hidung bayi tersumbat

Cara Hilangkan Hidung Tersumbat Bayi

Bayi kecil sangat sensitif dengan persekitaran. Jika suhu bilik panas, mungkin mereka tidak selesa. Namun, suhu yang terlalu rendah juga merisikokan mereka mendapat selsema atau hidung tersumbat.

Apabila si kecil tidak sihat, sudah tentu anda sebagai ibu bapa akan berasa susah hati. Lebih merisaukan apabila bayi kecil tidak sihat kerana tidak banyak ubat yang boleh didapati di farmasi atau klinik sesuai digunakan untuk mereka.

Apa langkah terbaik untuk mengatasi hidung tersumbat bayi ini? Adakah terdapat cara hilangkan hidung tersumbat bayi secara semula jadi/ natural?

Hidung tersumbat atau nasal congestion, berlaku apabila terdapat cecair tambahan (lendir) berkumpul di hidung dan saluran pernafasan. Ini sebenarnya merupakan salah satu cara badan melawan benda asing, sama ada virus atau pencemaran udara.

Keadaan ini boleh menyebabkan bayi anda mengalami keadaan hidung yang tersumbat, pernafasan yang berbunyi atau berdepan kesukaran untuk menyusu.

Jadi pada hari ini kami akan berkongsi dengan anda tentang cara hilangkan hidung tersumbat bayi.

Baca Juga: Petua Hilangkan Kuning Bayi

Cara hilangkan hidung tersumbat

Seperti yang telah dinyatakan, hidung tersumbat  bayi adalah masalah biasa dan ia tidak perlu menyebabkan panik. Jika bayi anda masih dapat menyusu dengan baik dan tidur dengan lena, ini bermaksud bayi anda masih boleh bernafas dengan baik, walaupun anda mungkin mendengar bunyi pernafasan yang lebih ketara.

Sekiranya bayi anda mengalami batuk yang agak merisaukan, kami ada sediakan artikel tentang cara merawat batuk bayi anda.

Walau bagaimanapun, anda boleh melakukan beberapa langkah berikut, bagi membantu mengurangkan atau menghilangkan masalah hidung tersumbat yang dialami si manja, seperti:

  1. Titisan air garam

Menggunakan titisan air garam atau semburan air garam melalui penggunaan alat seperti saline water drops ataugentle spray dipercayai dapat membantu mengurangkan masalah hidung tersumbat bayi.

Air garam yang dititis ke dalam rongga hidung bayi boleh melembutkan dan mencairkan hingus dan menjadikan ia lebih mudah untuk dikeluarkan. Tidak perlu risau bahawa air garam ini akan menyebabkan tercekik atau tersedak ke dalam paru-paru.

Walau bagaimanapun, anda perlu memastikan anda tahu cara penggunaan yang betul. Ini adalah bagi mengelakkan wujudnya trauma kepada bayi kesan daripada penggunaan titisan atau semburan air garam ini.

  1. Wap air

Ini merupakan salah satu cara hilangkan hidung tersumbat bayi yang selamat. Anda cuma perlu meletakkan sebaldi panas di bawah kipas. Fungsinya adalah untuk menambah kelembapan udara dalam bilik supaya hingus dalam hidung bayi lebih senang dicairkan. Anda boleh menitiskan beberapa minyak telon, jika mahu.

Kaedah ini adalah sama fungsinya dengan penggunaan humidifier. Jika anda berkemampuan untuk membeli humidifier, anda disarankan untuk meletakkannya di dalam bilik tidur bayi anda. Ia akan dapat membantu melancarkan pengeluaran lendir. Malahan, penggunaan humidifier ini juga selamat kerana tidak melibatkan penggunaan sebarang bahagian panas pada mesin ini.

  1. Penyedut hidung 

Penyedut hidung atau nasal aspirator,  merupakan satu alat mudah yang membantu menyedut lendir atau hingus dalam bentuk picitan (bulb syringe) ataupun penyedutan menggunakan mulut. Ini adalah langkah yang digunakan sekiranya titisan atau semburan air garam tidak berkesan.

Nasal aspirator ini boleh dibeli di farmasi berhampiran anda. Sebelum menggunakan alat ini, pastikan anda mensterilkan terlebih dahulu bahagian hujungnya untuk memastikan kebersihan dan membunuh sebarang bakteria.

  1. Picit hidung 

Eh, tak sakit ke bayi kalau dipicit hidungnya? Sudah tentulah anda perlu melakukan picitan yang perlahan dan lemah lembut. Jika anda memicit dengan kuat, bukan sahaja bayi, individu dewasa pun boleh meraung sakit.

Cara hilangkan hidung tersumbat bayi melalui kaedah ini adalah dengan memicit secara lembut hidung bayi anda. Bersihkan lendir menggunakan cotton bud yang telah dibasahkan. Lakukan dengan sekerap yang mungkin agar bayi boleh bernafas dengan selesa.

  1. Mandikan bayi

Anda mungkin seorang ibu baru yang risau atau takut untuk menggunakan alat penyedut hidung dan mungkin anda bimbang terlebih memicit hidung si kecil. Jadi cara hilangkan hidung tersumbat bayi yang boleh anda lakukan adalah dengan memandikannya.

Tetapi, pastikan anda memandikan bayi dengan menggunakan air suam. Biarkan bayi anda duduk dalam keadaan berwap di bilik mandi. Wap air panas biasanya membantu dalam mengurangkan lendir hidung.

Punca hidung sumbat

Si manja anda boleh mengalami masalah hidung tersumbat apabila mereka bernafas dalam udara yang bercampur dengan asap rokok, bahan tercemar, virus dan bahan perengsa lain.

Badan mereka akan menghasilkan lendir tambahan pada bahagian hidung dan saluran pernafasan sebagai satu medium pertahanan serta perlindungan diri. Lendir ini berperanan untuk memerangkap dan menyingirkan bahan perengsa daripada memasuki badan.

Pendedahan kepada udara kering, serta perubahan keadaan cuaca secara mendadak atau berlebihan juga boleh menjadi pencetus kepada penghasilan dan pengeluaran lendir serta keadaan hidung yang tersumbat.

Bayi sememangnya lebih cenderung mengalami masalah hidung yang tersumbat berbanding kanak-kanak yang lebih besar. Ini kerana seperti yang dinyatakan pada awal tadi, ia disebabkan keadaan saluran hidung dan saluran udara mereka yang masih kecil dan belum matang.

Terdapat beberapa faktor yang boleh menjadi punca mendasari masalah hidung tersumbat yang dialami bayi, termasuklah:

  • Alahan
  • Jangkitan virus, termasuk selesema
  • Bernafas dalam udara kering
  • Perubahan cuaca panas dan sejuk melampau
  • Kualiti udara yang teruk atau berlaku pencemaran
  • Masalah septum menyimpang (deviated septum), iaitu keadaan melibatkan salah satu tulang rawan yang memisahkan dua lubang hidung

Kesimpulan

Cara hilangkan hidung tersumbat bayi ini adalah sesuai untuk bayi yang mengalami masalah hidung tersumbat yang tidak serius.

Jika masalah hidung tersumbat ini seperti mendatangkan kemudaratan kepada bayi anda, dialami untuk satu tempoh melebihi tiga hari bersama suhu badan yang panas serta menyebabkan bayi untuk bernafas, segera bawa si kecil untuk mendapatkan pemeriksaan doktor.

One Reply to “Cara Hilangkan Hidung Tersumbat Bayi”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge