
Rayan Disahkan Meninggal Dunia
Selama 5 hari terperangkap di dalam sebuah perigi, seorang kanak-kanak lelaki Maghribi disahkan telah meninggal dunia, lapor laman berita Al-Arabiya.
Rayan Oram, kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang terjatuh dan terperangkap di dalam perigi sedalam 32 meter ditemui dalam keadaan tidak bernyawa oleh pasukan penyelamat Maghribi.
Kenyataan mengenai kematian Rayan Awram, 5, dikeluarkan oleh dua badan kerajaan tempatan sejurus kanak-kanak itu berjaya dikeluarkan daripada perigi tersebut.
Menurut laporan media tempatan, Rayan sudah pun meninggal dunia ketika pasukan penyelamat berjaya menembusi perigi sedalam 32 meter itu.

Operasi Menyelamat – AFP
Kematian Rayan disahkan susulan kenyataan dikeluarkan pihak Raja Maghribi, Raja Mohammed VI yang menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
“Susulan kemalangan tragis mengorbankan nyawa kanak-kanak, Rayan Oram, Raja Mohammed VI memanggil ibu bapa kanak-kanak itu yang maut selepas terjatuh ke dalam perigi”
Rayan jatuh ke dalam perigi kosong sedalam 32 meter di kampung Ighrane yang terpencil di wilayah Chefchaouen, Selasa lalu.
Terdahulu, pasukan penyelamat dilaporkan berjaya mengeluarkan mangsa dari perigi terbabit pada waktu malam selepas melakukan penggalian sejak beberapa hari lalu.
Ibu bapa kanak-kanak itu turut dilihat menuruni cerun digali pasukan penyelamat sebelum kembali ke permukaan dan menaiki ambulans sehingga menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai yang menantikan perkembangan operasi berkenaan.
Kejayaan menyelamatkan Rayan diiringi laungan ‘Allahuakbar’ daripada penduduk tempatan yang setia menanti di sekitar kawasan kejadian.

Sepanjang operasi menyelamatkan Rayan, pihak berkuasa sebelum ini menyatakan mereka tidak dapat menentukan nasib kanak-kanak malang terbabit.
Rayan dilaporkan terjatuh dalam perigi berkenaan pada petang Selasa lalu, yang mana insiden itu mengundang simpati masyarakat Maghribi dan dunia keseluruhannya.
Perigi hanya seluas 45 sentimeter itu terlalu sempit untuk penyelamat turun menyelamatkan kanak-kanak itu dan meluaskannya terlalu berisiko, sekali gus jentera membuat cerun ke dalam bukit untuk menyelamatkan kanak-kanak itu dari bahagian tepi.
Operasi itu menjadi bertambah rumit disebabkan campuran pelbagai jenis batu dan tanah berpasir, sekali gus meningkatkan risiko tanah runtuh.
Sepanjang operasi menyelamatkan kanak-kanak terbabit, pasukan penyelamat terpaksa menggunakan jentera bagi menggali lubang berhampiran perigi sebelum mengorek terowong untuk sampai ke lokasi mangsa.
Usaha itu terpaksa dilakukan secara berhati-hati bagi mengelakkan sebarang gegaran yang mungkin menyebabkan runtuhan.
Rujukan: AFP || Kosmo || HMetro
