Cikgu Fadli

Keadilan Untuk Cikgu Fadli Salleh!

Nama Cikgu Fadli Salleh tidak asing lagi bagi mereka yang sering mengikuti gerak kerja sukarelawan Dana Kita.

Cikgu Fadli turut dikenali dengan kelantangan beliau menegur dasar-dasar pendidikan negara antaranya isu beg berat, silibus yang tinggi dan padat, bilangan murid yang ramai dalam kelas dan sebagainya.

Terkini, hanya kerana kelantangan beliau, Kementerian Pendidikan Malaysia mengenakan tindakan tatatertib keatas beliau dengan tujuan diberhentikan kerja/ turun pangkat. Ini dianggap satu penindasan yang tidak sepatunya dilakukan ke atas seorang guru!

Keadilan Untuk Cikgu Fadli

Pelayar internet melancarkan petisyen bagi menuntut keadilan untuk guru yang berdepan tindakan tatatertib, termasuk diturunkan pangkat atau dibuang kerja kerana menyuarakan isu membabitkan pendidikan di sekolah.

Setakat 3 petang tadi, Petisyen Tuntut Keadilan Untuk Cikgu Fadli Salleh yang dilancarkan malam tadi melalui platform change.org mengumpul lebih 25 ribu tandatangan!

Petisyen berkenaan yang dimulakan oleh individu dengan nama Jamal Yunuh menyeru orang ramai supaya bersama dalam perjuangan Mohd Fadli Mohamed Salleh atau lebih dikenali sebagai Cikgu Fadli yang telah berkhidmat selama 18 tahun.

Terdahulu, Cikgu Fadli mendakwa akan dikenakan tindakan buang kerja atau diturunkan pangkat kerana menyuarakan isu membabitkan sistem pendidikan, beg sekolah, silibus subjek, masa belajar dan bilangan murid di dalam kelas.

Sejak malam tadi, warganet tertumpu kepada kes Cikgu Fadli yang juga guru Matematik Sekolah Kebangsaan (1) Gombak, selepas beliau berkongsi dua surat tindakan tatatertib daripada Kementerian Pendidikan (KPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS).

Dalam surat berkenaan memaklumkan, beliau mungkin berdepan tindakan buang kerja atau diturunkan pangkat.

Kebanyakan komen orang awam yang menandatangani petisyen berkenaan menyuarakan sokongan kepada guru berkenaan.

Silibus Tak Masuk Akal

Seorang daripadanya yang mewakili ibu bapa, Norhafizah Mohd Sanusi, bersetuju dengan silibus di sekolah yang disifatkan sebagai ‘mengarut’dan sukar sehingga ibu bapa berdepan cabaran mengajar anak di rumah.

Selain itu, golongan pendidik yang tidak mendedahkan identitinya turut menyuarakan pandangan mengenai realiti sebenar di sekolah yang sepatutnya mendapat perhatian sewajarnya KPM.

“Saya juga pendidik yang saban hari menghadap situasi yang sama dan hampir sama dengan Cikgu Fadli. Suara Cikgu Fadli suara semua cikgu,” katanya.

Seorang lagi pengguna yang turut meninggalkan komen, Naseer Addeen, berkata apa yang diperjuang oleh Cikgu Fadli untuk kebaikan anak bangsa, dan sepatutnya pandangan beliau perlu diambil kira, dikaji dan diselidik, memandangkan beliau guru yang berada di lapangan.

Terdahulu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin dalam satu hantaran di Facebooknya semalam, mahu berjumpa Cikgu Fadli untuk mengetahui lebih lanjut perkara dibangkitkan beliau.

Cikgu Mohd Fadli Salleh merupakan seorang guru yang berusaha keras untuk memastikan sistem pendidikan negara di landasan yang betul. Selaku seorang guru, beliau menginginkan keadilan dalam sistem pendidikan negara.

Ayuh kita bersama dalam perjuangan Cikgu Mohd Fadli Salleh!. Tandatangan PETISYEN #JusticeForCikguFadli

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge