3 Mindset Perlu Ubah Bila Berkomunikasi Dengan DIA

Antara 3 “mindset” yang saya ubah apabila saya dalam kekusutan bermula tahun lalu ialah:

1. Berhenti letak dalam diri kalau bersedekah, akan dapat rezeki lebih banyak.

2. Berhenti letak dalam diri kalau bertahajjud, akan datang rezeki melimpah ruah.

3. Berhenti letak dalam diri kalau buat baik kepada ibu bapa, keluarga, isteri, anak-anak akan buat rezeki tak putus-putus.

Saya cuba memahami semula konsep yang diajarkan oleh entah siapa tentang 3 hal di atas.

Mencari benar-benar orang memahami agama. Rupanya kita semua salah faham.

Sedekah sebenarnya adalah menghapuskan dosa, bukti keimanan kepada Allah dan memberi pahala yang sangat besar di sisi Allah. Benar ia ada kaitan dengan rezeki. Namun salah niat, hancur pahala.

Beri ini nak dapat itu. Salah weh.

Bangun tahajjud malam-malam. Duk minta nak kaya, duk minta nak berharta, duk minta nak itu nak ini. Hangpa kena faham tahajjud ini adalah tentang keikhlasan diri mengadap Allah di malam yang tiada sesiapa nampak kecuali Allah. Ia juga tentang menghapuskan dosa, mendekatkan diri kepada Allah dan mendapat keredaan Allah.

Akhir sekali tentang buat baik kepada ibu bapa. Kita buat baik sebab kita nak rezeki kita melimpah ruah? Kuangkuangkuang. Ibu bapa itu tanggungjawab kita weh. Tak perlu ada sebab pun untuk terus buat baik kerana ia memang tanggungjawab kita pun. Tak perlu pun kalau ia tentang rezeki dan sebagainya, ia memang wajib berbuat baik.

Sejak saya ubah semua ini, saya jadi lain. Saya buat sahaja ikut keikhlasan hati saya.

Perkara paling mustahak kita memohon dari Allah ialah taubat kita diterima, keampunan kita sebagai hamba itu diterima dan keredaan Allah kita hidup berpuluh tahun itu diterima.

Lalu waktu itulah Allah beri itu beri ini. Waktu itu kita tak terfikir pun ia datang bagaimana dan cara apa.

Kita usahakan sahaja ikut apa ada di tangan kita. Selebihnya kita berbuat dan berusaha.

Ingat kawan-kawan,

Sedekah nak rezeki lebih, akan kecewa. Akan mula ada dalam hati “aku dah sedekah pun tak ada pun dapat rezeki berganda.”

Tahajjud nak duit berkepuk, akan kecewa. Dah tahajjud sebulan dua masih dalam kesusahan, mula akan rasa ibadah itu adalah ibadah yang salah. Padahal niat kita yang salah.

Buat baik kepada ibu bapa sebab nak jualan laris. Tiba-tiba makin lingkup, mula rasa malas dah nak buat baik. Mula rasa ibu bapa itu menyusahkan. Jangan weh.

Semua itu kena perbaiki niat.

Sedekah sahaja lillahi taala.

Tahajjud sahaja lillahi taala.

Buat baik sahaja lillahi taala.

Betulkan niat. Betulkan hati. Betulkan jiwa.

Kalian akan tenang hadap ujian.

Begitulah.

Khairul Hakimin Muhammad,

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge