
Gua Jerung Maldives Bertukar Kubur: Kesilapan Yang Meragut Enam Nyawa Pakar Laut
Siapa sangka, air laut Maldives yang jernih bak kristal dan sentiasa menjadi idaman pelancong satu dunia kini bertukar menjadi saksi kepada satu tragedi ngeri.
Apa yang berlaku pada minggu lepas di sana bukan lagi sebuah kisah percutian yang indah.
Ia sudah direkodkan sebagai tragedi selam skuba paling teruk dalam sejarah negara kepulauan tersebut.
Enam nyawa melayang secara beruntun.
Kisah sedih ini bermula di sebuah lokasi dasar laut di kawasan sistem Dhekunu Kandu berhampiran pulau Alimathaa.
Pada hari Khamis 14 Mei yang lepas, lima orang pelancong warga Itali pergi melakukan selaman di kawasan terumbu tersebut.
Kumpulan ini bukan pelancong biasa yang sekadar mahu melihat ikan cantik di tepi pantai.
Empat daripada mereka adalah pakar biologi laut dari Universiti Genoa di Itali.
Antaranya adalah pakar ekologi laut yang sangat terkenal, Monica Montefalcone yang berumur 51 tahun.
Dia ditemani anak perempuannya Giorgia Sommacal yang berusia 23 tahun.
Dua lagi rakannya adalah Muriel Oddenino dan Federico Gualtieri.
Mereka berempat turut dipandu oleh seorang tenaga pengajar selam bertauliah bernama Gianluca Benedetti.

Di sinilah satu kesilapan besar bermula.
Undang-undang kerajaan Maldives sudah menetapkan had kedalaman menyelam untuk rekreasi adalah terhad setakat 30 meter sahaja.
Akan tetapi kumpulan pakar ini telah turun meneroka jauh ke dalam perut gua tersebut pada kedalaman ekstrem iaitu 50 hingga 60 meter.
Bila manusia menyelam terlalu dalam, risiko fizikal untuk terkena keracunan nitrogen atau penyakit penyahmampatan (decompression sickness) adalah sangat tinggi.
Pada petang kejadian, kelima-lima individu ini gagal naik ke permukaan air.
Pasukan penyelamat tempatan yang bergegas ke lokasi cuma berjaya menemui jasad Benedetti berhampiran dengan pintu masuk gua.
Ada satu fakta teknikal yang sangat menakutkan tentang penemuan jasad pengajar ini.
Waktu mayatnya dijumpai, bacaan pada tangki oksigennya menunjukkan angka sifar.
Tangkinya disahkan kosong sepenuhnya.
Ini adalah bukti paling kukuh bahawa mereka terperangkap di dalam gua, sesat dalam keadaan panik dan kehabisan gas sebelum sempat mencari jalan keluar.
Empat lagi pakar marin hilang tanpa jejak tertelan di dalam kegelapan lubang batu karang itu.
Pada hari Sabtu 16 Mei, operasi mencari diteruskan.
Seorang komando dari Angkatan Pertahanan Nasional Maldives (MNDF) bernama Sarjan Mejar Mohamed Mahudhee mempertaruhkan nyawanya turun menjejaki mangsa.
Namun nasib tidak menyebelahi wira tempatan yang berumur 44 tahun ini.
Berdasarkan analisis pakar, dia menyelam ke tahap ekstrem itu hanya menggunakan udara termampat biasa.
Dia sepatutnya menggunakan gas campuran khas yang dipanggil ‘trimix’ untuk selaman gua laut dalam.
Disebabkan tekanan air yang melampau, Mohamed Mahudhee terkena serangan penyakit penyahmampatan secara mengejut.
Dia dikejarkan ke hospital tetapi disahkan meninggal dunia pada hari yang sama.
Kematian anggota tentera ini terus melumpuhkan keupayaan operasi tempatan.
Pihak berkuasa Maldives sedar kawasan itu terlalu bahaya dan mereka terpaksa memanggil pakar dari luar negara.

Tiga orang pakar selam gua laut dalam elit dari negara Finland diterbangkan khas untuk menyambung operasi yang tergendala ini.
Pasukan Finland ini bukan calang-calang orang.
Mereka adalah pakar legenda yang sama menyelesaikan misi pemulihan mayat di Gua Plura, Norway pada tahun 2014.
Misi epik mereka di Eropah itu pernah dijadikan sebuah dokumentari terkenal bertajuk ‘Diving Into The Unknown’.
Berbekalkan kelengkapan pernafasan litar tertutup (CCR) yang serba canggih, pasukan Eropah ini akhirnya berjaya masuk jauh ke dewan ketiga gua pada Isnin 18 Mei.
Mereka menemui keempat-empat jasad pelancong Itali itu berkumpul di satu sudut yang sama.
Dari sudut geologi, kawasan laut Dhekunu Kandu ini memang terkenal dengan bentuk muka bumi yang sangat kejam.
Arus air di situ sangat kuat dan boleh menjadi bergelora secara mendadak.
Bila arus pusar yang kuat melanda, pasir dari dasar akan berpusing naik ke atas dengan cepat.
Keadaan ini akan menyebabkan jarak penglihatan terus bertukar menjadi sifar.
Bila keadaan gelap gelita dan penglihatan menjadi buta, penyelam akan terus hilang arah untuk mencari laluan keluar.
Mereka akan terperangkap di dalam rangkaian lorong batu karang yang berselirat itu dan lemas selepas nafas terakhir disedut.
Tragedi ini adalah satu peringatan buat kita semua.
Walaupun kita pakai kelengkapan paling mahal atau kita ada segulung ijazah tertinggi dalam bidang laut, kita takkan pernah boleh menang bila berlawan dengan hukum alam.
Laut yang nampak tenang di permukaan itu akan sentiasa menuntut nyawa bila manusia mula leka.
Salam takziah diucapkan kepada ahli keluarga kesemua mangsa yang terkorban.
Paling utama, penghormatan besar buat keluarga Sarjan Mejar Mohamed Mahudhee yang kehilangan seorang ayah dan suami ketika beliau berjuang menyelamatkan nyawa orang lain. Jasanya pasti akan dikenang.
