
Berita Baik! Bantuan Khas Aidilfitri RM500 Kepada Penjawat Awam.
Berita baik untuk semua penjawat awam sempena Aidilfitri nanti.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan, kerajaan bersetuju memberi Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah termasuk kakitangan di bawah skim Contract Of Service, Contract For Service, Pegawai Sambilan Harian serta lantikan di bawah MySTEP.
Menurut Perdana Menteri, bantuan khas sebanyak RM250 juga akan disalurkan kepada pesara kerajaan.
“Bantuan khas tersebut melibatkan peruntukan sebanyak RM923 juta dan akan memanfaatkan lebih dua juta penjawat awam dan pesara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pengumuman pemberian Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri pada tahun ini dibuat lebih awal sebagai salah satu langkah keprihatinan kerajaan dalam membantu mereka membuat perancangan awal dan persiapan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Pemberian ‘duit raya’ itu adalah bagi menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam dalam menggalas tanggungjawab menyampaikan perkhidmatan kepada Keluarga Malaysia
Beliau berkata, pembayaran bagi bantuan khas ini akan dibuat bersama dengan pembayaran gaji bulan April iaitu pada 25 April 2022.