Cara Lupus Al-Quran Dengan Penuh Rasa Hormat Dan Sayang
Al-Quran adalah kitab suci dan mulia yang mengandungi kalam Allah SWT. Setiap huruf di dalam naskah Al-Quran tidak boleh dicemari malahan perlu dijaga kesuciannya.
Bagaimana cara melupuskan al-Quran lama atau helaian al-Quran yang terkoyak menurut perspektif Islam?
3 Kaedah Melupuskan Al-Quran
Mengikut pandangan Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad, ada beberapa cara pelupusan yang boleh dilakukan mengikut syariat Islam. Pada ada zaman lampau, situasinya berbeza.
Direndam Di Dalam Air
Kaedah Pertama, dakwat al-Quran yang digunakan tidak kekal. Jadi, apabila direndam di dalam air, tulisan ayat al-Quran itu boleh tanggal.
Kaedah kedua adalah melalui cara pembakaran.
Dibakar
Al-Quran yang hendak dilupuskan sebaiknya dibakar di tempat yang bersih kemudian abunya dihimpunkan dan dihanyutkan ke dalam laut atau sungai yang mengalir. Selain itu, abunya juga boleh ditanam ditempat yang tidak dilalui oleh orang ramai bagi mengelak daripada dipijak. Ini jelas tujuannya adalah untuk menjaga kesucian dan kemulian al-Quran itu sendiri.
Disamping itu, hendaklah menjaga adab-adab ketika mengendalikan aktiviti tersebut seperti sentiasa dalam keadaan berwuduk dan tidak berhadas dan sebagainya.
Dibakar Helai Demi Helai
Kaedah ketiga merupakan kaedah yang banyak diamalkan masyarakat pada hari ini iaitu membakar helaian kalam ALLAH tersebut.
Sebelum dibakar, helaian al-Quran dipotong halus agar dapat dibakar hangus hingga menjadi abu. Abu itu kemudiannya ditenggelamkan di dasar laut. Bila abu masuk ke dalam air, ia akan larut. Maka, tiadalah (isu) orang hendak terlangkah dan sebagainya.
Apabila sudah menjadi abu, bagaimana dengan kehormatan al-Quran itu?
Menjawab soalan ini, Mohamad Shukri berkata: “Kalau al-Quran dalam bentuk biasa, hendak menyentuhnya, kita kena berwuduk. Namun, kalau sudah dibakar dan ayat-ayat al-Quran itu sudah hilang, maka, tidak lagi perlu disentuh abu itu dalam keadaan kita berwuduk.
“Bagaimanapun, abu itu masih ada penghormatannya sebagai al-Quran. Apa-apa tindakan yang hendak kita ambil adalah terus mengekalkan penghormatan al-Quran itu walaupun, ia sudah menjadi abu. Hanya sifat sahaja yang berubah tetapi tidak pada penghormatannya. Ia masih lagi perlu dipelihara,” jelasnya.
Ia sebagaimana firman ALLAH SWT:
“Tidak ada yang menyentuhnya selain hamba-hamba yang disucikan.” (Surah al-Waqi’ah, ayat 79)
Ujar Mohamad Shukri, ayat itu jelas menunjukkan al-Quran itu perlu dihormati walau dalam apa jua keadaan sekalipun.