mufti singapura

Ini Jawapan Bekas Mufti Apabila Ditanya “Takut Allah Atau Takut virus?”

Ini lah jawapan Fatris Bakaram (bekas Mufti Singapura) apabila ada orang ajukan pertanyaan;

“Takut Allah atau takut virus?”

Dia menjawab;

Manusia perlu takut kepada Allah, dan di antara bukti takut kepada Allah adalah mematuhi segala perintahNya.

Di antara perintahNya adalah;

  1. Mensyukuri nikmat nyawa, tubuh badan dan kesihatan;
  2. Memelihara kesihatan, nyawa dan hal mudarat;
  3. Taat kepada perintahNya dan ajaran Rasul, yakni menyuruh kita untuk mengelak dari wabak;

Maka, jika benar takut Allah semua langkah untuk mengelakkan diri dari terkena jangkitan perlu diambil.

Dia turut memberi nasihat;

Takut kepada Allah memerlukan kewarasan akal, bukan dengan membutakan mata hati atau membekukan otak yang dikurniakan tuhan.

Ada yang berkata begini, “Kenapa nak takut, Virus itu juga makhluk Tuhan?”

Beginilah :-

Pergilah berenang di sungai penuh buaya, redha kerana buaya juga makhluk Tuhan;

Pergi ke lautan penuh dengan jerung, redha kerana jerung juga makhluk Tuhan;

Pergi masuk hutan penuh dengan ular, redha kerana ular ialah makhluk Tuhan;

Pergi lah ke zoo, masuk kandang singa, jangan takut dan redha, singa juga makhluk Tuhan.

frontliner

Firman Allah (bermaksud):

”Jangan kamu campakkan diri kamu ke dalam kebinasaan.” (Surah Al-Baqarah, ayat 195).

Firman-Nya juga (bermaksud):

”Jangan kamu bunuh diri kamu, sesungguhnya Allah sangat kasih kepada kamu.” (Surah al-Nisa, ayat 29).

Dalam erti kata lain, menyelamatkan diri dari kemusnahan adalah tuntutan Islam.

Dilarang menghampiri sebab-sebab yang membawa kemusnahan diri. Nabi SAW ketika berbicara tentang Taun menyebut (bermaksud):

”Jika kamu mendengar Taun di sesuatu tempat, jangan kamu pergi kepadanya. Jika berlaku di sesuatu tempat sedangkan kamu berada di situ, jangan kamu keluar daripadanya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini mengajar tentang tindakan kuarantin agar penyakit atau wabak tidak tersebar. Hadis ini pernah dibaca oleh ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf kepada Khalifah ‘Umar bin al-Khattab ketika beliau bercadang pergi ke Syam semasa wabak Taun sedang merebak di sana pada zaman pemerintahnya. Mendengar hadis ini. .Amirul Mukminin ‘Umar al-Khattab membatalkan hasratnya. (lihat: Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, 3/5, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).

Jika terkena juga penyakit, Islam menyuruh pula penganutnya untuk berubat. Sabda Nabi SAW:

”Bagi setiap penyakit ada ubatnya. Apabila betul ubatnya, maka sembuhlah dengan izin Allah.” (Riwayat Muslim).

Kata Al-Imam Nawawi (meninggal 676H): “Hadis ini memberi isyarat disunatkan mengubat penyakit. Inilah mazhab ashab kita (aliran mazhab al-Syafie), kebanyakan Salaf dan keseluruhan Khalaf. Kata al-Qadi ‘Iyadh: Dalam hadis-hadis ini terkandung beberapa ilmu-ilmu agama dan dunia; benarnya ilmu perubatan, diharuskan berubat secara keseluruhannya. Hadis-hadis ini juga menolak golongan sufi yang melampau yang membantah berubat dan berkata: “Kesemuanya dengan qada dan qadar Allah, tidak memerlukan kita berubat”.

Semoga ada manfaat buat kita semua. Aamiinnn

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge