Peristiwa Israk Mikraj, Mukjizat Besar Bukti Kerasulan Nabi Muhammad SAW
Peristiwa Israk dan Mikraj yang berlaku pada 27 Rejab menjadi saksi satu lagi tanda kekuasaan ALLAH SWT.
Peristiwa 27 Rejab tahun ke-12 kerasulan berlaku selepas Baginda kehilangan isteri Khadijah Khuwailid dan bapa saudara disegani ramai Abu Talib Abdul Mutalib.
Kematian dua kekasih hati Baginda itu digelar Tahun Kedukaan. Israk Mikraj mendatangkan kegembiraan.
Isra’ Wa Mikraj merupakan salah satu peristiwa penting dalam sejarah Rasulullah SAW yang wajib diimani oleh umat Islam berdasarkan bukti-bukti daripada al-Quran dan as-Sunnah.
Firman Allah SWT:
Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat. – (Surah Al-Isra’, Ayat 1)
Maksud Israk Mikraj
Israk
Rasulullah dibawa malaikat Jibrail dari Mekah ke Baitul Maqdis menaiki haiwan buraq pada satu malam.
Mikraj
Dari Masjid al-Aqsa, Baginda dibawa menghadap Allah Rabbul Jalil di Sidratul Muntaha melalui tujuh lapisan langit.
Perjalanan Peristiwa Israk Mikraj
Dipetik dari Bahagian Dakwah, JAKIM berikut adalah ringkasan peristiwa Israk dan Mikraj.
1. Israk
Nabi Muhammad S.A.W dibawa oleh Malaikat Jibril a.s. dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa dengan menunggang Buraq.
Sebelum baginda memulakan perjalanannya, hati baginda dibersihkan oleh Malaikat Jibril a.s. dengan air suci Zam Zam.
Sepanjang perjalanan apabila sampai tempat-tempat yang tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat.
Antara tempat-tempat berkenaan ialah:
- Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.
- Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu daripada Allah.
- Baitul-Laham (tempat Nabi ‘Isa A.S. dilahirkan).
Semasa dalam perjalanan, baginda telah melalui pelbagai peristiwa antaranya ialah baginda melihat Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai.
Hal ini berlaku berulang-ulang.
Rasulullah S.A.W diberitahu oleh Jibrail: Itulah kaum yang berjihad “Fisabilillah” yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.
Diringkaskan kisah ini Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun daripada Buraq.
Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia dan mursalin menjadi makmum.
Rasulullah S.A.W terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah S.A.W memilih susu lalu diminumnya.
Kata Jibrail: Baginda membuat pilihan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.
Mikraj
Peristiwa Mikraj pula bermula daripada Masjid Al-Aqsa kemudian baginda diangkat ke langit dengan menaiki tangga daripada syurga.
Rasulullah SAW bersama Malaikat Jibril A.S naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).
Baginda menaiki daripada langit pertama hingga ke Sidratul Muntaha. Di setiap langit baginda bertemu dengan para-para nabi dan melalui pelbagai peristiwa antaranya Baginda dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70 ribu orang yang masuk syurga tanpa hisab.
1. Nabi Adam di langit pertama
2. Nabi Isa dan Nabi Yahya di langit kedua
3. Nabi Yusuf di langit ketiga
4. Nabi Idris di langit keempat
5. Nabi Harun di langit kelima
6. Nabi Musa di langit keenam
7. Nabi Ibrahim di langit ketujuh
8. Menghadap Allah Rabbul Jalil di Sidratul Muntaha
Di Sidratul Muntaha (tanpa ditemani malaikat Jibril) Rasulullah SAW dapat menyaksikan Allah SWT dengan matanya sendiri, lalu baginda sujud.
Dari pertemuan itu, baginda menerima wahyu dan perintah dari Allah s.w.t. iaitu penerimaan ibadah solat. (Yang mana ketika itu, baginda diperintahkan solat sebanyak 50 waktu.)
Kemudian dikurangkan menjadi 10 waktu.
Akhirnya, dikurangkan sebanyak 5 waktu. 5 waktu yang kini kita lakukan setiap hari iaitu Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak.
Selepas Mikraj
Setelah itu, baginda pulang ke Masjidil Haram.
Kemudian, baginda menyampaikan wahyu dan perintah Allah solat 5 waktu itu kepada umat di Mekah.
Ketika itu ada yang percaya dan ada yang tidak percaya sehingga ada yang murtad dari Islam.
Tetapi, sahabat baginda Saidina Abu Bakar As-Siddiq apabila dikhabarkan kepadanya tentang peristiwa ini, beliau sedikit pun tidak ragu bahkan membenarkan malah lebih membenarkan sekiranya ada yang lebih hebat lagi dari peristiwa Isra’ dan Mikraj ini.
Sejak itu beliau diberi gelaran ‘As-Siddiq’ yang memberi maksud ‘Yang Membenarkan’.
Ujian Kepada Manusia
Peristiwa luar biasa ini menjadi ujian kepada manusia, disebut dalam ayat 60 surah al-Isra’ (terjemahan)
Dan tiadalah Kami menjadikan pandangan (pada malam mi’raj) yang telah Kami perlihatkan kepadamu melainkan sebagai satu ujian bagi manusia; dan (demikian juga Kami jadikan) pokok yang dilaknat di dalam Al-Quran; dan Kami beri mereka takut (dengan berbagai-bagai amaran) maka semuanya itu tidak menambahkan mereka melainkan dengan kekufuran yang melampau.