
Boleh Bertahan Ke Pemilik Kedai Makan di Hentian R&R Sepanjang Larangan Rentas Negeri?
Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pertama pada tahun lepas sehingga ke hari ini, agak-agak berapa hari je kedai makan di RnR beroperasi dengan kehadiran pelanggan berkapasiti penuh? Berkapasiti penuh bermakna jualan mencapai jumlah yang optimum seperti tahun-tahun sebelumnya terutama ketika musim perayaan.
Kami yakin, sejak PKP 1.0, sehingga ke lanjutan PKP 2.0 sekarang ini, hanya beberapa hari sahaja kedai-kedai di Hentian Rehat & Rawat mencatat jualan yang tinggi. Larangan rentas negeri sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan, ternyata memberi kesan secara langsung kepada pemilik kedai dan pekerja di Hentian R&R.
Ketika kami merentas negeri ke Pantai Timur dengan kebenaran polis baru-baru ini, sempat kami singgah di RnR Temerloh untuk makan tengah hari. Semasa menunggu pesanan di kiosk makanan, berboraklah dengan pekerja di situ. Ketika tu, jam 11.30 pagi. Dan kami adalah pelanggan yang ke-5 pada hari itu. Berbanding tahun sebelum itu, cuti perayaan Tahun Baru Cina menyumbang angka jualan yang tertinggi setiap tahun. Namun, sebaliknya yang terjadi pada tahun ini.
Daripada 10 deretan kiosk jualan, hanya 2 kedai minuman dan 2 kedai makan sahaja yang beroperasi. Deretan kereta di parkir tidak kelihatan, hanya 3,4 kereta sahaja. Itu pun, maksima hanya 2 orang sahaja. Bayangkan..kalau ini berterusan, berapa lama pengusaha kedai makan di Hentian R&R boleh bertahan?

Kenapa Tidak Bertukar Ke Bisnes Lain?
Mungkin ada yang memberi cadangan sebegini. Tidak semudah itu. Ada baik dan buruk. Apa akan jadi, jika semua pengusaha kedai makan di sini tutup?
Pasti memberi kesan kepada pemandu yang ingin rehat dan mendapat bekalan makanan atau minuaman di sini. Sebaliknya, jika diteruskan, peniaga ini akan mengalami kerugian berterusan kerana perlu membayar kos-kos seperti sewa tapak, gaji pekerja, elektrik & air.
Jadi apakah langkah terbaik untuk memastikan pengusaha kedai makan di Hentian R&R meneruskan kelangsungan hidup?
Kerajaan + Pemilik + Pemandu Perlu Bekerjasama
Buat masa sekarang tiada jalan lain. Mana mungkin pengusaha kedai makan di Hentian R&R perlu menggunakan servis rider makanan untuk meningkat jualan mereka. Ini lebuh raya, bukan warung tepi jalan yang berdekatan dengan perumahan penduduk.
Ketiga-tiga pihak iaitu kerajaan, pemilik dan pengguna lebih raya mempunyai ikatan simbiosis yang ada kepentingan masing-masing.
Kerajaan perlukan pengusaha untuk terus menawarkan keperluan makan minum, pengusaha pula perlukan jualan untuk terus menyokong operasi mereka dan pengguna lebuh raya pula perlukan perkhidmatan di Hentian R&R untuk memastikan mereka mendapat keperluan bagi perjalanan mereka menjadi lebih selamat dan efisien.
Nampak tak satu ikatan berkepentingan di situ?

Harapan Pengguna Lebuh Raya
Kerajaan perlu membantu pengusaha kiosk atau kedai makan di Hentian R&R seluruh Malaysia. Selain sebagai satu bantuan, ia juga sebagai galakan untuk mereka terus berkhidmat kepada pengguna lebuh raya.
Pengusaha kedai makan juga perlu bijak dan kreatif mengurangkan kos operasi mereka. Mungkin boleh mengurangkan kehadian pekerja dalam satu-satu masa. Atau menyediakan menu sekadarnya untuk elak pembaziran sekaligus mengurangkan kos.
Pengguna lebuh raya juga perlu membantu pengusaha kiosk atau pemilik kedai makan di Hentian R&R. Jika anda dibenarkan merentas negeri dan menggunakan lebuh raya, bolehlah berhenti di Hentian R&R untuk menjamu selera. Setidak-tidaknya belilah segelas air kopi panas untuk memastikan mata anda terus segar semasa memandu jarak jauh. Kami percaya, ini juga satu cara untuk menyumbang sedikit jualan kepada pengusaha ini untuk terus bertahan dalam era cabaran pandemik Covid-19.
Akhir Kata
Dalam situasi hari ini, kami percaya semua pihak perlu memainkan peranan penting. Bantulah mereka yang memerlukan, demi memastikan kelangsungan hidup. Apa yang penting, amalkan SOP yang ditetatpakan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
Memang sangat terkesan dengan peniaga di hentian R&R ni. Ada yang buntu sangat dah. Cepatlah covid ni hilang dari mukabumi ni.
Geng Borak recently posted…Wedding Planner Alami Tekanan Perasaan Musim PKP