kes bunuh

Bunuh Tanpa Niat, 6 Pelajar UPNM Dipenjara 18 Tahun

Lapan belas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) didapati bersalah atas pertuduhan menyebabkan kematian tanpa niat membunuh dan mencederakan Pegawai Kadet Laut UPNM Zulfarhan Osman Zulkarnain.

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Azman Abdullah ke atas Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd. Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd. Ali selepas mendapati mereka bersalah mencederakan mangsa sehingga menyebabkan kematian.

Datuk Azman menyifatkan kesemua tertuduh yang disabitkan atas kesalahan ini sebagai pesalah muda yang tidak mempunyai belas kasihan.

Beliau yang turut kesal dan sedih dengan kejadian yang menimpa Zulfarhan berkata, hukuman perlu dijatuhkan untuk memperlihatkan keperitan yang ditanggung oleh keluarga mangsa yang tidak mungkin dapat dipulihkan.

“Saya tidak boleh bayangkan, seterika wap jika kena tangan pun memang sakit. Kalau kena bahagian yang sensitif, saya tidak tahu bagaimana hendak kategorikan pelaku sedemikian,”- Hakim Datuk Azman

Hukuman Penjara Sehingga 30 Tahun

Mereka berenam didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bilik di blok penginapan asrama Jebat, UPNM pada pukul 4.45 pagi hingga pukul 5.45 pagi, 22 Mei 2017 di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda.

Sementara itu, mahkamah turut menjatuhi hukuman penjara tiga tahun ke atas enam mereka kecuali Mohamad Shobirin selepas didapati bersalah bersama 12 yang lain.

Mereka ialah Mohd. Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri.

Turut didapati bersalah ialah Muhammad Sufi Mohd. Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif, Muhammad Adib Iman dan Mohamad Syazwan.

Mereka didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas mangsa untuk mendapatkan pengakuan bahawa dia mencuri komputer riba.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Perbuatan itu dilakukan di dalam sebuah bilik blok penginapan asrama Jebat universiti itu di Kem Perdana, Sungai Besi pada pukul 2.30 pagi dan pukul 5.30 pagi, 21 Mei 2017.

Sebelum hukuman dijatuhkan, para peguam bela memohon mahkamah mempertimbangkan latar belakang anak guam mereka yang merupakan penuntut cemerlang sejak alam persekolahan.

Pasukan peguam bela menghujahkan, laporan akhlak daripada pihak penjara menunjukkan mereka berusaha memperbaiki diri ketika dalam tahanan manakala tempoh pemenjaraan yang panjang tidak sesuai.

Mahkamah turut diberitahu, tertuduh-tertuduh yang sebelum ini digantung oleh UPNM, tidak dapat menyambung pengajian kerana sabitan jenayah selain perlu membayar balik yuran kerana gagal menamatkan pengajian.

Sementara itu, pihak pendakwaan memohon mahkamah tidak bertolak ansur dengan perbuatan tertuduh-tertuduh kerana walaupun mangsa tidak mengaku mencuri komputer riba dan menjerit supaya tidak ditekap dengan seterika wap, mereka tidak mengendahkan rayuannya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge