
Nahas Pesawat Hawk MK108 TUDM Terhempas, Juruterbang Terbunuh
Seorang terbunuh manakala seorang lagi cedera apabila sebuah pesawat Hawk MK108 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terhemupas di Pangkalan Udara Butterworth, kira-kira jam 10.07 malam tadi. Nahas tersebut berlaku ketika anggota TUDM sedang melakukan latihan penerbangan (Night Flying).
Dua juruterbang yang terlibat dalam nahas tersebut adalah:
- Mejar Mohd Fareez bin Omar. Beliau cedera dan kini sedang diberikan rawatan di Hospital Seberang Jaya dan berada dalam keadaan selamat dan stabil.
- Kapten Mohamad Affendi bin Bustamy. Beliau telah meninggal dunia dan jenazah sedang diuruskan untuk tindakan selanjutnya.
Kedua-dua juruterbang ini sudah berkahwin. Kedua-dua keluarga ini telah dimaklum tentang nahas dan TUDM akan memastikan kebajikan setiap keluarga diutamakan.
Terdahulu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, dalam ciapan di Twitter memaklumkan beliau menerima berita kejadian itu daripada Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad.
“Baru terima panggilan daripada Panglima @tudm_rasmi Jeneral Tan Sri Ackbal memaklumkan insiden pesawat Hawk 108 terhempas di Butterworth (malam) tadi.
“Seorang anggota kehilangan nyawa, seorang lagi cedera. TUDM telah diarahkan segera berikan laporan lebih terperinci dan siasat punca kejadian,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan takziah kepada keluarga anggota TUDM yang terkorban dalam kejadian itu.
“Takziah kepada keluarga anggota TUDM yang maut dan seorang lagi yang cedera. Amat sedih dan dukacita terima berita ini.
“Saya difahamkan anggota yang cedera telah dibawa untuk rawatan segera. @MINDEFMalaysia telah diarah untuk salur apa jua keperluan kepada keluarga kedua-dua anggota terlibat,” katanya
Terdahulu, TUDM dalam satu kenyataan berkata pihaknya sedang mengambil tindakan segera dan akan memaklumkan perkembangan semasa berhubung insiden kemalangan ini.
“Semua pihak diminta agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi atau sebarang berita yang tidak sahih,” katanya.
