Doa Dan Amalan Sunah Ketika Hujan
Tahukah anda, doa ketika hujan adalah antara doa yang mudah makbul dan mustajab.
Hujan terkandung 1001 rahmat dari Allah dan merupakan tanda kasih sayang Allah pada makhluk-Nya
sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud.
“Dan Kami turunkan air daripada langit berupa hujan yang penuh dengan keberkatan dan manfaatnya sekali gus menyuburkan tanaman serta kebun dengan hasil yang lumayan yang dituai.” (Surah Qaf ayat 9).
Doa Ketika Hujan Turun
ﺍﻟﻠَّﻬُﻢَّ ﺻَﻴِّﺒًﺎ ﻧَﺎﻓِﻌًﺎ
“Ya Allah turunkanlah pada kami hujan yang bermanfaat.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Doa Ketika Hujan Semakin Buruk Atau Banjir
ﺍﻟﻠَّﻬُﻢَّ ﺣَﻮَﺍﻟَﻴْﻨَﺎ ﻭَﻟَﺎ ﻋَﻠَﻴْﻨَﺎ,ﺍﻟﻠَّﻬُﻢَّ ﻋَﻠَﻰ ﺍلآكَاﻡِ ﻭَﺍﻟﻈِّﺮَﺍﺏِ ﻭَﺑُﻄُﻮﻥِ ﺍﻟﺄَﻭْﺩِﻳَﺔِ ﻭَﻣَﻨَﺎﺑِﺖِ ﺍﻟﺸَّﺠَﺮِ
“Ya Allah, turunkanlah hujan di sekitar kami, bukan untuk merosak kami. Ya Allah, turunkanlah hujan di dataran tinggi, bukit-bukit, perut lembah dan tempat tumbuhnya pokok- pokok.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Doa Selepas Hujan Turun.
ﻣُﻄِﺮْﻧَﺎ ﺑِﻔَﻀْﻞِ ﺍﻟﻠﻪِ ﻭَﺭَﺣْﻤَﺘِﻪِ
“Kita diberi hujan kerana kurnia dan rahmat Allah.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Perkara Sunnah Boleh Diamalkan Ketika Hujan:
- Merasai hujan
Anas menceritakan: “Kami bersama-sama Rasulullah pernah ditimpa hujan, lalu Rasulullah menyinsing pakaiannya sehingga hujan mengenanya.” Kami bertanya, “Wahai Rasulullah, kenapa Tuan lakukan hal ini?’ Jawab Nabi: “Kerana hujan tadi mahkluk yang baru Allah ciptakan.” (Hadis Riwayat Muslim)
- Tidak mengutuk hujan, angin dan seumpamanya
Ada seorang lelaki mencela angin, lalu Baginda mendidiknya: “Janganlah kamu mencela angin, sesungguhnya angin hanya menurut perintah-Nya. Sesiapa yang mencela sesuatu sedangkan ia tidak berhak terhadap celaan tersebut, laknat itu akan kembali kepadanya.” (Hadis riwayat al-Tirmizi)
- Berdoa apabila mendengar guruh dan petir
Ibn Umar berkata bahawa apabila mendengar petir dan guruh, Nabi pun berdoa (yang bermaksud):
“Ya Allah, janganlah Engkau membunuh kami dengan kemurkaan-Mu dan janganlah menghancurkan kami dengan azab-Mu, ampunkanlah kami sebelum itu.” (Hadis riwayat Ahmad dan al-Tirmizi)
- Mengambil kesempatan untuk doa memohon hajat
Terdapat beberapa waktu dan tempat yang mustajab doa, antaranya ketika hujan. Diriwayatkan Nabi SAW bersabda: “Dua doa yang tidak ditolak, semasa azan dan di bawah hujan.” (Hadis riwayat al-Hakim)
- Memohon diberikan kebaikan dan dijauhkan keburukan akibat angin, hujan dan seumpamanya
Apabila merasai tiupan angin, Nabi akan berdoa: “Ya Allah, aku memohon kebaikannya dan kebaikan apa yang ada padanya, serta kebaikan apa yang telah Engkau utuskan dengannya, dan aku berlindung daripada keburukannya dan keburukan yang ada padanya serta keburukan yang Engkau utuskan dengannya.” (Hadis riwayat Muslim)
Syukur Sebab Hujan
Seusai hujan reda pula, panjatkanlah rasa syukur kerana hujan itu menurunkan rahmat. Tidak kiralah hujang yang terlalu lebat atau biasa-biasa sahaja, pasti ada rahmat & berkat di sebaliknya.
“Muthirna bi fadhlillahi wa rohmatih”
Maksudnya, ” Kita diberi hujan kerana kurnia dan rahmat Allah”