urutan tengkuk

Urutan Kepala Atau Tengkuk Boleh Sebabkan Kecederaan Yang Serius.

Kami ada terbaca satu artikel tentang bahaya urutan tengkuk atau di bahagian belakang kepala, mungkin boleh mendatangkan kecederaan serius pada masa hadapan.

Urutan tengkuk selepas menggunting rambut di salun menjadi kegemaran ramai. Maklumlah, hampir sejam duduk menunggu rambut siap digunting, boleh tahan lenguh badan juga.

Seperti mana rutin kebiasaan, selepas selesai menggunting rambut, tukang gunting akan memberi servis tambahan urutan kepala dan tengkuk.

Kebiasaanya, kepala pelanggan akan dimanipulasikan ke kiri dan ke kanan sehingga ada bunyi “ meletup”, seperti bunyi tulang diregangkan. Lega.

Sukar Bernafas

Untuk makluman, ada kes selepas urutan itu, seorang pelanggan mengadu sukar untuk bernafas dan terpaksa dikejarkan ke hospital dengan ambulan.

Pemeriksaan MRI mendapati, terdapat kecederaan serius di tulang tengkuk mangsa . Kecederaan ini menyebabkan saraf phrenic tercedera, iaitu saraf yang berfungsi untuk mengawal diagrama iaitu sejenis otot yang membantu pernafasan.

Lelaki malang tersebut terlantar di hospital untuk tempoh masa yang lama dan perlu menggunakan alat bantuan pernafasan sepanjang hayat!

Semoga dengan cerita ini, membuka mata penggemar-penggemar urutan di tengkuk selepas menggunting rambut. Ini bukan perkara main-main. Juga boleh menyebabkan kecederaan di bahagian lain.

Tulang tulang, sendi, otot dan saraf di tengkuk boleh mengalami kecederaan kekal yang mengakibatkan kecacatan untuk jangka masa panjang.

Selain itu, urutan tengkuk juga boleh menyebabkan saluran darah di tengkuk tercedera. Dalam kecederaan yang lebih serius, ia boleh mengakibatkan pendarahan dan strok.

Punca Osteoarthritis

Sekiranya terlalu kerap melakukan urutan manipulasi tengkuk, untuk jangka masa panjang ia akan mengakibatkan osteoarthritis pada sendi tengkuk.

Walaupun urutan tengkuk seperti ini mungkin mendatangkan kelegaan untuk sesetengah individu, untuk kebaikan dan keselamatan jangka masa panjang, ianya adalah amat TIDAK DIGALAKKAN.

Tengkuk adalah satu struktur yang stabil, tetapi sebarang manipulasi keterlaluan dan pergerakan yang terlalu kasar boleh mendatangkan kecederaan kekal.

Sumber asal: Public Health Malaysia

Jadi, dah tahu tentang risiko urutan tengkuk ini, beritahu awal-awal kepada tukang gunting untuk tidak melakukan aktiviti ini.

Urutan tak professional berisiko berlakunya Infarksi Otak. Ini boleh menyebabkan arteri yang menyalurkan darah serta oksigen ke otak terhalang atau menjadi sempit sekali gus membantutkan fungsi saraf tunjang.

Jika anda betul-betul perlukan urutan, dapatkan tukang urut professional yang ada ilmu.

Pasti selepas ini, untuk berurut, pergilah ke tempat berurut yang menyediakan tukang urut yang diiktiraf. Bukannya ke pusat refleksologi ‘tapak kaki’ haram yang beroperasi secara haram.

5 Replies to “Urutan Kepala Atau Tengkuk Boleh Sebabkan Kecederaan Yang Serius.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge