cara-kira-zakat-kwsp

Cara Kira Zakat KWSP

Pengeluaran Khas KWSP yang dibenarkan oleh kerajaan akan dilakukan bermula 20 April 2022 ini. Ini bermakna, pengeluaran wang simpanan yang sepatutnya dikeluarkan pada umur 55 adalah kali ke-4 dibenarkan selepas i-Sinar, i-Citra dan i-Lestari. Kemudahan pengeluaran ini diperkenalkan oleh kerajaan sebagai bantuan kecemasan bermula tahun 2020 berikutan pandemik Covid-19.

Konsep Wang KWSP menyamai konsep simpanan wang biasa. Perbezaanya hanyalah wang simpanan di akaun pencarum tidak boleh dikeluarkan sewenang-wenangnya seperti akaun simpanan biasa.

Sempurna Milik

Justeru ia tidak memenuhi syarat “Sempurna Milik”.

Syarat “Sempurna Milik” akan dipenuhi sejurus apabila pencarum diberi kebenaran untuk mengeluarkannya (sama ada sudah capai umur atau pengeluaran lain yang dibenarkan dibawah Skim Pengeluaran KWSP). Kewajipan zakat juga tertakluk kepada jenis-jenis pengeluaran yang dibuat berpandukan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan kali ke-120.

Wang caruman KWSP yang dikeluarkan wajib dikenakan zakat apabila dikeluarkan. Ianya berkonsepkan zakat wang simpanan atau mata wang.

Jumhur Ulama’ sependapat mengatakan wajib zakat pada mata wang apabila telah memenuhi syarat-syaratnya. Dalilnya seperti berikut:

Maksudnya: “Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): ?Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu?” [Surah Al-Taubah (9): 34-35]

Adakah Ahli KWSP yang beragama Islam diwajibkan mengeluarkan zakat ke atas Pengeluaran Khas?

Secara umumnya, ahli beragama Islam bertanggungjawab mengeluarkan zakat sebanyak 2.5% ke atas simpanan yang telah memenuhi syarat berikut: 

  1. Sempurna milik (milkut taam) iaitu simpanan yang boleh dikeluarkan dan digunakan tanpa sebarang sekatan (haq tasarruf kaamil); dan 
  2. Mencapai nisab berdasarkan nilai semasa 85g emas yang ditentukan oleh pihak berkuasa zakat di negeri masing-masing. 

Namun, zakat boleh dikecualikan ke atas apa-apa jumlah simpanan yang dikeluarkan dan digunakan bagi tujuan kelangsungan hidup atau perbelanjaan keperluan asas diri sendiri atau tanggungannya (hajah asliyah) seperti tempat tinggal, makan dan minum, kesihatan, pendidikan dan pengangkutan atau membayar hutang. 

Ahli juga dinasihatkan untuk mengambil kira semua pengeluaran dalam tempoh setahun (haul) yang telah memenuhi syarat-syarat kewajipan zakat dan merujuk kepada pihak berkuasa zakat di negeri masing-masing.

Nisab dan Kadar Zakat KWSP

Nisab zakat wang lain dan Nisab zakat KWSP adalah sama iaitu 85 gram emas.

Kadarnya ialah 2.5% daripada jumlah simpanan yang dikeluarkan dengan kebenaran (cukup syarat milik sempurna dan tertakluk kepada jenis-jenis pengeluaran)

Kiraan Zakat KWSP

Jumlah Wang KWSP yang dikeluarkan** x 2.5%

contoh : RM10,000.00 x 2.5 %

Jumlah Zakat = RM250.00

Sebarang pertanyaan mengenai zakat boleh menghubungi melalui talian zakat di 1-300-88-5757 atau melalui emel info@zakat.com.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge