Cara Berhenti Kerja Dengan Berhemah

Masih ingat lagi pertama kali anda melangkah masuk ke tempat kerja baru, pihak majikan dan rakan sekerja mengalu-alukan kedatangan anda dengan cara yang baik. Ada orang berbuat baik, kita balas baik. Begitu juga hal berhenti kerja.

Berhenti kerja memerlukan beberapa step seperti mana anda memulakan kerja dahulu. Jika masuk cara baik, keluarlah secara baik.

Jangan bertindak melulu sehinggakan tiada adab untuk berhenti kerja. Pastinya ramai yang berpengalaman untuk berhenti kerja tetapi mengalami situasi yang sukar untuk memberitahu kepada majikan.

Apapun guna cara yang baik yang telah ditetapkan supaya nanti dalam resume tidak menjejaskan maklumat diri jika anda letakkan rujukan kerja dahulu.

Kami kongsikan di bawah ini, perkongsian Dr Norizan Sharif yang menekankan 10 adab ketika berhenti kerja.

1. Pastikan ingin ‘betul-betul’ berhenti

Pastikan betul-betul buat keputusan untuk berhenti sebelum beritahu majikan. Kalau masih teragak-agak, diamkan dulu.

2. Bincang secara lisan

Bincang dan maklumkan secara lisan hasrat untuk berhenti sebelum mengemukakan surat perletakan jawatan. Berikan majikan bayangan dulu. Sesetengah bos cepat terperanjat.

Baca Juga: 3 Doa Dapat Kerja

3. Jaga perasaan majikan

Bos juga ada perasaan. Belai perasaan itu. Biar dia menjadi orang pertama tahu kita nak berhenti kerja; bukan mendengarnya melalui orang lain.

4. Penuhi syarat syarikat

Berikan notis perletakan jawatan mengikut tempoh yang sewajarnya. Sekiranya kontrak pekerjaan mensyaratkan dua bulan, patuhi syarat itu.

5. Jaga nama baik sendiri dan majikan

Sehingga saat terakhir kita meninggalkan tempat kerja, kita adalah staf – walaupun dalam tempoh bercuti. Usah lakukan perkara yang bertentangan dengan peraturan organisasi.

6. Komitmen yang bagus

Berikan yang terbaik kepada organisasi sehinggalah kita menamatkan tugas. Memberikan notis perletakan jawatan bukanlah alasan untuk kita culas.

7. Elak bercakap buruk tentang majikan lama

Walau apa sekali pun alasan kita berhenti, usah berikan orang lain tanggapan bahawa kita berhenti kerana tidak berpuas hati dengan majikan dan bos. Simpan ketat-ketat perasaan itu. Elakkan menulis buruk mengenai organisasi dan bos di media sosial, walaupun secara sindiran.

8. Jaga hubungan baik dengan syarikat lama

Berusaha untuk teruskan hubungan baik antara kita dan organisasi serta bos. Ucapkan penghargaan dan terima kasih kepada bos kerana berikan peluang. Mungkin suatu masa nanti dia boleh berikan peluang lain kepada kita lagi.

9. Sentiasa positif dan melangkah kehadapan

Apabila kita melangkah keluar, usah pandang ke belakang. Berilah peluang pengganti kita untuk melakukan apa yang terbaik. Ketap bibir kuat-kuat. Usah berikan teguran atau kritik dia, termasuklah di belakang. Biarkan dia melakukan sesuatu yang mungkin kita tak mampu lakukan dulu.

10. Pergi tanpa meminta ‘balasan’

Usah minta orang kenang budi kita selama berkhidmat dulu. Ingatlah, amat sedikit manusia yang tahu kenang budi; sama seperti amat sedikit manusia yang mahu bayar hutang. Biarlah kita menjadi manusia yang seronok berbudi, tanpa mengharap orang kenang budi.

Dengan perkongsian ini, diharap kepada mereka yang akan memohon berhenti kerja untuk mencari rezeki di tempat baru dapat mengamalkan cara yang berhemah ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge