cara keluar duit dari akaun 1

Cara Keluar Duit Akaun 1 KWSP Untuk Pelaburan i-Invest

Teka-teki kelulusan pengeluaran duit dari Akaun 1 KWSP masih belum terjawab sepenuhnya. Pencarum yang terjejas yang tidak melibatkan diberhentikan kerja dan kehilangan punca pendapatan pasti mengharapkan kebenaran ini daripada pihak KWSP.

Apa-apa pun, kita nantikan sahaja cara memohon pengeluaran i-Sinar yang akan diumumkan nanti.

Selain melalui i-Sinar, ramai pencarum potongan KWSP yang masih belum mengetahui satu lagi cara keluarkan duit dari Akaun 1 KWSP untuk pelaburan, juga dikenali sebagai i-Invest.

Skim Pelaburan Ahli KWSP

Melalui i-Invest, anda mempunyai pilihan dan fleksibiliti untuk mempelbagaikan portfolio persaraan anda dan meningkatkan simpanan persaraan melalui Skim Pelaburan Ahli.

Dengan skim ini, ahli yang mempunyai simpanan secukupnya boleh memindahkan sebahagian dari dana dalam Akaun 1 untuk dilaburkan melalui Institusi-institusi Pengurusan Dana (IPD) yang dilantik, termasuk Syarikat Pengurusan Unit Amanah dan Syarikat Pengurusan Kumpulan Wang.

Pindahan hingga maksimum 30% daripada jumlah yang melebihi Simpanan Asas dalam Akaun 1 (bagi ahli yang berumur 55 tahun dan ke bawah.) 

Syarat Kelayakan

  1. Warganegara Malaysia, ATAU Penduduk Tetap (PR) ATAU Bukan Warganegara (Berdaftar sebagai ahli KWSP sebelum 1 Ogos 1998)
  2. Umur 55 tahun ke bawah
  3. Mempunyai simpanan KWSP yang cukup
  4. Permohonan melalui ejen atau i-Akaun

KWSP akan memindahkan amaun pelaburan yang dipohon daripada simpanan ahli secara terus kepada IPD berkenaan.

Contoh Pengiraan Kelayakan

Kepentingan Simpanan Asas

Simpanan Asas ialah satu jumlah simpanan dalam Akaun 1 yang ditetapkan mengikut umur bagi membolehkan ahli memperoleh simpanan sekurang-kurangnya RM240,000 pada umur 55 tahun. 

Simpanan Asas ini membolehkan ahli memperolehi jumlah minimum sebanyak RM1,000 sebulan bagi membiayai keperluan asas persaraan apabila bersara kelak, selama 20 tahun bermula daripada umur 55 tahun hingga 75 tahun, iaitu selaras dengan jangka hayat penduduk Malaysia.

Ahli boleh melaburkan simpanan dalam Akaun 1 yang melebihi Simpanan Asas menerusi Institusi Pengurusan Dana (IPD) yang dilantik. Kuantum terbaharu Simpanan Asas Skim Pelaburan Ahli (SPA) telah dilaksanakan mulai 1 Januari 2019.

Baca Juga: Pelaburan Secara “Long Term”

Amaun kelayakan pelaburan akan dikemaskini setiap 3 bulan.

Kredit: MyPF.my

Mula Melabur Guna i-Akaun

Apabila status anda layak untuk melabur, login i-Akaun. Sekiranya masih belum mempunyai i-Akaun, boleh ikut cara mudah daftar i-Akaun .

Setelah berjaya login, anda boleh pilih menu “PELABURAN” di bahagian atas. Anda akan dibawa ke sub page seperti gambar di bawah ini.

Di muka papar ini, ada 4 Menu utama: Akaun , Transaksi , Analisis Data dan Maklumat Lanjut . Jika anda masih belum mempunyai pegangan akaun pelaburan, anda boleh ke menu Analisis Data.

Di sini, anda boleh memilih dana-dana dari beberapa syarikat pelaburan, mengikut kategori , sektor geografi berdasarkan volatiliti dan konsistensi data.

Selepas anda dah menjumpai dana yang ingin dibeli, boleh ke bahagian Transaksi untuk membeli di butang Beli. Ikut arahan seterusnya. Begitu juga dengan urusan Jual/Tebus. Hanya tekan butang Tebus/Tukar.

Setiap syarikat pelaburan mengenakan caj yang berbeza.

Namun, BERITA BAIK untuk pelabur Skim Pelaburan Ahli. Bermula 1 Mei 2020, ahli KWSP yang membuat Pelaburan akan menikmati pengurangan caj jualan yang dikenakan oleh Institusi Pengurusan Dana (IPD) untuk tempoh 12 bulan sehingga 30 April 2021.

Pelaburan yang dilaksanakan melalui i-Invest dalam i-Akaun (Ahli) tidak akan dikenakan sebarang caj jualan oleh IPD, manakala pelaburan yang dilaksanakan melalui ejen akan dikenakan caj  yang dikurangkan dari  sehingga 3% kepada sehingga 1.5% sahaja oleh IPD.

Bestkan? Ini peluang untuk memaksimumkan jumlah pelaburan.

Eh..chop!

Ada yang pening atau ragu-ragu nak pilih dana yang mana satu? Maklumlah, ada banyak syarikat pelaburan dan dana-dana yang ditawarkan. Volatiliti dan tahap risiko juga berbeza. Dah baca prospektus pelaburan pun masih belum faham. Lagi pun, bahasa teknikal yang dibaca tak pernah jumpa di mana-mana buku novel yang dibaca sebelum ini :-p

Untuk makluman, inilah cabaran yang terpasak dihadapi oleh pelabur secara langsung menggunakan i-Invest. Tiada panduan atau guideline daripada yang lebih pakar. Jangan risau. Anda masih ada alternatif lain untuk mula melabur.

Berbanding dengan pelaburan yang dilaksanakan melalui ejen, pencarum akan diberi penerangan dana-dana terbaik yang berpotensi buat untung oleh ejen berlesen yang terlatih sebelum mula melabur. Setidak-tidak anda sudah boleh elak kerugian dalam pelaburan lebih awal.

Dokumen Yang Diperlukan Sebelum Keluar Duit Dari Akaun 1 KWSP Untuk Pelaburan

A. Permohonan melalui platform i-Invest

  1. Ahli mendaftar sebagai pengguna i-Akaun
  2. Ahli mempunyai no telefon yang berdaftar bagi penerimaan No. TAC

B. Permohonan Melalui Ejen

  1. Dokumen pengenalan diri
  2. Borang permohonan KWSP 9N (biasanya ejen akan sediakan) dan senarai semak dokumen
akaun unit trust

Kaedah Permohonan

A. Melalui Platform i-Invest

Permohonan secara dalam talian melalui Platform i-Invest

B. Melalui Borang Permohonan Syarikat Pelaburan

Permohonan dihantar melalui IPD/ IUTA yang dipilih dengan mengemukakan dokumen-dokumen yang telah ditetapkan.

Kesimpulan

Pada kami, lebih selesa berurusan dengan ejen kerana akan ada penerangan dan input tentang dana berpotensi buat untung sebelum mula melabur.

Walaupun ada sedikit caj jualan dikenakan, tapi ianya tetap berbaloi dengan ilmu dan info yang diperolehi.

3 Replies to “Cara Keluar Duit Akaun 1 KWSP Untuk Pelaburan i-Invest”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge