Nini Comei Dilucutkan Jawatan Sebagai Perunding Quantum Metal
Seorang jururunding Quantum Metal, Nini Comei tampil memberikan penjelasan selepas sekian lama berdiam diri berhubung syarikat pelaburan emas itu.
Menerusi hantaran video TikTok @ninicomei, dia menjelaskan bahawa jawatannya sebagai Merchant Developer telah dilucutkan pada 22/7/2024 baru-baru ini.
Akaun Quantum Metal juga dibekukan serta-merta atas alasan menjatuhkan reputasi syarikat.
“Adakah kami tiada hak untuk bertanyakan berkenaan bayaran tertangguh, GSA dan kedudukan semasa QM?” soal Nini Comei.
Katanya lagi, selama 8 bulan dia menekan pihak Quantum Metal untuk memberi jawapan dan status bayaran tertangguh menerusi emel, panggilan telefon, live chat dan ibu pejabat.
Nini juga mempersoal bagaimana syarikat itu mempunyai ‘masa’ untuk membeku dan melucutkan akaun jururunding QM, namun tidak dapat menyelesaikan pembayaran tertunggak yang dituntut ahlinya.
Difahamkan bukan sahaja akaunnya sahaja dibeku, bahkan beberapa akaun jururunding lain turut dibekukan.
Pada masa sama Nini meminta maaf kepada orang ramai, serta dia memaafkan semua cacian, fitnah yang dilontarkan oleh netizen kepada dirinya.
“Semua yang jadi bukan dibawah kawalan Nini. Tak boleh salahkan sesiapa melainkan diri sendiri, 4 tahun perjuangan (30 November 2020 – 27 Julai 2024) Nini sia-sia.
“Alhamdulillah selepas 8 bulan berjuang, mengharap, menagih & mengemis simpanan sendiri serta simpanan client di QM, kami pasrah dihalau, dipalau oleh pihak pengurusan QM.
“Kami telan kecaman, fitnah dan tohmahan netizen. Kami pasrah. Kami redha. Nini ucapkan terima kasih banyak kepada Angel Group dan rakan-rakan yang mengenali Nini di Quantum Metal.
“Terima kasih atas peluang ini. 4 tahun bersama syarikat, tak sangka berakhir macam ni. Nini harap pihak syarikat Quantum Metal dapat selesaikan semua bayaran tertunggak ahli-ahli,” luah Nini Comei