
Ain & Bapa Disaman Guru Atas Dakwaan Fitnah ‘Lawak Rogol’
Sebelum ini, seorang pelajar perempuan iaitu Ain Husniza Saiful Nizam pernah mendedahkan mengenai dakwaan lawak rogol yang dilakukan oleh seorang guru lelaki subjek Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK) di sebuah sekolah menengah di Selangor.
Terkini, Ain Husniza yang sebelum sudah memulakan sesi pembelajaran di sekolah baharu yang juga merupakan sebuah sekolah swasta disaman oleh pendidik tersebut.
Sah Terima Writ Saman
Bapa Ain, Encik Saiful Nizam mengesahkan telah menerima writ saman berkenaan dengan memuat naik satu posting di laman Facebook.

Berdasarkan salinan dokumen tersebut, guru terbabit Khairul Nizam Sanuddin memfailkan saman dengan menamakan dua beranak itu sebagai defendan melalui sebuah firma guaman di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 26 November lalu.
Sebelum ini, Saiful Nizam telah menerima notis tuntutan bagi kenyataan fitnah dimana salah satunya adalah bayaran ganti rugi RM1 juta.
Bapa Ain Rancang Saman Balas
Malah, dia turut merancang bagi menyaman balas guru yang pernah mengajar pendidikan jasmani dan kesihatan di SMK Puncak Alam itu sebanyak RM5 juta.
Peguam Datuk Sangkara Nair yang mewakili dua beranak berkenaan berkata, tindakan saman balas itu kerana Ain menghadapi kemurungan dalam konteks sengaja mencetuskan tekanan emosi (IIED).
April lalu, Ain atau nama penuhnya Nurain Husniza mendakwa guru tersebut bergurau “Nanti kalau korang (pelajar) nak rogol, jangan rogol bawah 18 tahun. Rogol orang yang atas 18 tahun” menerusi pendedahan video di aplikasi TikTok.
Rujukan Asal: Facebook Saiful Nizam || TikTok @ainhsaifulnizam || Utusan Online (Suwarni Mokhtar)
