animasi upin ipin

Isu Dialog Animasi Upin Ipin “Tiada Ibu, Tiada Syurga…” Fizi Mohon Maaf.

Episod animasi Upin Ipin sempena Hari Raya berjudul Syahdunya Syawal yang disiarkan pada 1 Syawal di saluran MNCTV, Indonesia mencetuskan kontroversi apabila watak Fizi melontarkan dialog yang sensitif.

Kata-kata Fizi, “Tiada ibu, tiada syurga buat Upin Ipin” mengundang kecaman daripada netizen dan komen ‘Fizi is cancelled‘ menjadi viral di media sosial.

Sehubungan dengan kontroversi tersebut, pihak penerbit Les’ Copaque Production Sdn Bhd telah menyiarkan permohonan maaf oleh Fizi di YouTube rasmi Les’ Copaque Production Channel petang tadi.

“Saya, Fizi… Berdirinya di sini untuk memohon maaf pada Upin dan Ipin. Fizi tak sengaja tersalah cakap hari itu.

“Lepas kena cubit dengan Mail, Fizi dah insaf. Jadi, janganlah marah Fizi lagi. Fizi sedih”

Teresak-esak Fizi meminta maaf daripada Upin Ipin atas keterlanjuran katanya. Upin Ipin pun dah maafkan Fizi. Diharap penonton dan kawan-kawan semua pun sama-sama maafkan Fizi juga.

Video permohonan maaf Fizi ini juga turut dikongsi di semua platform rasmi Les Copaque seperti Facebook, Instagram & Twitter dalam versi lebih pendek.

Episod Syahdu Syawal: Fizi Minta Maaf

Walaupun watak Fizi sekadar watak animasi, episod berkenaan yang menyentuh persoalan di mana syurga untuk anak yatim, mencetuskan bualan hangat peminat di Indonesia dan Malaysia. 

Sedia maklum, Fizi adalah seorang yang ceria, seorang sahabat yang suka menyakat, terutama Ehsan dengan gelaran ‘intan payung’ dan suka mengenakan kawan-kawan yang lain. Rata-rata peminat animasi Upin Ipin sudah ‘masak’ dengan watak Fizi.

Namun, peminat juga tahu watak Upin Ipin adalah anak yatim piatu. Pastinya lontaran kata oleh Fizi turut mengguris hati penonton.

Untuk makluman, siri animasi Upin Ipin sudah memasuki musim ke-14 di Indonesia dan menjadi animasi No.1 kesukaan ramai di sana, selain daripada Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge