
Cara Mohon Pengeluaran Khas KWSP RM10,000
Pencarum KWSP di Malaysia boleh membuat permohonan bagi pengeluaran khas dengan jumlah maksimum RM10,000 bermula hari ini. Pengeluaran Khas adalah bertujuan untuk membantu ahli KWSP menampung komitmen kewangan bagi menghadapi cabaran kesan daripada pandemik COVID-19.
SIAPAKAH YANG LAYAK MEMOHON PENGELUARAN KHAS KWSP?
- Ahli KWSP yang berumur di bawah umur 55 tahun, termasuk bukan warganegara dan pemastautin tetap; dan
- Mempunyai jumlah simpanan sekurang-kurangnya RM150 dalam Akaun KWSP pada tarikh permohonan.
Ahli yang telah memohon i-Lestari, i-Sinar dan/atau i-Citra sebelum ini layak memohon Pengeluaran Khas, tertakluk kepada baki Akaun 1 dan Akaun 2, dan amaun kelayakan. Anggota perkhidmatan awam boleh memohon. Walau bagaimanapun, mereka berisiko menggunakan syer kerajaan yang perlu dikembalikan kelak.
BERAPAKAH AMAUN YANG LAYAK DIKELUARKAN?
- Amaun kelayakan pengeluaran adalah sehingga maksimum RM10,000.
- Amaun pengeluaran minimum adalah RM50.
- Meninggalkan baki sekurang-kurangnya RM100 dalam Akaun 1.
- Amaun kelayakan pengeluaran adalah berdasarkan jumlah simpanan ahli pada tarikh permohonan diproses.
Jumlah maksimum yang boleh dikeluarkan ialah RM10,000 dan minimum RM50. Ahli perlu menggunakan sepenuhnya baki dalam Akaun 2 sebelum mengakses Akaun 1 mereka serta perlu mengekalkan jumlah minimum sebanyak RM100 dalam akaun.
Pembayaran akan dibuat dalam satu bayaran sahaja dan dikreditkan ke dalam akaun bank simpanan atau semasa ahli yang perlu memastikan akaun bank mereka aktif dan bawah nama ahli sendiri. Akaun bersama atau yang didaftarkan di bawah nama syarikat adalah tidak dibenarkan.
Cara Mohon Pengeluaran Khas KWSP RM10,000
1# Layari laman Pengeluaran Khas KWSP. Pilih “Mohon Sekarang”. Anda akan dibawa ke laman permohonan. Anda juga boleh merujuk Soalan Lazim dan Panduan Pengguna.

2# Sebelum meneruskan permohonan, anda perlu membaca Nota Penting ini terlebih dahulu.

3# Seterusnya, anda perlu mengisi maklumat diri untuk pengesahan. Pilih ‘Teruskan’ untuk meneruskan permohonan pengeluaran khas ini.

4# Anda akan menerima Nombor OTP di nombor telefon yang didaftarkan dengan KWSP.

5# Sistem akan menyatakan Amaun Kelayakan Pengeluaran berdasarkan baki terkini setakat 3 hari yang lepas. Anda boleh mengesahkan amaun pengeluaran ini atau memilih lain-lain amaun.

6# Pilih ‘Teruskan’.

7# Anda perlu menyemak maklumat bank berdaftar dengan KWSP dan menjawab beberapa soalan tentang sebab pengeluaran khas ini.

8# Anda perlu mengesahkan semua maklumat yang diberi adalah benar dan betul.


9# Permohanan pengeluaran khas KWSP RM10,000 anda telah selesai. Anda boleh menyimpan atau mencetak rekod permohanan ini.

Simpanan Akaun Emas tidak boleh digunakan untuk Pengeluaran Khas.
Akaun Emas merupakan caruman ahli selepas umur 55 tahun. Ahli layak untuk mengeluarkan simpanan tambahan ini setelah berumur 60 tahun. Ini bertujuan untuk memastikan kecukupan simpanan persaraan ahli pada waktu tersebut.
Ahli boleh menyemak status permohonan Pengeluaran Khas mulai 9 April 2022 melalui:
- Menu Semak Status Permohonan di pengeluarankhas.kwsp.gov.my; atau
- Menu Pengeluaran > Sejarah Pengeluaran di i-Akaun (Ahli)
Maklumat lanjut mengenai kemudahan pengeluaran khas boleh diperoleh dengan menggunakan kemudahan ‘Ask ELYA’ dalam laman web KWSP di www.kwsp.gov.my, Facebook, Twitter dan Instagram KWSP atau menghubungi Hotline Pengeluaran Khas di talian 03-8922 4848, bermula 1 April ini.
