Boleh Ke Guna MyKad Ahli Keluarga Untuk Beli Petrol Subsidi

Menurut Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), menggunakan MyKad milik orang lain, termasuk ahli keluarga, untuk membeli bahan api bersubsidi adalah dilarang, .

Ketua Pengarahnya, Datuk Badrul Hisham Alias berkata, MyKad ialah dokumen pengenalan rasmi yang tidak boleh digunakan, dipegang atau diwakili oleh individu lain.

“Larangan ini selaras dengan Peraturan 25 Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, yang menetapkan bahawa penggunaan atau pemilikan kad pengenalan orang lain adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Oleh itu, semua urusan di kaunter, termasuk pembelian bahan api, mesti dilakukan sendiri oleh pemilik MyKad sebenar,” katanya.

Beliau menambah bahawa meminjamkan atau menyerahkan MyKad kepada orang lain harus dielakkan bagi memastikan pemilik tidak berdepan implikasi undang-undang.

Kenyataan itu susulan laporan media baru-baru ini yang memetik Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, mengenai penahanan seorang lelaki yang disyaki menggunakan empat kad pengenalan untuk membeli lebih 100 liter petrol RON95.

Suspek itu ditahan ketika sedang mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Tumpat, Kelantan.

Susulan itu, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sedang menyiasat kes individu yang menggunakan kad pengenalan milik orang lain untuk membeli bahan api bersubsidi di stesen minyak di seluruh negara.

Pihak berkuasa turut mengingatkan orang ramai agar tidak menyalahgunakan dokumen pengenalan diri, sambil memberi amaran bahawa penguatkuasaan tegas akan terus dilaksanakan bagi membendung kesalahan itu.

Kesimpulan Kepada Pertanyaan Boleh Ke Guna MyKad Ahli Keluarga Untuk Membeli Petrol Bersubsidi?

TIDAK BOLEH.

Penggunaan MyKad orang lain (termasuk ahli keluarga) untuk membeli petrol bersubsidi (BUDI95) adalah salah di sisi undang-undang.

Setiap individu hanya boleh menggunakan MyKad sendiri, dan tindakan meminjam atau menyimpan MyKad individu lain boleh didenda sehingga RM20,000, penjara hingga 3 tahun, atau kedua-duanya sekali.

Leave a Reply