malaysia mengundi

Perkara Yang Perlu Anda Tahu Sebelum Mengundi

Anda yang pertama kali membuang undi, pasti tertanya-tanya apa yang perlu dilakukan ketika hari mengundi nanti. Sebenarnya, ada beberapa perkara yang diboleh dan dilarang semasa proses membuang undi.

Kami kongsikan panduan perkara yang perlu dilakukan semasa hari mengundi. Semoga perkongsian ini sedikit sebanyak dapat membantu rakyat Malaysia lebih bersedia dan cakna tentang apa yang perlu dilakukan pada hari penting itu, lebih-lebih lagi buat individu yang pertama kali mengundi.

Perkaran Yang Perlu Anda Semak Dan Tahu Sebelum Mengundi.

  1. Sebelum mengundi, anda perlu semak tempat mengundi. Boleh semak di mysprsemak.spr.gov.my atau Hubungi ibu pejabat SPR 03-8892 7018
  2. Bawa Kad Pengenalan anda. Jika kehilangan kad pengenalan, pemilih berdaftar juga boleh mengemukakan Resit JPN.KP 9 atau Resit JPN.KP11 yang disahkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara.
  3. Datang awal ke tempat mengundi yang betul. Anda dinasihatkan untuk datang awal ke lokasi mengundi masing-masing. Hal ini kerana pada hari kejadian, pasti beribu-ribu rakyat akan turun padang untuk mengundi.
  4. Dapatkan slip saluran pengundi. Saluran mengundi bagi pengundi biasa, SPR menetapkan tidak lebih daripada 750 nama pengundi. Anda perlu dapatkan slip saluran pengundi untuk mengetahui anda diagihkan di saluran yang mana. Selepas sudah mengetahui nombor saluran, pengundi boleh terus ke saluran yang ditetapkan. 
cara mengundi yang betul

Turutan Proses Membuang Undi Di Bilik Undi:

1. Masuk bilik undi – anda boleh masuk apabila dibenarkan oleh anggota polis yang bertugas mengawal selia pintu masuk di bilik undi.

2. Serah Mykad – serahkan Mykad atau dokumen pengenalan diri dan slip semakan (jika ada) kepada Kerani Pengundian Pertama. Tunjukkan kedua-dua belah tangan untuk diperiksa.

3. Semakan Mykad – kerani pengundian pertama akan memberikan Mykad atau dokumen pengenalan diri pengundi kepada kerani pengundian kedua untuk pengesahan. Pastikan nombor kad pengenalan dan nama anda yang disebut oleh kerani pengundian pertama adalah tepat.

4. Celup jari – bergerak ke hadapan kerani pengundian kedua. Celupkan jari telunjuk tangan kiri ke dalam botol dakwat pilihan raya apabila diminta oleh kerani pengundian kedua.

5. Kertas Undi – anda akan menerima kertas undi daripada kerani pengundian ketiga.

6. Tinggalkan telefon – anda akan bergerak ke meja ketua tempat mengundi (KTM) untuk meninggalkan telefon bimbit/pintar.

7. Pilih calon – bergerak ke petak undi dan tandakan ‘X’ pada ruang kosong bersebelahan dengan nama dan simbol calon dalam kertas undi dengan menggunakan pen. Anda hanya boleh pilih satu calon sahaja.

8. Peti Undi – masukkan semula kertas undi tadi ke dalam peti undi yang betul.

9. Ambil semula telefon – bergerak ke meja KTM sekali lagi untuk mengambil semula telefon bimbit/pintar yang diletakkan tadi.

10. Beredar- segera tinggalkan tempat mengundi setelah selesai mengundi.
Langkah penyerahan telefon bimbit bermula pada langkah ke enam. Jika dilihat melalui infografik yang dikongsikan, pengundi diminta untuk bergerak ke meja ketua tempat mengundi (KTM) untuk meninggalkan telefon bimbit selepas menerima kertas undi.

Ciri-ciri Undi Rosak / Undi Ditolak

Tahukah anda, istilah Undi rosak hanya terpakai kepada kertas undi yang TIDAKDIMASUKKAN dalam tempoh pengundian, manakala istilah KERTAS UNDI DITOLAK pulak berlaku semasa proses pengiraan kertas undi.

PERATURAN 21: PERATURAN-PERATURAN PILIHAN RAYA (PENJALANAN PILIHAN RAYA) 1981

Contohnya kertas undi terkoyak secara tidak sengaja, itu istilahnya kertas undi rosak dan ia tidak dimasukkan ke dalam peti undi.

Ketika itu, pengundi boleh memohon kertas undi baharu dari Ketua Tempat Mengundi.

PERATURAN 25 (6) (7) PERATURAN-PERATURAN PILIHAN RAYA (PENJALANAN PILIHAN RAYA) 1981

Ketua Tempat Mengundi atau orang yang diberikan kuasa olehnya hendaklah kemudiannya mengira kertas undi itu mengikut undian oleh pemilih bagi setiap calon dan hendaklah mencatatkan perkataan ‘ditolak’ pada mana-mana kertas undi yang ditolak sebagai tidak sah.

Ketua Tempat Mengundi hendaklah menolak sebagai tidak sah kertas yang berikut sahaja, iaitu mana-mana kertas undi:

  • Kertas undi tidak dicapkan dengan tanda rasmi
  • Undi diberikan lebih dari satu calon
  • Menulis perkataan pada kertas undi
  • Kertas undi yang tidak bertanda dan tidak menanda di dalam kotak
  • Pengundi tidak menunjukkan tujuan yang jelas pada kertas undi

Adakah Tanda Selain Pangkah Dikira Sebagai Undi Rosak?

SPR menjelaskan bahawa selain tanda pangkah ‘X’ pada kertas undi, tanda lain seperti titik juga boleh diterima sebagai undi.

Menurut Pengerusi SPR, syaratnya sesuatu tanda itu mestilah dibuat di dalam ruangan yang disediakan.

“Tulis (perkataan) tak boleh, tapi kalau ‘dot’, ‘tick’ atau apa tanda yang dibuat dalam kotak kita boleh takrifkan bahawa dia punya ‘intention’ (niat) adalah untuk memilih calon itu. Dalam garis panduan kita, apa tanda pun diterima tak semestinya pangkah tetapi jangan buat di semua kotak.”

(Sumber: Sebenarnya.com)

Tak Tahu Nak Undi Calon Mana?

Bagi yang masih tidak tahu mahu undi siapa, anda dinasihatkan untuk memeriksa pencapaian, kredibiliti dan rekod calon-calon sebelum mengundi.

Akhir kata, selamat mengundi kepada semua yang keluar mengundi. Satu undi daripada anda amat bermakna kepada generasi akan datang.

Pilihlah dengan bijak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge