1 Syawal Berubah Hari. Ramai Terkejut. Ini Perjelasan Mufti.
Mengikut takwim kalendar, 1 Syawal pada tahun ini akan jatuh pada hari Selasa, 3 Mei 2022. Namun, sejak 2 minggu lepas, timbul spekulasi yang mempertikaikan tarikh sebenar 1 Syawal 1443H. Ada yang mendakwa, berdasarkan kiraan sebenar, 1 Syawal sepatutnya jatuh pada hari Isnin, 2 Mei 2022. Ini disokong kuat apabila beberapa negara lain turut mengumumkan tarikh 1 Syawal 1443H jatuh pada hari Isnin 2 Mei 2022.
Segala kemusykilan ini terjawapa apabila tepat jam 8 malam tadi, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan bahawa 1 Syawal jatuh pada 2 Mei iaitu esok.
Berikutan pengumuman yang mengejutkan ini terutama apabila rakyat masih belum bersedia menyambut hari raya, timbul juga persoalan di fikiran; kenapa tarikh tersebut boleh ‘berubah’? Apakah perbezaannya menurut takwim?
Bagi merungkai kekeliruan ini, Jabatan Mufti Negeri Selangor ada memberi penjelasan panjang mengenainya seperti di bawah. Semoga perkongsian ini memberi manfaat dan ilmu baru untuk semua.
Kenapa Tarikh 1 Syawal Boleh Berubah?
Malaysia telah mengamalkan penggunaan Kriteria Imkanurrukyah dalam penentuan awal bulan Islam termasuklah bulan Ramadhan, Syawwal dan Zulhijjah sejak tahun 1992. Kriteria ini telah ditambahbaik bermula Muharram 1443H setelah kajian semakan semula data-data hilal dilakukan bagi tempoh 30 tahun.
Imkanurrukyah sebagaimana diamalkan oleh Malaysia dan negara-negara serantau seperti Indonesia, Brunei dan Singapura adalah; hilal dianggap boleh kelihatan apabila memenuhi syarat-syarat berikut:
Ketika matahari terbenam tinggi hilal tidak kurang 3 darjah dan elongasi matahari bulan tidak kurang 6.4 darjah.
Menurut kriteria ini, apabila kedudukan hilal memenuhi kriteria yang ditetapkan pada tanggal 29 hb hijriah maka keesokannya dianggap sebagai permulaan bulan baru. Namun, jika tidak maka keesokannya digenapkan menjadi 30 haribulan.
Kriteria ini dibangunkan berdasarkan pemerhatian yang berterusan terhadap data-data dan rekod kenampakan hilal di seluruh dunia. Ia adalah kaedah alternatif menurut ilmu falak dalam membentuk satu takwim hijriah yang sistematik dan saintifik serta tidak bertentangan dengan kehendak Syarak termasuklah dalam menentukan permulaan Ramadhan dan Syawwal. Walau bagaimanapun, permulaan awal Ramadhan dan Syawwal di Malaysia adalah tertakluk kepada pengisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.
Syarak telah menetapkan kaedah yang jelas dalam penentuan awal Ramadhan dan awal Syawwal. Kaedah utama yang dianjurkan sebagaimana nas al-Quran dan hadis Nabi SAW adalah berdasarkan rukyah. Hanyasanya jika hilal tidak kelihatan disebabkan mendung atau berawan, maka dalam hal ini terdapat khilaf ulamak dalam menerima hisab ahli-ahli falak menurut dalil yang pelbagai.
Walau bagaimanapun, apabila telah jelas kelihatan hilal walaupun di luar Kriteria Imkanurrukyah oleh saksi yang adil maka pemerintah bertanggungjawab menyiasat dan membuat keputusan sama ada menerima atau menolak kesaksian tersebut. Apabila bertembung antara rukyah dan hisab maka kesaksian berdasarkan rukyah adalah lebih diutamakan.
Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat185:
فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ
Maksudnya: Barangsiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu.
Begitu juga hadis Nabi SAW:
لاَ تَصُومُوا حَتَّى تَرَوْا الْهِلَالَ وَلَا تُفْطِرُوا حَتَّى تَرَوْهُ فَإِنْ غُمَّ عَلَيْكُمْ فَاقْدُرُوا لَهُ
Maksudnya: “Janganlah kalian berpuasa sehingga melihat hilal, jangan pula kalian berbuka sehingga melihatnya, jika kalian terhalang oleh awan, maka sempurnakanlah hitungannya”. (Riwayat al-Bukhari).
Pada tanggal 29 Ramadhan 1443H, rombongan jawatankuasa rukyah hilal Syawwal telah melakukan cerapan di 29 buah tempat cerapan di seluruh Malaysia. Hilal telah disahkan kelihatan di salah satu lokasi cerapan rasmi di Malaysia.
Kesimpulannya, hilal Syawwal 1443H telah kelihatan pada tarikh cerapan walaupun di luar Ktiteria Imkanurrukyah yang diguna pakai. Maka, awal Syawwal 1443H telah ditetapkan pada 2 Mei 2022 sebagaimana pengisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.
Selamat Menyambut ‘Idulfitri. Semoga Allah menerima segala amal baik kita di bulan Ramadhan.
DATO’ DR HAJI ANHAR BIN HAJI OPIR D.P.M.S.
SS Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor
Salam syawal. Salam lebaran buat Laila sekeluarga, Maar zahir batin juga buat ddy DH
Geng Borak recently posted…Hukum Perempuan Memakai Jam Tangan Emas