pengerusi dipecat

Kerana Mulut Badan Binasa- Pengerusi Prasarana.

Pepatah Melayu “Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa” seringkali digunakan kepada mereka yang menjadi mangsa kepada salah kata oleh lidah sendiri.

Ungkapan ini boleh digunakan kepada nasib Pengerusi Prasarana, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman atas kesilapannya respon dan jawapan dari mulutnya sendiri ketika sidang media mengenai kemalangan tren Transit Aliran Ringan (LRT) pada Selasa lepas.

Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman antara salah seorang pemimpin kanan Umno yang memegang jawatan tinggi di syarikat GLC  telah diberhentikan daripada jawatannya sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Bhd oleh Kementerian Kewangan Malaysia.

Tidak Serius Ketika Musibah

Mungkin ada yang beranggapan, hukuman yang dikenakan ke atas Datuk Seri Tajuddin tidak adil, namun ianya menunjukkan betapa kerajaan hari ini memandang serius etika dan layanan pemimpin kepada rakyat.

Beliau sepatutnya menunjukkan rasa simpati dan empati terhadap musibah yang menimpa mangsa kemalangan LRT. Namun beliau gagal menunjukkan rasa tersebut dan didakwa ‘menganjing’ dan lebih gemar berseloroh ketika menjawab beberapa soalan daripada pemberita ketika sidang akhbar.

Pengerusi Prasarana
KUALA LUMPUR, 25 Mei — Pengerusi Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (tengah) melawat lokasi kemalangan membabitkan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) berhampiran Stesen LRT KLCC hari ini. Beliau berkata Prasarana akan memberi bantuan khas RM1,000 kepada 213 mangsa yang terlibat dalam kemalangan LRT semalam. — fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Ekoran kejadian ini, netizen ‘menyerang’ habis-habisan secara peribadi dan bukan peribadi terhadap Ahli Parlimen Pasir Salak ini di media sosial. Rata-rata netizen menggesa agar Datuk Seri Tajuddin meletakkan jawatan dengan kadar segera.

Yang Berhormat Yang Lantang

Ada juga netizen yang menyarankan agar Datuk Seri Tajuddin tidak terbawa-bawa dengan lagaknya sebagai ahli Parlimen sepertimana beliau berbahas dalam persidangan Dewan Rakyat. Di Parlimen, beliau memang cukup dikenali sebagai Yang Berhormat yang lantang bersuara.

Kami pasti sidang media tersebut akan diingati oleh pemberita yang terlibat sampai bila-bila. Nasi sudah menjadi bubur. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Setiap respon yang tidak masuk akal dikeluarkan oleh bekas Pengerusi Prasarana ini akan dikenang sampai bila-bila.

Datuk Seri Tajuddin juga pastinya tidak akan lupa ‘insiden’ sepanjang beliau mengendalikan sidang media tersebut. Sudahlah tidak disediakan teks ucapan, malahan beliau ‘kalah’ dengan soalan provokasi yang ditanya oleh pemberita di situ.

Natijahnya, beliau bukan sahaja dikecam warganet akibat keterlanjuran kata-katanya itu, tetapi turut disiasat polis selepas didapati tidak memakai pelitup muka ketika sidang media itu. Adoyai.

2 Replies to “Kerana Mulut Badan Binasa- Pengerusi Prasarana.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge