Sah Ke Solat Jumaat Di Luar Kawasan Pagar Masjid?
Sejak sedikit kelonggaran diberikan untuk solat berjemaah di masjid, timbul satu isu atau kekeliruan orang ramai tentang sah atau tidak solat Jumaat bagi mereka yang terpaksa melakukannya di luar kawasan masjid.
Sebelum kami teruskan perkongsian ini, kami ingin kongsikan syarat-syarat sah qudwah berdasarkan Mazhab al-Syafie secara umum yang dikongsi di laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan:
- Makmum tidak boleh terkehadapan posisinya daripada imam.
- Makmum mestilah mengetahui perpindahan perbuatan imam.
- Makmum hendaklah berniat mengikut imam.
- Makmum hendaklah mengikut jenis solat imam yang sama bentuknya.
- Makmum tidak boleh bercanggah dengan imam pada perbuatan sunat yang jelas melibatkan anggota seperti sujud sahwi dan tilawah.
- Makmum tidak boleh bercanggah dengan imam sehingga dua rukun, sama ada terkehadapan atau tertinggal.
- Hendaklah imam dan makmum itu ijtima’ (berhimpun) di satu tempat. Syarat ijtima` ini berbeza antara solat yang dilaksanakan di masjid dan di luar masjid. Jika di masjid, syaratnya adalah seperti berikut:
Hendaklah tiada penghalang untuk makmum sampai kepada imam walaupun perlu mengundur dan berpaling daripada kiblat
Bagi qudwah di luar masjid atau salah seorangnya, sama ada imam atau makmum, di luar masjid, syarat-syaratnya adalah seperti berikut:
- Hendaklah tiada penghadang yang menegah daripada musyahadah (melihat kepada imam atau makmum yang sah qudwahnya dengan imam)
- Hendaklah tiada penghalang bagi istitraq (boleh makmum berjalan sampai kepada imam tanpa perlu mengundur dan berpaling daripada kiblat.)
- Tidak melebihi 300 dzira’ di antara imam di dalam masjid dan makmum di luarnya. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 295-297; Nail al-Raja, hlm. 147)
“Saya berpandangan (bahawa) satu fatwa daripada mufti-mufti negeri mengenai situasi solat Jumaat (secara jemaah) di luar pagar masjid ketika musim Covid-19 ini perlu dibuat segera.”-Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Izhar Ariff Mohd. Kashim
Mufti-mufti negeri di seluruh negara disaran segera mengeluarkan fatwa khusus mengenai hukum solat Jumaat di luar pagar masjid dalam situasi pandemik Covid-19.
Menurut Mohd. Izhar Ariff berkata, dari segi hukum asas, sah solat dengan syarat jarak makmum mesti kurang 300 dzira’ atau hasta dari makmum saf terakhir dalam masjid itu.
Selain itu, makmum di luar masjid kena tahu pergerakan imam sama ada dengan lihat atau dengar suara dan harus jika ada uzur seperti terhalang tiang dan seumpamanya.
Fatwa semasa tentang isu solat berkenaan perlu disegerakan supaya umat Islam tidak tertanya-tanya dan mungkin melakukan sesuatu dilarang dari segi hukum syarak.
Kesimpulan
Sah kerjakan solat di luar bangunan masjid dengan syarat jarak tempat makmum tersebut berdiri tidak lebih dari 300 hasta dari makmum yang di belakang sekali yang berada di dalam masjid.
Dan disyaratkan lagi hendaklah makmum yang solat di luar masjid itu tahu pergerakan imam yang solat di dalam masjid sama ada dengan lihat atau dengan dengar suara imam atau muballigh.
Sebaiknya jika dewan solat sudah penuh hendaklah orang-orang yang tidak dapat masuk diizinkan bersolat di dalam kawasan masjid dengan menjaga penjarakan kerana mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh pemerintah.
Harus solat terputus saf jika ada uzur seperti terhalang oleh tiang dan seumpamanya dan makruh jika tanpa uzur.