HUKUM BATU NISAN ATAS KUBUR

Hukum Letak Batu Nisan Dan Tulis Nama Di Atas Kubur

Adakah benar dilarang meletakkan batu nisan di atas kubur kerana ada setengah orang yang mengatakan perbuatan itu adalah haram dan syirik?

Tidak ada seorang pun dari ulamak muktabar yang melarang letak tanda di atas kubur supaya dikenali kubur tersebut bahkan meletakkan tanda seperti nisan yang dikenali pada hari ini adalah dibenarkan.

Perbuatan meletakkan batu sebagai tanda kubur ini adalah sunnah kerana mengikut perbuatan Nabi saw yang diriwayatkan daripada Al-Muttalib bin Abdullah bin Hanthob r.a. :

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صلى الله عليه وآله وسلم حَمَلَ حَجَرًا فَوَضَعَهَا عِنْدَ رَأْسِ عُثْمَانَ بْنِ مَظْعُونٍ وَقَالَ: : أَتَعَلَّمُ بِهَا قَبْرَ أَخِي لِأَدْفِنَ إلَيْهِ مَنْ مَاتَ مِنْ أَهْلِي

Ertinya : “Sungguhnya Rasulullah saw mengangkat akan sebiji batu yang besar lalu diletakkan di sisi kepala Uthman bin Maz’un r.a. dikuburnya dan berkata : Aku akan tahu dengan batu ini akan kubur suadaraku dan aku tanam padanya yang telah mati dari kaum keluargaku.” (Hadith riwayat Abu Daud & Al-Baihaqi)

Dan ulamak sepakat diharuskan meletakkan satu sahaja tanda yaitu pada bahagian kepala kubur manakala diletakkan satu lagi tanda pada kaki kubur berlaku perselisihan ulamak padanya yaitu sebahagian ulamak memakruhkannya dan sebahagian lagi mengharuskan.

Dan harus juga meletakkan selain dari batu sebagai nisan seperti kayu atau seumpamanya.

Berkata Imam Nawawi :

السنة ان يجعل عند رأسه علامة شاخصة من حجر أو خشبة أو غيرهما هكذا قاله الشافعي والمصنف وسائر الاصحاب

Ertinya : “Yang Sunnah ialah menjadikan disisi kepalanya satu tanda khas samada daripada batu atau kayu atau lain dari keduanya. Beginilah yang telah berkata oleh Imam Syafie dan Imam Syairazi dan sekelian Ashab.” (Kitab Al-Majmu’)

Kesimpulan

Tidak ada larangan meletakan batu nisan di atas kubur samada dengan batu atau kayu atau lainnya.

Yang dilarang ialah meletakkan batu yang mahal dan berharga kerana bermewah pada kubur itu dilarang dan dilarang juga meletakkan nisan sebagai perhiasan kerana tujuan meletakkannya ialah sebagai tanda dikenali akan kuburnya.

Meletakan satu nisan dibahagian kepala kubur adalah sunnah dengan kesepakatan ulamak manakala meletakkan satu lagi dibahagian kaki berlaku khilaf dikalangan ulamak pada hukumnya yaitu sebahagian ulamak mengharuskan letak yang kedua manakala sebahagian lagi ulamak memakruhkannya.

Hukum Tulis Nama Di Atas Kubur?

Ketika saya ziarah suatu tanah perkuburan saya nampak kebanyakkan kubur ada ditulis nama penghuninya. Apakah hukumnya menulis nama di atas kubur seperti itu?

Bermula hukum menulis nama di atas kubur ini berlaku perselisihan pendapat dikalangan ulamak yaitu jumhur ulamak memakruhkannya dan sebahagian lagi ulamak mengharuskannya jika kerana hajat.

Tersebut pada Kitab Al-Mausu’atul Fiqhiyah :

واختلف الفقهاء أيضاً في الكتابة على القبر. فذهب المالكية والشافعية والحنابلة إلى كراهة الكتابة على القبر مطلقاً لحديث جابر. وذهب الحنفية والسبكي من الشافعية إلى أنه لا بأس بالكتابة إن احتيج إليها

Artinya : “Dan berselisih oleh fuqahak juga pada hukum menulis nama di atas kubur. Maka berjalan mazhab Maliki dan Syafie dan Hanbali kepada makruh menulis di atas kubur secara mutlak kerana hadith Jabir.
Dan berjalan oleh mazhab Hanafi dan Imam As-Subki dari ulamak mazhab Syafie kepada bahawa tidak mengapa menulis di atas kubur jika berhajat kepadanya.”

Yang dimaksudkan harus menulis nama di atas kubur kerana hajat itu ialah menulis nama simati sahaja dengan tujuan supaya dikenali oleh orang yang datang menziarahi atau lainnya.

Ada pun menulis ayat Quran atau nama-nama Allah di atas kubur itu dilarang kerana boleh jadi dilangkah orang atau dipijak atasnya dan begitu juga tidak boleh menulis nama si mati kerana berbangga-bangga atau semisalnya.

Berkata Syeikh Athiyah Saqr :

وإن كانت الكتابة للفخر والمباهاة فهى مذمومة قطعا

Artinya : “Dan jika adalah menulis nama atas kubur itu kerana berbangga-bangga atau menunjuk-nunjuk maka ia adalah dicela sama sekali.” (Darul Ifta Mesir)

Telah menyebut oleh Al-Azra’ie :
وأما الكتابة فمكروهة ـ سواء كان المكتوب اسم الميت على لوح عند رأسه، أو غيره ـ هكذا أطلقوه والقياس الظاهر تحريم كتابة القرآن سواء في ذلك جميع جوانبه، لما فيه من تعريضه للأذى بالدوس والنجاسة والتلويث بصديد الموتى عند تكرار النبش في المقبرة المسبلة، وأما غيره من النظم والنثر فيحتمل الكراهة والتحريم للنهي، وأما كتابة اسم الميت فقد قالوا إن وضع ما يعرف به القبور مستحب

Ertinya : “Dan ada pun menulis nama atas kubur itu makruh ia samada yang ditulis itu nama si mati atas papan disebelah pihak kepalanya atau lainnya. Seperti inilah mereka memutlakkan hukumnya. Dan qias yang zahir ialah diharamkan tulis ayat Quran samada pada keliling kubur kerana ada padanya mendedahkannya kepada dikotori dengan pijakan atau najis atau berlumur dengan danur mayat ketika berulang kerja menggali pada tanah perkuburan yang diwakaf. Dan adapun lain daripada ayat Quran seperti nazam dan perkataan lain maka ditanggung akan makruh dan haram kerana larangan.

Dan adapun menulis nama simati maka sungguhnya berkata fuqahak jika diletak bertujuan supaya dikenali dengannya akan kubur maka ia suatu yang elok.”

Kesimpulan

Dimakruhkan menulis sesuatu di atas kubur di sisi jumhur ulamak.
Sebahagian ulamak mengharuskan menulis nama simati di atas kubur jika bertujuan supaya dikenali akan empunya kubur.
Dilarang menulis nama simati di atas kubur jika bertujuan bermegah-megah atau bertujuan mencantikkan kubur.

Dilarang menulis ayat Quran atau nama Allah atau seumpamanya yang dimuliakan kerana dibimbangi tercemar dengan sebab dilangkah manusia atau dipijak atau diduduk atasnya.

Sumber: IG Ustaz Azhar Idrus

One Reply to “Hukum Letak Batu Nisan Dan Tulis Nama Di Atas Kubur”

  1. Sebagai penanda kubur itu tak apa kan . Adik beradik jauh yang nak ziarah kubur si mati at least ada penanda kubur dia boleh tahu kubur si mati . Kalau sekadar nak mencantikkan kubur arwah itu memang tak digalakkan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge