
Kes Kebankrapan Di Malaysia Sejak Jan 2020 Sehingga Mei 2022.
Momentum ekonomi global yang agak perlahan sejak beberapa tahun lalu terutama pada dua tahun kebelakangan ini akibat Covid-19 memerlukan masa yang panjang untuk kembali pulih sepenuhnya.
Malaysia merekodkan 17,599 kes kebankrapan sejak Jan 2020 – Mei 2022. Individu berumur 35 – 44 tahun mencatatkan jumlah kes bankrap tertinggi sepanjang tempoh tersebut.

Golongan ini memerlukan tempoh masa lebih panjang untuk bangkit mengukuhkan semula kerjaya dan pendapatan yang terjejas.
Implikasi Apabila Diisytihar Bankrap
Antara implikasi mereka yang diisytiharkan muflis adalah tidak boleh meninggalkan Malaysia tanpa kebenaran Ketua Pengarah Insolvensi atau mahkamah, menjalankan perniagaan, memegang jawatan sebagai penjawat awam selain hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri.
Berdasarkan data yang didedahkan untuk tempoh Januari hingga Mei tahun ini, pinjaman peribadi antara punca utama individu di Malaysia diisytiharkan muflis dengan 1,268 orang diikuti pinjaman perniagaan (547 orang), pinjaman perumahan (259 orang), sewa beli kenderaan (212 orang), hutang kad kredit (121 orang) dan keberhutangan lain (92 orang).
Selain itu, punca lain adalah hutang cukai pendapatan (72 orang), penjamin korporat (67 orang), caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (52 orang) dan hutang biasiswa atau pinjaman pendidikan (empat orang).
Tiga negeri yang merekodkan jumlah individu tertinggi diisytiharkan muflis ialah Selangor dengan 11,443 orang diikuti Kuala Lumpur (5,032 orang) dan Johor (4,277 orang) bagi tempoh 2018 hingga Mei lalu.
Lelaki menjadi golongan yang paling ramai diisytiharkan muflis dengan 33,653 orang manakala wanita seramai 12,457 orang sejak 2018 sehingga Mei lalu.
Muflis berlaku disebabkan pelbagai punca yang bukan sahaja disebabkan faktor luaran seperti ekonomi dan kerjaya malah faktor kendiri seperti perbelanjaan melebihi pendapatan yang boleh mendorong seseorang individu diisytiharkan bankrap.
Baca Juga: Bagaimana Bankrap Menjadikan Aku Kaya
Tips Elak Muflis
Jadi muflis ni tak seronok ye.. Banyak benda terkesan, nak tahu kami terangkan kat bawah nanti. Tapi, sebelum tu jom tengok dulu tips untuk elak muflis ni.
1. Dapatkan bantuan profesional
Bila hutang dah menimbun, bank asyik kejar dan memang tak boleh bayar sebab tak ada kerja ke apa, janganlah malu minta bantuan.
Misalnya anda boleh hubungi cawangan AKPK yang ada di seluruh negara ni. Jangan bimbang, mereka tak akan judge anda, mereka nak tolong je.
Di AKPK, anda boleh dapatkan khidmat kaunseling kewangan dan nasihat, program pengurusan hutang dan juga program pendidikan ilmu kewangan untuk memulihkan kembali kewangan anda secara percuma je.
2. Bincang dengan bank, jangan lari!
Masalah orang berhutang ni adalah cuba larikan diri. Bank telefon tak angkat, pegawai bank nak berbincang tak nak, nak lari je. Ini tindakan salah ya!
Sebabnya mudah, bank nak balik duit mereka, jika anda dalam kesusahan, adakan perbincangan dengan bank. Mereka akan tolong. Kebanyakan bank memang terbuka untuk berunding semula terma pinjaman anda.
Ini kerana pihak bank juga nak kurangkan kecenderungan daripada berlakunya kes pinjaman yang tidak berbayar atau non-performing loan.
Pendek kata, pegawai bank dan bank pun ada matlamat yang nak dicapai. Mereka pun kena menjawab dengan Bank Negara Malaysia kalau kadar non-performing loan ni tinggi sangat tau!
Jadi, jalan yang terbaik adalah adakan perbincangan dengan pihak bank. Rumuskan semula aliran pembayaran balik yang anda mampu dan dipersetujui bank.
Tapi, jika tak boleh capai kata sepakat, jangan risau. Anda pergi je ke AKPK kerana agensi itu boleh menjadi ‘orang tengah’ antara anda dan bank.
3. Jual harta dan asset
Ada juga situasi di mana, anda memang ada sedikit simpanan dan aset yang disimpan, tapi tak nak keluarkan atau jual untuk bayar hutang.
Kalau hutang tu sebulan dua tak apa lagi, walaupun skor kredit anda akan buruk, tapi kalau dah 6 bulan berturut-turut, jual lah apa yang patut. Keutamaan sekarang adalah lunaskan hutang, bukan menyimpan!
Simpanan atau hasil jualan aset tu anda boleh guna untuk langsaikan hutang. Malah, sebenarnya kehidupan tanpa beban hutang ni melegakan tau…aman damai je hidup.
Anda pun boleh elak muflis, tak payah kehidupan kena kawal dengan Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI).
