Kadar Dividen KWSP Tahun 2022 4.75% Untuk Akaun Syariah
Walaupun berdepan persekitaran kewangan & ekonomi mencabar, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjaya mengumumkan agihan dividen 2022 lebih rendah sebanyak 5.35 peratus untuk simpanan konvensional dan 4.75 peratus untuk simpanan syariah.
Perkara itu diumumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada taklimat prestasi kewangan KWSP di Menara KWSP, Kwasa Damansara, di sini, hari ini.
Pada 2021, dana persaraan itu mengumumkan kadar dividen sebanyak 6.10 peratus membabitkan agihan RM50.45 bilion bagi simpanan konvensional dan 5.65 peratus bagi simpanan syariah, yang berjumlah RM6.27 bilion menjadikan jumlah agihan terkumpul untuk 2021 sebanyak RM56.72 bilion.
Menurutnya lagi, setakat 31 Dis 2022, KWSP merekodkan pendapatan pelaburan kasar bernilai RM55.33 bilion, berbanding RM68.89 bilion pada 2021.
Portfolio KWSP yang pelbagai dan kecairan yang sihat membantu mengurangkan risiko dan membolehkan KWSP untuk mengekalkan aset pelaburannya melebihi RM1 trilion dan mengisytiharkan kadar dividen yang baik untuk 2022.
Kadar Dividen KWSP 2022 Lebih Daripada Seperti Dijangka
Pakar ekonomi, Dr Nungsari Ahmad Radhi berkata, dividen sebanyak 5.35 peratus bagi Simpanan Konvensional dan 4.75 peratus untuk Simpanan Syariah itu adalah lebih daripada yang dijangkanya.
Kadar dividen KWSP bagi 2022 tidak rendah jika dibandingkan dengan keadaan pasaran saham dan keadaan ekonomi secara keseluruhan.
Dividen tidak diberikan sebanyak tahun lalu kerana bayaran keuntungan daripada syarikat pelaburan KWSP rendah dan pasaran saham menutup di bawah paras permulaan tahun.