dakwat SPR

Dua Sebab Kepentingan Manifesto Gabungan Parti Politik Untuk Rakyat.

“Manifesto Tak Penting Langsung Dalam Pilihanraya!” Ini antara cemuhan yang acap kali didengari semasa kempen pilihanraya. Tidak terkecuali Pilihanraya Ke-15 (PRU15) yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Tiga gabungan politik besar iaitu Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) – telah pun melancarkan manifesto pilihan raya.

Ada menyindir kononnya manifesto tidak penting kerana bukan ‘kitab suci’ atau sekadar menjanjikan bulan dan bintang. Malah, ada dalam kalangan penganalisis politik dan ahli politik memandang sinis kepentingan manifesto.

Namun, sekurang-kurangnya dua sebab manifesto adalah mustahak.

Kepentingan Manifesto 1#

Manifesto ialah dokumen memaksa parti atau gabungan politik mengemukakan gagasan mereka mentadbir negara.

Manifesto adalah blueprint mengandungi idea, dasar dan tawaran memberi bayangan corak pemikiran kerajaan baharu. Apa hala tuju negara jika menjadi kerajaan? Bagaimana hendak menyelesaikan masalah ini atau menangani krisis itu?

Melalui manifesto, rakyat dapat membuat pilihan berdasarkan informed decision, bukannya memilih membuta tuli atau sekadar mengikut kesetiaan pada parti.

Kepentingan Manifesto 2#

Manifesto menjadi ruang amat berguna untuk pembabitan umum dalam proses demokrasi.

Jika bukan kerana manifesto pilihan raya, segala keputusan dasar akan ditentukan dalam bilik berhawa dingin. Belanjawan tahunan dirunding antara pegawai tinggi kerajaan dengan golongan elit politik di bilik mesyuarat Kompleks Kementerian Kewangan (MoF). Jarang sekali rakyat umum, aktivis, badan pemikir dapat memberi tekanan dan ‘input’ hingga idea dari bawah diangkat sebagai dasar.

Mengikut Profesor Politik Universiti Humboldt Berlin, Prof Heike Kluver, parti politik mendengar suara pengundi apabila memutuskan isu dasar perlu dititikberatkan ketika pilihan raya dan bertindak balas melalui tawaran dalam manifesto pilihan raya. Sarjana lain turut mendapati jika sesuatu isu atau dasar dimasukkan dalam manifesto, Kabinet kerajaan akan cenderung menumpukan lebih banyak perhatian kepada isu atau dasar berkenaan.

Baca Juga: Hukum Memilih Pemimpian…

Manifesto adalah Pintu Masuk

Justeru, manifesto pilihan raya ialah ‘pintu masuk’ mempengaruhi dan mengikat parti politik dengan tuntutan tertentu. Misalnya, gerakan sosial atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahupun badan pemikir boleh melobi, berunding dan mempengaruhi parti politik untuk mengambil pendirian tertentu dalam sesuatu isu – atau mengemukakan dasar radikal baharu – melalui manifesto.

Contohnya, idea ‘pendidikan percuma’ dibawa aktivis mahasiswa di jalanan lebih 10 tahun lalu. Mustahil pegawai tertinggi di MoF mengalukan idea dari jalanan ini.

Tanggal 2 dan 7 November 2022, sebahagian idea ini diarusperdanakan apabila dua gabungan politik terbesar, PH dan BN, menjanjikan dasar serupa dalam manifesto mereka. PH menawarkan Biasiswa B40 dan pengampunan hutang pendidikan tinggi bersasar, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman pendidikan. BN pula menawarkan pendidikan tinggi percuma untuk semua individu daripada keluarga B40.

Adakah tawaran ini populis? Sudah tentu parti politik ingin meraih undi tetapi ini juga perkembangan harus untuk menyelamatkan graduan dan bakal pelajar kolej dan universiti daripada terjerat dalam hutang pendidikan.

Mengikut kajian The Centre mengumpulkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), pelajar daripada isi rumah B40 ialah kumpulan defaulters paling besar dan mengalami tekanan kewangan serius. Jika ditunaikan janji manifesto BN atau PH ini, implikasinya pada masa hadapan, jutaan anak muda akan bebas hutang pendidikan.

Kemuka Dasar Prodemokrasi

Ini tidak akan berlaku jika bukan kerana manifesto membolehkan idea ‘marginal’ dibawa gerakan sosial, NGO, badan pemikir dan masyarakat umum diserapkan dalam agenda arus perdana, sekali gus mengubah wacana dan dasar.

Tidak lengkap jika tidak membuat perbandingan manifesto. Manifesto BN dan PH kelihatan segar – mungkin kerana pembabitan atau idea pimpinan baharu dalam pembikinan manifesto kali ini seperti Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga calon Ahli Parlimen Kota Tinggi; Shahril Sufian Hamdan (Alor Gajah); Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa); Adam Adli Abdul Halim (Hang Tuah Jaya) dan Rajiv Rishyakaran (ahli dewan undangan negeri Bukit Gasing).

Manifesto BN dan PH mengemukakan beberapa dasar prodemokrasi seperti memisahkan peranan pendakwa raya dan peguam negara, memperkasakan Parlimen dengan memberi kuasa menyemak pelantikan jawatan penting seperti Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan peguam negara. Ini langkah baik ke arah pengurangan penumpuan kuasa di tangan Perdana Menteri.

PH turut berikrar mengkaji semula atau menghapuskan Akta Hasutan, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dan menggubal Akta Kebebasan Maklumat.

PN pula menekankan retorik antirasuah, tetapi menawarkan amat sedikit butiran pelan tindakan selain mewujudkan Mahkamah Antirasuah.

Dari segi dasar awam pula, antara tawaran manifesto BN ialah skim bantuan pendapatan asas dalam bentuk top up atau tambahan pendapatan bulanan bagi memastikan semua isi rumah mempunyai sekurang-kurangnya RM 2,208 sebulan. Pengecualian cukai penuh selama lima tahun turut dimuatkan untuk wanita kembali bekerja selepas tempoh rehat kerjaya.

Manifesto PH mempunyai dua perundangan menonjol dalam aspek alam sekitar: Akta Perubahan Iklim dan Akta Jerebu Rentas Sempadan. Mereka turut merancang mengambil alih penyelenggaraan pangsapuri kos rendah, melindungi kepentingan pemilik rumah dan penyewa dengan mewujudkan Tribunal Khas Perumahan serta memperluas elaun khas kepada golongan hilang pekerjaan kepada pekerja kontrak.

Tawaran pengangkutan awam daripada ketiga-tiga gabungan politik menghampakan. Dari segi kesihatan, BN merancang untuk menyediakan skim subsidi nasional untuk ujian mamogram dan program saringan kanser serviks. PH menyediakan tawaran agak lengkap dalam aspek perlindungan sosial termasuk menginstitusikan elaun penjagaan warga emas. PN menawarkan Kad Prihatin Nasional memberi akses perkhidmatan kesihatan terpilih percuma di klinik swasta dan hospital kerajaan.

Manifesto adalah penting untuk persaingan politik sihat. Malah, ada sesetengah calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak puas sekadar berkempen ‘menjual’ manifesto parti, lalu mengetengahkan ‘manifesto’ peribadi. Misalnya, pada ceramah Ahad lalu di Kampung Paya Jaras, calon Ahli Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin, berkata beliau sedang melakar manifesto khusus untuk kawasan itu meliputi tawaran pendidikan khas dan penambahbaikan klinik kesihatan.

Tak semestinya semua tawaran dalam manifesto akan dilaksanakan sepenuhnya. Namun, ini tidak bermakna manifesto tidak penting! Jika separuh idea segar dan bernas dalam manifesto dilaksanakan, ia kejayaan kecil juga kerana kita mula dengan tiada apa-apa.

Kita harus menghargai dan meraikan amalan demokrasi yang parti politik berlumba-lumba membuat tawaran dasar terbaik untuk rakyat.

Jujurnya, manifesto bukan kitab suci kerana tidak ada kedudukan dalam undang-undang, tetapi ia ‘kitab rakyat’ kerana sebahagiannya dibikin oleh dan untuk rakyat, sekali gus menjadi satu ikatan antara parti dengan pengundi.

Sumber Asal: Pengurus Penyelidikan The Centre dan Ketua Sekretariat Perundingan, Pertubuhan Naratif Malaysia (NARATIF)

2 Replies to “Dua Sebab Kepentingan Manifesto Gabungan Parti Politik Untuk Rakyat.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge