YouTuber Juga Perlu Bayar Lesen- Ellie Suriati
Disebabkan YouTuber menjana pendapatan lumayan di YouTube, mereka perlu dikenakan lesen untuk memuatnaik sebarang konten kreatif di saluran Youtube mereka!
Kenyataan di atas adalah antara idea ‘bernas‘ yang dicadangkan oleh Ellie Suriati Omar kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM). Ellie Suriati yang juga Presiden Gabung Anak Seni meluahkan cadangan beliau ketika temubual di sidang media diskusi Gabung Anak Seni berkenaan Akta Finas 198: Relevan Yang Terbatal?
Ellie Suriati menyuarakan pendapat beliau ketika mengulas cadangan penambahbaikan terhadap Akta Perbadanan Kemajuan Nasional Malaysia (Finas) 1981 selaras dengan perkembangan teknologi hari ini.
Akta tersebut perlu dirombak semula bagi melindungi hak, keadilan dan kepentingan kepada seluruh penggiat industri seni tanah air.
Ellie Suriati berkata, mereka ada asas dan alasan kukuh dengan gesaan lesen diperlukan terhadap YouTuber itu.
Pertama, mereka berjaya dengan konten kreatif yang diterbitkan di saluran YouTuber mereka.
Kedua, ada pembuat konten YouTube yang melanggar etika. Ada yang mengambil kesempatan mengaut keuntungan peribadi.
Contohnya, YouTuber boleh menggunakan wajah beliau yang sedang berucap dalam suatu perhimpunan tanpa mendapat kebenaran dan memuatnaik ke saluran tertentu tanpa izin.
Ketiga, ada pemilik saluran YouTube membuat ulasan filem atau video dan mengkritik produk tempatan sehingga menjejaskan kutipan tayangan.
Namun, Ellie menegaskan, gesaan ini hanya perlu dikuatkuasa kepada pemilik saluran YouTube sahaja tanpa melibatkan platform media sosial lain seperti Facebook, Instagram atau Tik Tok.
YouTuber Perlu Mohon Lesen, Isu Yang Sudah Selesai
Isu YouTuber perlu memohon lesen untuk memuatnaik video konten kreatif mereka, pernah kami kupas di post ini: YouTuber Pun Kena Ada Lesen Finas? . Menteri KKMM mengumumkan lesen penerbitan video di YouTube diperlukan semasa berhujah pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat pada 23 Julai lalu.
Rasanya isu panas ini sudah pun diselesaikan dengan baik selepas beliau memberi jaminan bahawa lesen itu tidak diperlukan terhadap pengguna media sosial.
Perlu ke Tidak YouTuber Mohon Lesen?
Berdasarkan pemantauan kami, rata-rata pemain industri YouTube di Malaysia tidak bersetuju dengan cadangan keperluan memohon lesen Finas ini.
Pertama, berapa kerat sahaja YouTuber Malaysia yang betul-betul berjaya menghasilkan jutaan ringgit daripada produk mereka? Kebanyakan masih bertatih dan mencari rentak. Lagipun, industri YouTuber baru sahaja bertapak di Malaysia dan kebanyakan masih mentah berbanding Youtuber luar negara.
Kami risau, dengan syarat wajib ini, akan merencatkan minat mereka untuk menghasilkan konten kreatif yang pasti memberi input positif kepada ramai penonton saluran YouTube di Malaysia.
Kedua, jika YouTuber dibukti bersalah melanggar etika, atau undang-undang negara, anda boleh melaporkan salah laku mereka kepada pihak berkuasa. Pihak YouTube ada hak menutup saluran YouTube mereka jika mereka terbukti bersalah. Jangan risau Kak Ellie!
Ketiga, ulasan atau kritikan terhadap filem tempatan adalah satu aktiviti yang bagus. Bukan sahaja YouTuber dalam negara selalu menerbitkan konten mengulas dan mengkritik sesuatu filem, YouTuber di luar negara juga aktif melakukan konten sebegini.
Sebagai penerbit filem atau drama, jadikan kritikan ini sebagai pembakar semangat untuk terus menghasilkan produk yang lebih baik.
Kami pasti, Youtuber ini ikhlas mengkritik tanpa dibayar untuk melihat produk anak tempatan dihasilkan dengan cara yang lebih baik.
Kami tidak bersetuju dengan gesaan dan cadangan Ellie Suriati.
Hubungan Simbiosis
Pendapat kami, tak perlu bertelagah atau bergaduh tentang isu ini.
Jadikan hubugan penggiat industri seni negara (penyanyi/pelakon/penerbit drama file) sebagai satu hubungan SIMBIOSIS. Jadikan memberi sokongan antara pihak-pihak ini sebagai satu budaya sihat.
Kami percaya, YouTuber perlukan produk drama atau filem yang terbaik untuk ditonton. Dan penerbit filem juga turut memerlukan YouTuber atau influencer lain untuk mewar-warkan kepada seluruh rakyat Malaysia tentang produk terbaik mereka.
Isu hangat juga ni…. mengundang macam2 pendapat!