Pemilik Suara Watak Nobita Perlu Bantuan
Pengalih suara terkenal era 80-an yang juga pernah menjadi pemilik suara watak Nobita dalam siri kartun popular Jepun, Doremon, Azizah Jais, kini berdepan kesukaran untuk meneruskan kelangsungan hidup setelah mengalami masalah kesihatan yang menghadkan pergerakannya untuk keluar bekerja.
Azizah berkata, pendapatan sebagai pengalih suara terputus sejak hampir setahun lalu menyebabkan dia kini bergantung kepada ihsan daripada rakan-rakan dalam industri.
Menurutnya, keadaannya bertambah sulit sejak sebulan lalu atas faktor kesihatan yang tidak mengizinkan setelah kakinya mengalami kecederaan akibat terjatuh.
“Saya dulu kerja alih suara, tapi sejak tinggal di kampung kalau ada tawaran kerja baru pergi.
“Tapi sejak sebulan kaki saya dah tak kuat berjalan sebab baru lepas jatuh sewaktu melawat ahli keluarga di Hospital Tanjung Karang,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Azizah menambah, dia kini masih mendapatkan rawatan di sebuah klinik yang juga memerlukan perbelanjaan.
“Kalau ada duit tu nak juga beli dan bayar kos perubatan. Tapi sekarang saya hanya membeli ubat yang patut sahaja.
Baca Juga: Buat Duit Dengan Program Referral AZ Force
“Sekarang saya hanya tinggal di rumah sahaja. Kaki pun dah tak kuat nak berjalan macam dulu,” jelasnya.
Azizah juga turut pernah menyumbang suara bagi karakter watak Oshin (drama Oshin), Nohara Misae (Crayon Shin-Chan), Helen (The Incredible), Queen (Snow White ) dan lain-lain sepanjang kariernya.
Sementara itu, Pengerusi Dubbers Inc. Malaysia, Mohd Azuan Shamsir Samsuri berkata, Pertubuhan Kebajikan Pengalih Suara Malaysia turut mengambil inisiatif mengutip sumbangan bagi membantu Azizah.
“Setakat ini sebanyak RM350 dapat dikumpul melalui rakan dan para peminat,” katanya.
Sumbangan boleh disalurkan ke akaun:
- Bank Islam (12047020378212) atas nama Azizah Mat Jais
- Maybank (114262427281) atas nama Mohd Azuan Shamsir Samsuri.