Cara Mudah Daftar Sijil Kelahiran Anak
Menyambut kelahiran cahaya mata baru adalah saat-saat yang ditunggu oleh ibu bapa. Perkara pertama yang perlu dilakukan oleh bapa selepas proses kelahiran ialah mendaftar kelahiran baru si anak atau daftar sijil kelahiran anak.
Pendaftaran kelahiran di Malaysia terletak di bawah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Terkini, semua kelahiran di Malaysia mestilah didaftarkan dalam masa 60 hari dari tarikh kelahiran anak. Pendaftaran adalah percuma, namun jika anda lewat, anda akan dikenakan denda fi permohonan sebanyak RM50.
Syarat Permohonan Sijil Kelahiran
Pemohonan pendaftaran kelahiran boleh dibuat oleh individu berikut:
- Ibu atau bapa kanak-kanak;
- Penjaga kanak-kanak yang sah;
- Individu yang mengetahui tentang kelahiran kanak-kanak
- Ibu dan bapa kanak-kanak (bagi pendaftaran kelahiran anak tak sah taraf)
Cara Mudah Memohon
Selepas kelahiran anak, pihak hospital ada menyediakan dokumen daftar kelahiran. Di situ ada no kontek pejabat JPN. Hubungi nomber tersebut untuk buat temujanji. Ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), ada pejabat JPN yang mengamalkan SOP dan memerlukan anda membuat tempahan slot secara online.
Pemohon (ibu bapa atau penjaga) dikehendaki hadir ke mana-mana kaunter Jabatan Pendaftaran Negara dengan membawa dokumen-dokumen yang diperlukan.
Dokumen Yang Diperlukan Semasa Memohon
DOKUMEN KANAK-KANAK (ASAL DAN SALINAN)
- Borang Daftar Kelahiran JPN.LM01 diisi dengan lengkap. Biasanya pihak hospital akan meminta anda mengisi borang JPN.LM01 sebaik sahaja anak dilahirkan. Borang ini akan dimasukkan dalam sampul dengan SEAL rasmi bersama dokumen di bawah ini;
- Borang Pengesahan Kelahiran daripada hospital atau Surat Akuan Bidan/Doktor bagi kelahiran di rumah (asal);
- Kad Pranatal (Buku Rawatan Mengandung) (asal dan salinan)
DOKUMEN IBU DAN BAPA (ASAL DAN SALINAN)
- Kad Pengenalan atau Permit Masuk atau Pasport bagi ibu dan bapa kanak-kanak serta individu yang melaporkan kelahiran (asal dan salinan);
- Sijil Kematian ibu dan bapa kanak-kanak (asal dan salinan jika berkaitan)
- Sijil Perkahwinan atau Perceraian (asal dan salinan)
DOKUMEN PEMAKLUM (ASAL DAN SALINAN)
- Kad Pengenalan atau Permit Masuk atau Pasport (asal dan salinan);
Selalu terjadi, pemohon terlupa membawa salinan asal dokumen. Dan juga salinan buku rawatan mengandung yang tidak lengkap. Nak mudah, anda fotostat sahaja muka hadapan, pemeriksaan pertama dan perihal kelahiran. Jika ibu membuat temujanji di hospital kerajaan dan juga hospital swasta , perlu juga membuat salinan untuk kedua-dua buku itu.
Tip penting untuk tidak terlupa dokumen ini semua, sehari sebelum anda ke JPN, letakkan semua dokumen ini seperti senarai di atas di dalam satu file mengikut turutan- asal dan salinan. Pasti anda tidak akan terlupa atau tertinggal dokumen yang boleh melambatkan proses pendaftaran kelahiran .
Jika bayi baru lahir anda masih tidak mempunyai nama semasa mengisi borang JPN.LM01, jangan risau. Anda boleh saja menulis nama bayi di borang tersebut semasa di kaunter pendaftaran .
Hari Pendaftaran Kelahiran Anak
Apabila tiba hari pendaftaran kelahiran anak, pasti anda datang 10 minit lebih awal di kaunter. Norma baharu sekarang, hanya bilangan tertentu sahaja dibenarkan berada di dalam pejabat dalam satu-satu masa. Jangan lewat!
Anda akan diberikan no giliran. Perlu sabar menunggu. Nak-nak di musim covid-19 hari ini. Macam-macam prosedur perlu dilalui.
Anda akan dipanggil bila tiba no giliran. Serahkan semua dokumen yang telah lengkap diisi, termasuklah salinan dan dokumen asal. Pegawai yang bertugas akan membuat semakan setiap dokumen dan akan masukkan data kelahiran baru di dalam sistem JPN.
Jika dokumen anda lengkap, hanya sekitar 10-15 minit diperlukan sebelum draf sijil kelahiran atau surat beranak dikeluarkan.
Anda perlu menyemak butiran kelahiran anak baru lahir satu per satu. Pastikan setiap maklumat tepat. Sekiranya berlaku kesalahan ejaan atau maklumat, segera laporkan kepada pegawai bertugas. Pegawai tersebut akan membuat pembetulan semasa anda mengesahkan sekali lagi.
Anda perlu menunggu seketika sebelum sijil kelahiran asal anak dikeluarkan. Semak sekali lagi. Bersama dengan surat beranak ini juga, anda akan diberikan sekeping surat pengesahan penerimaan surat beranak dan janji temu untuk pengambilan MyKid.
Simpan kedua-dua dokumen ini baik-baik. Ini diperlukan semasa anda ingin mengambil MyKid anak di kauter JPN nanti.
Sumber rujukan: website JPN
One Reply to “Cara Mudah Daftar Sijil Kelahiran Anak”