
Rangkaian Data Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Kena ‘Hack’
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan telah berlaku serangan siber terhadap rangkaian data miliknya, semalam.
Portal web ATM dipercayai digodam oleh pihak tidak bertanggungjawab, dengan mempamerkan gambar tidak senonoh di portal terbabit kira-kira 12 tengah hari.
Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, berkata insiden itu berjaya dikesan oleh Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP) serta Pusat Operasi Pertahanan Siber (CDOC) ATM.
Sebaik serangan bermula, BSEP dan CDOC melaksanakan pengasingan trafik data bagi tujuan mengaburkan lokasi sebenar data-data berdarjah seterusnya melindungi rangkaian yang menjadi sasaran penggodam.
Baca: Akaun Ibu Muda Kena ‘Hack’ Lesap RM1776
Tidak menjejaskan operasi portal sebenar.
Bagaimanapun, serangan penggodam ini hanya membabitkan segmen tertentu yang diletakkan di luar rangkaian sejak awal lagi, dan tidak menjejaskan operasi portal sebenar.

ATM juga menyedari kewujudan percubaan serangan siber yang berterusan terhadap rangkaian maklumat yang dimiliki oleh pihak Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan ATM.
ATM sentiasa memantau dan mempertingkatkan aspek keselamatan siber dari semasa ke semasa, terutama melalui peranan BSEP dan CDOC, yang bukan hanya memperkukuhkan rangkaian pemantauan dan pertahanan komunikasi ATM, malah melindungi rangkaian komunikasi strategik pertahanan negara.
Pusat Operasi Pertahanan Siber (CDOC) Angkatan Tentera Malaysia (ATM)
Untuk makluman, Kerajaan telah melancarkan Pusat Operasi Pertahanan Siber (CDOC) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada Januari 2017 bagi mengatasi ancaman siber yang semakin menggugat keselamatan serantau termasuk Malaysia.
CDOC memiliki kepakaran tinggi dalam mencegah, mengawal serta menganalisa punca dan simptoms pelbagai bentuk ancaman siber.