta selepas menolak rayuannya untuk mengetepikan tujuh tuduhan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan bekas Perdana Menteri itu selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge