
Bahana Nikah Sindiket
Umat Islam wajib mengambil pengajaran daripada perkahwinan luar negara tanpa kebenaran atau pernikahan sindiket.
Demikian antara intipati dalam khutbah Jumaat bertajuk ‘Bahana Nikah Sindiket‘ yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) hari ini.
Bernikah adalah salah satu ibadah yang telah diperintahkan oleh Allah SWT dan menjadi salah satu Sunnah Nabi Muhammad SAW yang utama. Bernikah juga dituntut sebagai suatu usaha menyambung
silaturrahim serta keturunan seseorang di masa hadapan di samping membina keluarga yang bahagia di dunia dan akhirat.
Dengan niat dan tujuan yang sangat murni, syariat Islam telah menetapkan setiap pernikahan yang dijalankan wajib memenuhi rukun dan syaratnya agar matlamat utama pernikahan dapat sesuai dengan salah satu Maqasid Syariah iaitu “memelihara nasab” dapat dimplementasikan dalam kehidupan sesebuah keluarga.
Oleh itu, sebagai umat Islam, kita perlu sedar urusan pernikahan yang akan dijalankan perlu mengikut undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa agama bagi memastikan setiap akad nikah adalah menepati hukum syarak demi kebaikan suami isteri dan ahli keluarga.
Mutakhir ini, kita sering mendengar semakin ramai umat Islam di Malaysia amnya telah melaksanakan majlis akad nikah di luar negara seperti di Thailand, Indonesia, India, Pakistan, Bangladesh dan pelbagai negara lain, yang mana pernikahan yang dijalankan ada yang mendapat kebenaran dari pihak berkuasa yang telah diamanahkan seperti Jabatan Agama Islam Negeri di Malaysia dan sangat mendukacitakan ada pernikahan yang dijalankan tanpa mendapat kebenaran sebelum akad nikah dijalankan.
Baca Juga: Hukum Isteri Dicerai Berkenalan Dengan Lelaki Lain

Pelbagai sebab utama telah dikenalpasti menjadi punca berlakunya pernikahan di luar negara dan ada pernikahan yang dijalankan tanpa kebenaran atau yang disebut sebagai “nikah sindiket”, di antaranya
adalah:
- Berpoligami tanpa kebenaran dengan alasan ianya lebih mudah tanpa melalui proses di mahkamah dan tanpa pengetahuan isteriisteri sedia ada, sedangkan berpoligami dianjurkan antaranya dapat membina jaringan keluarga yang lebih luas dengan sifat kasih sayang sesama ahli keluarga.
- Mendakwa wali nasab sedia ada tidak bersetuju atau enggan, sedangkan perkara ini boleh diselesaikan dengan permohonan wali hakim atau wali raja di Mahkamah Rendah Syariah dan ianya lebih mudah dan selamat daripada kesan negatif jangka panjang.
- Pasangan yang telah terlanjur hinggakan ada yang telah mengandung. Oleh sebab itu mereka yang menganggap bernikah di luar negara dapat menutup aib mereka, sedangkan hakikatnya setiap perbuatan dosa itu tetap wajib bertaubat dan bersedia bertanggungjawab dengan kelahiran anak yang mungkin menjadi tidak sah taraf.
- Pasangan yang bernikah dengan warga asing dengan anggapan ianya mudah kerana tidak perlu mendapatkan kebenaran dari pihak bertanggungjawab bagi warga asing tersebut, sedangkan proses pendaftaran tanpa kebenaran akan mengambil masa yang lama dan biasanya akan menyebabkan kesukaran mendapatkan visa untuk terus tinggal di negara ini.
- Rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara kerana belajar atau bekerja di luar negara sering mengaggap tidak perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak berwajib sedangkan pelbagai kemudahan telah ada bagi mendapatkan kebenaran untuk berkahwin.
Sedarkah kita atau mungkinkah kita tidak tahu, terlalu banyak masalah yang akan timbul akibat bernikah diluar negara tanpa kebenaran ini, habis fikirkah kita akan baik buruknya, bersediakah kita untuk menguruskan semula pendaftaran perkahwinan di negara ini, bersediakah kita menghadapi pelbagai masalah yang biasanya akan membawa tekanan dalam kehidupan berumah tangga?
Atau adakah kita tidak peduli langsung dengan apa yang akan terjadi asalkan kehendak kita tercapai sehinggakan ada yang berani melanggar syariat Allah SWT dan undangundang!
Wahai muslimin! Berfikirlah dengan minda yang waras serta hati yang jernih serta tawaduk sebelum kita cuba ingin melakukannya.
Bahana Nikah Luar Negara
Di antara bahana nikah luar negara tanpa kebenaran atau pernikahan secara sindiket adalah;
- Proses pendaftaran pernikahan tersebut akan memakan masa yang panjang kerana melibatkan prosiding dan dokumentasi untuk didaftarkan semula kerana melibatkan pengesahan dari Mahkamah dan akan bertambah rumit sekiranya dokumen yang dikemukakan tidak mencukupi atau palsu.
- Jika tidak didaftarkan, maka tiada Surat Perakuan Nikah yang benar akan diperolehi dan kita harus sedar Surat Perakuan Nikah sangat penting dalam kehidupan kita sebagai suami isteri, tanpanya kita tidak dapat mendaftarkan kelahiran anak seperti biasa lalu mengakibatkan status pengesahtarafan dan warganegara juga tidak dapat dipastikan. Urusan perubatan, rawatan dan pendidikan anak juga akan bermasalah.
- Menghadapi masalah dalam urusan penyambungan visa untuk terus berada dalam negara ini yang akhirnya terpaksa berulang alik ke luar negara yang memerlukan kos kewangan yang tinggi; jika tidak mendapat status warganegara.
- Pengurusan harta pusaka juga akan turut terkesan kerana pihak yang berkaitan gagal mengemukakan dokumen pernikahan yang diiktiraf.
- Pelbagai tuntutan di mahkamah seperti, tuntutan perceraian, pengesahtarafan anak, tuntutan nafkah, tuntutan hadhanah, tuntutan keadilan berpoligami antara isteri-isteri, tuntutan harta sepencarian dan sebagainya tidak dapat diuruskan juga disebabkan gagalnya mengemukakan Surat Perakuan Nikah yang diiktiraf.
- Harus diingat juga, bahana yang sangat memeritkan adalah apabila mahkamah mendapati pernikahan yang di jalankan di luar negara adalah tidak sah kerana tidak menepati Hukum Syarak, maka pernikahan yang berlaku akan difaraqkan atau dibubarkan. Kaedah fiqh menyatakan: “Asal dalam perkara jimak adalah haram”
- Tindakan undang-undang dibawah Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 boleh dikenakan kerana bernikah tanpa kebenaran dan boleh dikenakan denda RM 1000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. Antara kesalahankesalahan yang akan dikenakan denda seperti yang disebutkan juga adalah kesalahan Seksyen 124 poligami tanpa kebenaran, Seksyen 40 akad nikah tanpa kebenaran, Seksyen 31 lewat mendaftar perkahwinan dan Seksyen 134 bersubahat melakukan pernikahan.

Ambil Pengajaran
Menyedari hakikat bahana perkahwinan luar negara tanpa kebenaran atau pernikahan sindiket, umat Islam wajib mengambil pengajaran seperti berikut:
- Pernikahan yang hendak dilaksanakan mestilah mengikut Hukum Syarak dan segala peraturan yang telah ditetapkan oleh pemerintah demi sebuah kehidupan keluarga yang mawaddah, wa rahmah, sakinah dan sentiasa mendapat keredaan Allah SWT.
- Pernikahan yang dilaksanakan dengan tidak mengikut peraturan akan membawa pelbagai masalah dan akan merugikan banyak pihak terutamanya suami isteri kerana tidak mempunyai Surat Perakuan Nikah yang diiktiraf.
- Undang-undang yang dibuat bukanlah untuk menyusahkan mana-mana pihak, bahkan tujuan utama Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 dikuatkuasakan bagi menjaga kebajikan isteri dan anak-anak pada masa akan datang.