Cara Daftar Mengundi MySPR Daftar Secara Online
Cara Daftar Pengundi MySPR. Suka atau tidak suka dengan polisi kerajaan hari ini, tiada guna hanya membuat di media sosial sana sini. Suara minoriti rakyat kadang-kala tidak kedengaran oleh pihak pentadbiran kerajaan. Mereka berkuasa, anda tiada kuasa.
Namun, ketika fasa membuang undi, anda mempunyai kuasa untuk memilih siapakah kerajaan seterusnya. Tunjukkan kuasa anda dengan keluar mengundi memilih calon yang layak di Pilihan Raya Umum yang dikelolakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Sebelum keluar mengundi, anda perlu terlebih dahulu mendaftar sebagai pengundi.
Jika anda sudah cukup umur (21 Tahun ke atas) sebagai pengundi, anda perlu mendaftar sebagai pengundi secara online atau offline.
Cara Daftar Pengundi Online – MySPR Daftar
Untuk mendaftar secara online di MySPR Daftar, individu perlulah seorang warganegara Malaysia dan tidak bekerja sebagai polis atau tentera. Pendaftaran secara online tidak boleh dilakukan oleh warganegara yang berada di luar negara. Anda perlu mendaftar secara manual sebagai Pengundi Tidah Hadit (PTH).
Anda boleh daftar mengundi secara online seperti berikut:
- Layari https://mysprdaftar.spr.gov.my/ .
- Pilih “PERMOHONAN AKAUN BARU”
- Pada ruangan seterusnya, anda perlu mengisi butiran diri yang diperlukan seperti Nama Penuh, No Kad Pengenalan, Alamat Lengkap dan sebagainya.
- Untuk meneruskan proses pendaftaran, anda perlu memuatnaik gambar kad pengenalan bahagian depan dan gambar swafoto anda bersama kad pengenalan. Saiz gambar yang dibenarkan untuk muatnaik hanyalah 500kB dengan format JPG. atau PNG.
- Seterusnya masukkan CAPTCHA yang betul.
- Tandakan (/) di kotak DASAR PRIVASI tanda persetujuan anda.
- Pendaftaran anda akan diproses dan diverifikasi oleh Pegawai SPR. Permohonan pendaftaran anda akan diproses pada hari yang sama sekiranya dihantar pada jam antara 8 pagi sehingga 12 tengah hari pada hari yang sama. Sekiranya permohonan dihantar selepas jam 12 tengah hari, permohonan ini akan diproses pada hari yang berikutnya mengikut hari bekerja. Permohonan anda juga hanya akan diproses pada hari bekerja yang berikutnya sekiranya dihantar pada hari Sabtu, Ahad atau Hari Kelepasan Am.
- Apabila pengesahan telah dibuat, anda akan menerima emel daripada pihak SPR. Jika tiada emel diterima di dalam inbox, semak di dalam spam.
- Buka emel tersebut dah pilih link untuk meneruskan pengaktifan akaun anda. Skrin Pengaktifan Akaun akan dipaparkan.
Cara Pengaktifan Akaun MySPR
- Masukkan no Kad Pengenalan dan Kata Laluan yang didaftarkan sebelum ini.
- Pilih butang “MOHON TAC”
- Masukkan NO TAC dan tekan butang HANTAR.
- Sistem akan membuat verifikasi dan Skrin Log Masuk MySPR Daftar akan dipaparkan.
- Seterusnya, sistem akan membawa pengguna ke skrin DASHBOARD PENGGUNA.
Untuk mendapatkan PANDUAN PENDAFTARAN MYSPRDAFTAR yang lengkap, anda boleh memuatturun di bahagian sudut bawah kanan https://mysprdaftar.spr.gov.my/
Cara Daftar Pengundi Secara Offline
Untuk mengundi secara manual atau offline, cara paling mudah adalah hadir sendiri di mana-mana pusat pendaftaran mengundi di seluruh negara seperti berikut:
- Kaunter SPR yang dibuka oleh wakil SPR di tempat tumpuan ramai seperti pusat membeli-belah dsb.
- Pejabat POS Malaysia
- Kaunter Pendaftaran Pemilih di Ibu Pejabat SPR Malaysia, Putrajaya
- Pejabat-pejabat Pilihan Raya Negeri
- Bagi warganegara yang menetap di luar negara, boleh ke Pejabat-pejabat Kedutaan, Suruhanjaya Tinggi & Konsulat Jeneral. rujuk: http://www.kln.gov.my/web/guest/malaysian-mission.
- Cara mendaftar mudah sahaja. Anda hanya perlu menyerahkan Kad Pengenalan kepada petugas SPR untuk mereka membantu proses pendaftaran mengundi anda.
- Semak borang pendaftaran dan turunkan tandatangan sekiranya anda bersetuju.
- Dapatkan salinan borang pendaftaran sebagai simpanan bukti.