doa waktu wukuf

Doa Hari Arafah Doa Mustajab

Antara amalan terbaik yang boleh diamalkan pada hari wukuf di Arafah adalah berdoa kepada Allah SWT. Saat ini merupakan waktu berdoa yang paling mustajab dan yang paling dekat untuk dimakbulkan.

Ini diriwayatkan dalam beberapa hadis sahih, antaranya ialah:

“Sebaik-baik doa adalah doa di hari Arafah, dan sebaik-baik zikir yang aku ucapkan dan juga diucapkan para nabi sebelumku adalah, “لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ قَدِير”. (Tidak ada yang berhak disembah selain Allah yang satu, tidak ada sekutu bagi-Nya, milik-Nya kekuasaan dan milik-Nya segala pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu).” (Hadis diriwayatkan oleh Al-Tirmizi)

“Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah.” (Hadis diriwayatkan oleh Malik)

Doa Arafah bukan sahaja baik untuk dibaca oleh Jemaah Haji pada hari Arafah, tetapi disunatkan juga kepada seluruh Umat Islam di seluruh dunia walaupun mereka tidak berada di Padang Arafah.

Waktu Afdhal Berdoa Pada Hari Arafah

Tarikh Hari Arafah iaitu 9 Zulhijjah 1444 / Hari Wuquf bagi tahun ini ditetapkan pada 27-28 Jun 2023.

Waktu Wukuf di Padang Arafah bagi tahun ini 27 Jun 2023 (Selasa) adalah seperti berikut:

12.23 pm – 7.05 pm (Waktu Wukuf Di Mekah)

BERSAMAAN

5.23 pm – 12.05 am (Waktu Wukuf Di Malaysia)

Pada masa ini, simpan dalam kepala kita bahawa pada waktu ini, kita mahu berdoa dan terus berdoa. Dalam masa beberapa jam ini jangan putus berdoa. Mengulangi doa yang sama juga tidak mengapa. Jika mahu menangis, menangislah sepuas hati.

Minta pada Allah bersungguh-sungguh supaya ALLAH SWT mengampunkan dosa-dosa kita, ibu bapa kita, anak isteri kita, semua kaum keluarga kita, kawan-kawan kita dan semua orang-orang islam.

Perlukah Untuk Samakan Waktu Berdoa Dengan Waktu Wukuf di Padang Arafah?

Timbul persoalan, perlu ke untuk kita samakan waktu kita berdoa dengan waktu wukuf di padang Arafah itu?

Jika diteliti hadis Nabi s.a.w, Nabi s.a.w tidak menyatakan sebaik-baik doa itu ketika waktu wukuf, tetapi dinyatakan sebaik-baik doa pada Hari Arafah.

Jadi, bagaimanakah mentafsirkan hari Arafah?

Syeikh Dr. Wahbah az-Zuhaili rahimahullah dan kebanyakan ulama yang lain menyatakan hari Arafah adalah pada 9 Zulhijjah. Bermaksud, sepanjang hari 9 Zulhijjah ini keseluruhannya adalah doa mustajab.

Adapun bagi orang-orang yang mengerjakan haji di Mekah, mereka perlu melaksanakan satu rukun haji yang dipanggil wukuf di Padang Arafah.

Sabda Nabi s.a.w:

الحج عرفة
Maksudnya: “Haji itu (berwukuf) di padang Arafah.”

Berikut adalah beberapa doa yang anda boleh masukkan dalam senarai anda:

Himpunan Doa Hari Arafah

1. Ya Allah kurniakanlah padaku Kejayaan terbesar – selamat dari api neraka dan masuk ke Syurga Firdaus

2. Ya Allah masukkanlah aku dan keluargaku dalam golongan yg beriman.. yang menerima kitab amal di tangan kanan kami.

3. Ya Allah, Kurniakanlah padaku kematian yang diberkati. Izinkan aku mengucapkan syahadah sebelum aku menghembuskan nafas terakhir. Kurniakanlah padaku syafaat Rasulullah (saw).

4. Ya Allah masukkanlah aku dalam kalangan Rasulullah (saw), keluarganya dan para sahabat di Syurga Firdaus.

5. Ya Allah selamatkanlah rakan-rakan bukan Islam ku dari neraka. Kurniakan mereka hidayah Islam.

6. Ya Allah, satukan aku dalam Syurga Firdaus dengan orang-orang yang aku sayangi semata-mata kerana Mu.

7. Ya Rabb, sempurnakan agamaku dan ibadatku. Selamatkan aku daripada kejahatan dan izinkan aku menyempurnakan sebahagian daripada agamaku.

8. Ya Allah terimalah amalan baikku dan tingkatkan pahala dan rahmat untukku. Padamkan dosa-dosaku dan ampunkan aku sepenuhnya. Limpahi rahmatMu untukku dan selamatkanlah aku dari kehinaan pada hari hitungan amal.

9. Ya Allah, apabila aku mati, biarlah jiwaku dan rekod amalanku menjadi amalan tertinggi

10. Ya Allah kurniakan aku, ibu bapaku, keluarga dan anak-anakku bimbingan, ketabahan dan peningkatan Iman.

11. Ya Allah, masukkan aku dalam golongan yang Engkau lindungi, mendapat pengampunan Mu dan mendapat naungan pada hari ketika tidak ada naungan selain dari Arash Mu.

12. Oh Tuhanku, tingkatkan keyakinan dan tawakkalku padaMu. Janganlah ada keraguan dalam kepercayaanku dalam keesaan Mu, kehebatan Mu dan kekuasaan Mu.

One Reply to “Doa Hari Arafah Doa Mustajab”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge