
Cara Allah SWT Memakbulkan Doa Seseorang
Lumrah manusia, hanya ketika berdepan masalah, dugaan berat barulah seseorang itu akan sujud dan menadah tangan memohon bantuan Yang Maha Esa.
Sememang namanya manusia, yang sentiasa tergesa-gesa tanpa mahu menggunakan akal fikiran waras untuk membuat keputusan.
Allah SWT menguji hambanya untuk memastikan hambaNya berdoa dan memohon bantuan daripanya-Nya.
Firman Allah:
وَقَالَ رَبُّكُم ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ
Dan Tuhanmu berfirman: Berdoalah kepada Ku, nescaya akan Ku perkenankan bagimu. (Ghafir : 60)
Hanya Allah sahaja yang tahu masa terbaik untuk dimakbulkan doa hambaNya. Jika tidak hari ini, mungkin esok, mungkin minggu depan dan mungkin juga bulan depan. Jika tidak di dunia, mungkin di akhirat nanti. SABAR.

Ramai umat Islam yang masih kurang faham hakikat berdoa dan cara Allah SWT memakbulkan doa seseorang.
Baca juga: Kelebihan Berdoa Di Bulan Ramadhan
Dia ingin,(malam ini berdoa), esoknya apa yang dimintanya terus Allah makbulkan. Apabila doanya tidak diperkenankan, dia mula “give up” dan tidak mahu berdoa lagi. Jangan begini..
Keputusan Allah paling tepat. Allah tahu hal hamba-Nya itu sejak azali lagi apa yang telah, sedang dan akan berlaku (kepada nasibnya)pada masa depan.
Apa yang seseorang itu sangka baik dalam dirinya namun hakikatnya tidak baik di sisi Allah. Allah SWT berfirman:
وَعَسٰۤى اَنْ تَكْرَهُوْا شَيْــئًا وَّهُوَ خَيْرٌ لَّـکُمْ ۚ وَعَسٰۤى اَنْ تُحِبُّوْا شَيْــئًا وَّهُوَ شَرٌّ لَّـكُمْ ۗ وَا للّٰهُ يَعْلَمُ وَاَ نْـتُمْ لَا تَعْلَمُوْنَ
“… Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu.Dan (ingatlah),Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.”
(Al-Baqarah: 216).Jadi Allah menggantikan dengan yang lebih baik.Sabda Nabi SAW,
” مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَدْعُو بِدَعْوَةٍ لَيْسَ فِيهَا إِثْمٌ وَلَا قَطِيعَةُ رَحِمٍ ، إِلَّا أَعْطَاهُ اللَّهُ بِهَا إِحْدَى ثَلَاثٍ إِمَّا أَنْ تُعَجَّلَ لَهُ دَعْوَتُهُ ، وَإِمَّا أَنْ يَدَّخِرَهَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ ، وَإِمَّا أَنْ يَصْرِفَ عَنْهُ مِنَ السُّوءِ مِثْلَهَا ” ، قَالُوا : إِذًا نُكْثِرُ ؟ ، قَالَ : اللَّهُ أَكْثَرُ .
” Tidaklah seorang Muslim berdoa dengan doa yang tidak mengandungi dosa dan memutuskan silaturahim, kecuali Allah akan memberikan kepadanya salah satu daripada tiga perkara berikut: Akan disegerakan doanya itu, ditangguhkan ke hari Akhirat, dijauhkan keburukan semisalnya daripada orang yang berdoa.Para sahabat bertanya: Oleh kerana itu, kami perlu banyak berdoa? Baginda menjawab: Allah, pemberianNya lebih banyak” [HR Ahmad].

Ada orang berdoa agar dia diberikan kuasa, pangkat dan jawatan. Ada orang berdoa kerana rindukan seseorang. Namun Allah tidak perkenankan.
Allah hanya beri dia sihat dan ketenangan.
Allah tahu dia akan menyalahguna kuasa jika berkuasa. Allah sayangkannya.
Maka Allah tidak perkenankan doanya untuk berkuasa. Semua itu kuasa Allah. Hatinya akan tenang jika dia menghayati ayat berikut, Allah SWT berfirman:
قُلِ اللّٰهُمَّ مٰلِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِى الْمُلْكَ مَنْ تَشَآءُ وَتَنْزِعُ الْمُلْكَ مِمَّنْ تَشَآءُ ۖ وَتُعِزُّ مَنْ تَشَآءُ وَتُذِلُّ مَنْ تَشَآءُ ۗ بِيَدِكَ الْخَيْرُ ۗ اِنَّكَ عَلٰى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ
“Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki.Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”(Ali ‘Imran: 26).
Sesungguhnya ada adab tertentu yang perlu diamalkan jika mahu menghadap Yang Maha Esa, bukan sekadar tangkap muat saja tanpa mengira waktu dan cara yang tertib.
Tips Doa Dimakbulkan. Siapa Sahaja Mampu Lakukannya
1. Mencari waktu yang mustajab
Bilakan sebenarnya waktu tersebut? Ulama menyebut hari Arafah, sepanjang Ramadan dan sepertiga malam terakhir.
Rasuluah SAW bersabda: “Allah turun ke langit dunia setiap malam, ketika tersisa sepertiga malam terakhir. Allah berfirman: Siapa yang berdoa kepada-Ku, Aku kabulkan, siapa yang meminta-Ku, Aku beri, dan siapa yang minta ampunan pasti Aku ampuni.” (HR. Muslim)
2. Situasi doa akan dikabulkan termasuk ketika perang, hujan, sujud dalam solat, antara azan dan iqamah
Sabda Nabi Muhammad SAW: “Doa antara azan dan iqamah tidak tertolak.” (HR. Abu Daud, Nasa’i, dan Turmudzi)
Nabi bersabda: “Keadaan terdekat antara hamba dengan Tuhannya adalah ketika sujud. Maka perbanyaklah berdoa.” (HR. Muslim)
3. Menghadap kiblat dan menadah tangan
Dari Jabir RA, Nabi SAW ketika berada di padang Arafah, beliau menghadap kiblat, dan beliau terus berdoa sampai matahari terbenam. (HR. Muslim)
4. Berdoalah dengan khusyuk, rendah hati dan penuh harapan kepada Allah

Allah berfirman: “Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang selalu bersegera dalam (mengerjakan) perbuatan-perbuatan yang baik dan mereka berdoa kepada Kami dengan harap dan cemas. Dan mereka adalah orang-orang yang khusyu’ kepada Kami.” (Sura Al-Anbiya’: 90)
5. Bersuara penuh syahdu, bukannya berteriak-teriak
Allah juga berfirman: “Berdoalah kepada Tuhanmu dengan rendah diri dan suara yang lembut. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” (Surah Al-A’raf: 55)
6. Memuji Allah dan bersalawat ke atas Nabi
Nabi pernah mendengar ada orang yang berdoa dalam solatnya dan dia tidak memuji Allah dan tidak bersalawat kepada Nabi, kemudian beliau bersabda: “Orang ini terburu-buru.”
Seterusnya sabda Baginda: “Apabila kalian berdoa, hendaknya memulai dengan memuji dan mengagungkan Allah, kemudian bersalawat kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam. Kemudian berdoalah sesuai kehendaknya.” (HR Ahmad)
7. Wajib yakin kalau doa pasti termakbul dan tidak seharusnya mudah berputus asa
Nabi bersabda: “Janganlah kalian ketika berdoa mengatakan: Ya Allah, ampunilah aku jika Engkau mau. Ya Allah, rahmatilah aku, jika Engkau mau. Hendaknya dia mantapkan keinginannya, karena tidak ada yang memaksa Allah.” (HR. Bukhari & Muslim)
Demikianlah adab yang seharusnya diikuti sekiranya mahu dekat dengan Allah dan berharap doanya dimakbulkan.