kelebihan nisfu sya'ban

Kelebihan Malam Nisfu Sya’ban

Bulan Sya’ban adalah merupakan di antara bulan yang agung dalam syarak. Rasulullah SAW memperbanyakkan ibadah pada bulan ini dan disunatkan bagi kita untuk mempertingkatkan amalan dan ibadah kita sebagaimana yang disebut di dalam hadith yang sahih.

Di samping itu, terdapat beberapa hadith yang menceritakan akan kelebihan malam nisfu Sya’ban.

Kelebihan Malam Nisfu Sya’ban

Hadith-hadith berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban telah diriwayatkan daripada Nabi SAW melalui beberapa jalur.

Antaranya melalui jalur Abu Musa al-Asy’ari RA, Aisyah RA, Abu Tha’labah RA, Abdullah bin Amr RA, Mu’az bin Jabal RA, Abu Hurairah RA dan Abu Bakar RA.

Al-Allamah Sayyid Al-Winna’i berkata bahawa antara doa yang afdhal dibaca pada malam Nisfu Sya’ban ialah:

“Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, lagi Maha Mulia yang suka kepada keampunan,
maka ampunilah dosaku. Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepadaMu keampunan, keafiatan dan
kesejahteraan yang berterusan di dalam agama, dunia dan akhirat.”

Solat khusus pada malam Nisfu Sya’ban

Ulama’ khilaf tentangnya. Hujjatul Islam, Imam Al-Ghazzali (505H) adalah antara ulama’ yang membolehkannya. Beliau menulis di dalam Ihya’ Ulumid Din, 1/209-210, bahawa solat pada malam Nisfu Sya’ban 100 rakaat. Setiap dua rakaat, salam.

Pada setiap rakaat dibaca Surah Al-Ikhlas 11 kali selepas Al-Fatihah. Boleh juga solat dengan 10 rakaat, tetapi bacaan Surah Al-Ikhlas ialah 100 kali.

Beliau mengatakan solat cara ini ada dilakukan oleh ulama’ Salaf dan mereka menamakannya dengan Solat al-Khair (solat yang mempunyai banyak kebaikan). Kadang-kadang mereka mendirikan solat ini secara berjemaah.

Antara feqah hadith yang boleh diambil dan difahami daripada hadith-hadith ini:

  • Terdapat hadith lain yang menyatakan bahawa Allah SWT turun pada setiap satu pertiga malam. Namun, di dalam hadith ini menunjukkan bahawa Allah SWT turun pada malam nisfu Sya’ban sepanjang malam sebagaimana dikhabarkan oleh Nabi SAW. Malam bermula selepas terbenamnya matahari.
  • Kita dituntut pada malam ini untuk memperbanyakkan berdoa kepada Allah SWT. Untuk itu, tidak dinafikan bahawa pada malam tersebut mempunyai kelebihan dan padanya terdapat keampunan serta penerimaan yang khusus bagi yang memohon ampun dan yang berdoa kepada-Nya. Disebabkan itu, Imam al-Syafie mengatakan sesungguhnya berdoa padanya iaitu pada malam nisfu Sya’ban adalah mustajab.
  • Di dalam hadith ini juga menunjukkan keampunan Allah SWT amat luas. Antaranya firman Allah SWT yang menceritakan akan Allah SWT itu bersifat dengan pengampun. Firman Allah SWT:

فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا

Maksudnya: “Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun”. [Nuh:10]

  • Allah SWT tidak akan mengampunkan dosa orang yang syirik kepada-Nya melainkan dengan taubat. Berdasarkan firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّـهَ لَا يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُشْرِكْ بِاللَّـهِ فَقَدِ افْتَرَىٰ إِثْمًا عَظِيمًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT tidak akan mengampunkan dosa syirik  yang mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain daripada itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan Syariat-Nya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah SWT (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar”. [al-Nisa’:48]

  • Orang yang bermusuhan tidak akan mendapat keampunan daripada Allah SWT. Ini ada disebut di dalam hadith sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim RA. Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

تُفْتَحُ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ يَوْمَ الِاثْنَيْنِ وَيَوْمَ الْخَمِيسِ، فَيُغْفَرُ لِكُلِّ عَبْدٍ لَا يُشْرِكُ بِالله شَيْئًا إِلَّا رَجُلًا كَانَتْ بَيْنَهُ وَبَيْنَ أَخِيهِ شَحْنَاءُ، فَيُقَالُ: أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا، أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا، أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا

Maksudnya: “Sesungguhnya pintu-pintu syurga pada hari Isnin dan Khamis maka diampunkan setiap hamba yang tidak syirik kepada Allah SWT dengan sesuatu kecuali bagi orang yang antara dia dan saudaranya saling bermusuhan. Lalu dikatakan: Tangguhkanlah dua orang ini sehingga mereka berdamai, tangguhkanlah dua orang ini sehingga mereka berdamai, tangguhkanlah dua orang ini sehingga mereka berdamai”. [Riwayat Muslim, 4652]

  • Allah SWT tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempunyai sifat dengki dan Allah SWT akan membiarkan mereka ini sehingga mereka meninggal sifat tersebut. Sifat dengki ini juga boleh digolongkan dalam golongan orang yang bermusuhan. Terdapat sebuah hadith yang melarang kita daripada sifat dengki ini. Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

لاَ تَبَاغَضُوا ، وَلاَ تَحَاسَدُوا ، وَلاَ تَدَابَرُوا ، وَكُونُوا عِبَادَ اللهِ إِخْوَانًا

Maksudnya: “Janganlah saling memarahi, saling mendengki, saling membelakangi. Jadilah kalian hamba-hamba Allah SWT yang bersaudara”. [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 5612]

  • Di samping itu juga, orang-orang yang membunuh diri tidak akan mendapat keampunan daripada Allah SWT kerana dosa membunuh diri termasuk di dalam dosa besar yang memerlukan seseorang itu bertaubat. Berdasarkan sebuah hadith daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

اجْتَنِبُوا السَّبْعَ الموبِقَاتِ . قالوا : يَا رَسُولَ اللهِ : وَمَا هُنَّ ؟ قال : الشِّركُ بِاللهِ ، وَالسِّحرُ ، وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللهُ إِلَّا بِالحَقِّ، وَأَكْلُ الرِّبَا ، وَأَكْلُ مَالِ اليَتِيْمِ ، وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ ، وَقَذْفُ المحْصَنَاتِ المؤْمِنَاتِ الغَافِلَاتِ

Maksudnya: “Jauhilah tujuh perkara yang membinasakan. Para sahabat RA bertanya: Wahai Rasulullah SAW, apakah perkara-perkara tersebut? Rasulullah SAW bersabda: Syirik kepada Allah SWT, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah SWT kecuali dengan hak, memakan riba, memakan harta anak yatim, melarikan diri daripada peperangan dan menuduh wanita mukmin yang suci melakukan zina”. [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 2560]

Amalan Yang Digalakkan Pada Malam Nisfu Sya’ban

Islam tidak meletakkan sesuatu amalan khusus yang mungkin boleh dinisbahkan kepada Nabi SAW sebagai sunnah untuk diamalkan pada malam nisfu Sya’ban tetapi dalam masa yang sama, kita hendaklah mengambil peluang dengan kelebihan yang ada pada malam tersebut dengan beramal sebanyak-banyaknya samada dengan membaca al-Quran, solat sunat, berzikir dan lain-lain lagi.

Walaubagaimanapun, kesemua amalan ini tidak boleh dinisbahkan kepada Nabi SAW sebagai sunnah yang mesti dibuat dalam bentuk tuntutan kerana kesemua amalan ini adalah bersifat umum.

Oleh itu, sekali lagi kami nyatakan bahawa tiada amalan khusus yang sabit daripada Nabi SAW berkaitan malam nisfu Sya’ban.

Rujukan/Sumber: Pejabat Mufti WP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge