Hukum Pukul Anak Yang Masih Kecil. Ibu Bapa Perlu Tahu!
Soalan: Saya ada pertanyaan adakah harus ibu bapa memukul anaknya yang masih kecil kalau mereka membuat kesalahan?
Kanak-kanak yang merosakkan harta orang adakah kena ganti harta itu atau tidak?
Jawapan: Tidak boleh memukul kanak-kanak yang belum mumayyiz apabila mereka melakukan kesalahan kerana memukulnya tidak memberi sebarang faedah kepadanya memandangkan usianya itu.
Ada pun kanak-kanak yang telah mumayyiz maka boleh dipukul jika melakukan kesalahan apabila memukulnya itu memberi faedah kepadanya.
Berkenaan dengan kanak-kanak merosakkan harta orang maka wajib diganti harta tersebut dari hartanya.
Baca: Hukum Syarak Yang Perlu Diketahui Sebelum Berbisnes
Tersebut pada Kitab Al-Mausu’atul Fiqhiyah :
لَقَدْ قَسَّمَ الْفُقَهَاءُ مَرَاحِل الصِّغَرِ إِلَى قِسْمَيْنِ رَئِيسِيَّيْنِ:
الأَْوَّل: الصَّغِيرُ غَيْرُ الْمُمَيِّزِ وَهَذَا لاَ تُطَبَّقُ عَلَيْهِ عُقُوبَةٌ مِنَ الْعُقُوبَاتِ الْبَدَنِيَّةِ أَصْلاً؛ لاِنْعِدَامِ مَسْئُولِيَّتِهِ.
الثَّانِي: الصَّبِيُّ الْمُمَيِّزُ لاَ تُطَبَّقُ عَلَيْهِ الْحُدُودُ وَالْقِصَاصُ، وَلَكِنْ يُؤَدَّبُ عَلَى مَا ارْتَكَبَ بِمَا يَتَنَاسَبُ مَعَ صِغَرِ سِنِّهِ؛ بِالتَّوْبِيخِ وَالضَّرْبِ غَيْرِ الْمُتْلِفِ أَمَّا إِذَا ارْتَكَبَ الصَّغِيرُ فِعْلاً مِنْ شَأْنِهِ إِتْلاَفُ مَال الْغَيْرِ، وَجَبَ عَلَيْهِ ضَمَانُ مَا أَتْلَفَهُ مِنْ مَالِهِ.
Artinya : “Sungguhnya ulamak-ulamak fiqah telah membahagikan usia kanak-kanak itu kepada dua bahagi yang utama :
Yang pertama ialah kanak-kanak yang belum mumayyiz. Maka mereka tidak dikenakan hukuman dari segala bagai hukuman pada tubuh badan sama sekali kerana keadaan tidak dipersoalkannya.
Kedua ialah kanak-kanak yang sudah mumayyiz maka tidak dikenakan hukum hudud dan qisas akan tetapi diajar akan adab kepada mereka atas apa yang telah mereka lakukan dengan pengajaran yang menasabah dengan usia mereka samada dengan dimarah dan dipukul yang tidak merosakkan.
Adapun jika mereka melakukan satu perbuatan yang merosakkan harta orang lain nescaya wajib atasnya mengganti akan harta yang telah rosak itu.”
Kesimpulan Hukum Pukul Anak
Tidak boleh ibu bapa atau lainnya memukul anak-anak yang masih belum mumayyiz apabila mereka melakukan kesalahan kerana keadaannya yang masih kecil tidak dapat mengerti dan mengambil pelajaran kenapa mereka dipukul.
Boleh ibu bapa memukul anak yang telah mumayyiz apabila mereka melakukan kesalahan tetapi pukulan yang tidak merosakkan.
Haram memukul anak-anak dengan pukulan yang merosakkan iaitu pukulan yang melukakan atau melebamkan atau seumpamanya atau pada mukanya atau kepalanya atau kemaluannya.
Keharusan memukul yang dibenarkan syarak bukan bertujuan menyakitkan mereka atau membalas dendam tetapi menyedarkan mereka bahawa mereka telah melakukan kesalahan maka dengan pukulan yang perlahan yang memadai menakutkan kanak-kanak akan tetapi jika tidak dipukul bahkan dinasihatinya nescaya ia adalah lebih baik.
Ibu bapa yang memukul anaknya dengan pukulan yang tidak dibenarkan syarak telah melakukan satu bentuk kezaliman dan siapa yang melakukan satu kezaliman nisaya akan ditanya diakhirat nanti.
Jika kanak-kanak merosakkan harta orang maka wajib diganti akan harta yang rosak itu dengan hartanya atau harta penjaganya.
Wallahua’lam
Perkongsian Oleh: Ustaz Azhar Idrus